Rabu, 22 Januari 2020 | 1:53pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Persekitaran sihat cegah influenza

BERITA wabak influenza sejak akhir tahun lalu, tentu mencetuskan kebimbangan masyarakat. Kebimbangan itu ada asasnya kerana kes influenza dalam kalangan pelajar mencatatkan peningkatan di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Di sebalik kebimbangan itu, masyarakat perlu mengetahui bagaimana jangkitan influenza berlaku dan kaedah rawatan mengatasinya serta mengambil peranan aktif dalam menyediakan persekitaran sihat, sekali gus mengelak daripada mencetuskan panik.

Bagi negara beriklim sederhana, kejadian wabak influenza kerap kali berlaku ketika musim sejuk manakala di negara tropika di sepanjang garisan Khatulistiwa pula, ia berlaku sepanjang tahun tanpa mengikut musim tertentu. Di negara ini, ia berlaku sejak Disember lalu hingga kini.

Sebenarnya, wabak influenza berlaku secara bermusim setiap tahun, malah puluhan tahun terdahulu melanda hampir semua negara di dunia ini. Hanya membezakan, sejauh mana tahap keseriusan hingga ia boleh menyebabkan maut akibat komplikasi penyakit.

Influenza ialah jangkitan virus influenza di salur pernafasan manusia dan menyebabkan gejala seperti demam selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi serta kelesuan. Ringkasnya, influenza boleh menyebabkan pelbagai gejala jangkitan ringan mahupun serius.

Gejala jangkitan ringan berlaku pada kebanyakan orang yang mempunyai tahap imuniti badan baik. Sebaliknya, dalam keadaan lebih serius, infeksi influenza boleh mengancam nyawa pesakit.

Influenza sangat mudah merebak daripada individu dijangkiti kepada individu lain melalui kontak titisan yang terinfeksi daripada salur pernafasan. Perebakan ini boleh berlaku ketika bercakap, batuk atau bersin dan sentuhan.

Ia boleh mencemari permukaan alat-alatan, barang perabot dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan berkenaan. Jadi, infeksi influenza sangat mudah merebak kepada pihak lain akibat sebaran melalui medium titisan.

Konsep perawatan melalui pengambilan vaksin bermaksud ia perlu diambil sebelum pendedahan kepada penyakit berjangkit kepada mana-mana komuniti. Keberkesanan sesuatu rawatan vaksin boleh dicapai sepenuhnya apabila lebih 95 peratus komuniti mengambil suntikan vaksin

Konsep sama digunakan untuk vaksin influenza, ia perlu diambil secara tahunan sebelum pendedahan atau perebakan berlaku. Bagaimanapun, formulasi vaksin influenza perlu dikemas kini secara tahunan berdasarkan saranan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kaedah pengeluaran vaksin perlu bagi memastikan kandungan ‘bahan aktifnya’ sepadan dengan virus influenza yang diunjurkan menular setiap musim. Pada masa sama, perubahan boleh berlaku pada struktur virus influenza secara berterusan dari semasa ke semasa yang dikenali sebagai antigenic drift.

Akibat perubahan itu, vaksin influenza digalakkan diambil secara berkala, terutama mereka terdedah dan berisiko tinggi seperti kakitangan perubatan dan kesihatan, kanak-kanak, pesakit imuniti rendah dan mereka yang sering melancong ke luar negara.

Selain suntikan vaksin, terdapat rawatan berkesan lain merawat jangkitan influenza seperti ubat antiviral contohnya Tamiflu. Tamiflu boleh digunakan sebagai rawatan aktif mengurangkan simptom penyakit akibat influenza. Dalam apa-apa keadaan pesakit, doktor akan memberi rawatan tertakluk kepada hasil pemeriksaan. Rawatan segera amat penting untuk mengelakkan komplikasi penyakit daripada infeksi influenza.

Kenyataan akhbar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan kebanyakan kes dikenal pasti ialah ‘influenza like-illnesses’ (ILI) dan kes kemasukan ke wad adalah berkaitan ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI). Kes yang dikesan daripada lokasi sentinel di seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak minggu akhir Disember lalu.

KKM juga menjelaskan wabak adalah dalam keadaan terkawal. Satu kes kematian kanak-kanak dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru seperti dilaporkan media pada 13 Januari 2020 didapati negatif melalui ujian sampel jangkitan influenza.

Di China pada Sabtu lalu, seorang lelaki berusia 61 tahun disahkan menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat jangkitan pernafasan bawaan virus baharu yang dikatakan mirip wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Menurut laporan, saintis China percaya patogen itu sebelum ini dinamakan sebagai ‘koronavirus tidak dikenali’ yang membawa masalah kesihatan seperti demam biasa hingga yang lebih serius seperti SARS. Namun, KKM mengesahkan kes jangkitan peneumonia di Wuhan, China tiada kaitan isu wabak influenza di negara ini.

Kesan maklumat kes influenza dilaporkan di media massa membimbangkan ibu bapa dan masyarakat, manakala segelintir pihak pula mempersoalkan isu ini secara berlebih-lebihan hingga boleh membuatkan masyarakat menjadi panik.

Ini menyebabkan ada yang cuba mendapatkan suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan, tetapi gagal. Pada masa sama, maklum balas pelbagai pihak mendapati vaksin influenza sukar didapati di klinik swasta. KKM melalui laporan di laman rasmi Facebook KKM pada 18 Januari 2020, memberi jaminan vaksin baharu akan diterima Malaysia sebelum akhir bulan ini berjumlah 100,000 dos.

Masyarakat berperanan memastikan persekitaran sihat untuk didiami semua. Sekalipun jangkitan influenza tidak termasuk di bawah senarai penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), KKM sentiasa memantau perkembangan influenza.

Tindakan proaktif ini sejajar dengan kebimbangan masyarakat yang mahukan pihak berwajib menjalankan rawatan awal dan aktif serta memastikan dasar pengawalan penularan mana-mana infeksi dikawal sebaiknya dalam masyarakat.

Klinik dan hospital swasta bertanggungjawab membendung dan memberi rawatan sebagai pelengkap kepada sistem kesihatan dan perubatan di negara kita. Dengan kata lain, setiap pihak perlu menggembleng tenaga dan memainkan peranan aktif untuk mengawal penularan wabak influenza secara tuntas.

Penulis ialah Timbalan Presiden, IMEDIK (Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia) dan Timbalan Pengarah (Commercialization & Support), IRDI, International Medical University.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X