Khamis, 6 Februari 2020 | 11:00am
Kemungkinan seseorang itu gagal menguasai bahasa asing itu sangat besar dan seterusnya dia akan gagal memahami isi mata pelajarannya. - Foto hiasan

Ilmu STEM lebih mudah dikuasai guna bahasa ibunda

JALAN ilmu dan kerjaya membawa saya ke banyak negara. Namun, saya lama di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Belanda, Jerman, Perancis dan Jepun.

Di beberapa negara itu, anak saya bersekolah di sana, pada peringkat rendah atau menengah, malah universiti.

Di negara yang tidak berbahasa ibunda atau bahasa kebangsaannya ialah bahasa Inggeris, kita memerhatikan kesedaran kuat bahawa bahasa Inggeris, Perancis atau Jerman adalah bahasa besar di Eropah. Oleh yang demikian, semua bahasa ini harus diberikan tempat yang wajar.

Pelajar diwajibkan mengambil satu atau dua daripada bahasa ini. Namun, ia bukan sesuatu yang mudah – kerana sesuatu bahasa itu harus dipelajari selama beberapa tahun.

Namun, bahasa bukanlah mata pelajaran seperti Fizik. Di dalamnya ada bunyi yang indah, muzik yang menawan serta makna yang mengesani jiwa.

Kita tidak dapat menghafal bahasa. Kita harus diresapinya. Ilmu pengajaran bahasa sangat rumit dan semua pengajar bahasa dan kementerian harus sedar kenyataan ini.

Oleh yang demikian, kita harus jelas dalam pendekatan kita dan melatih guru bahasa dengan sangat teliti dan lengkap. Saya perhatikan bahawa guru yang baik selalu menghasilkan pelajar yang baik, begitu pula di sebaliknya.

Kita juga bertanya: Mengapakah ramai pelajar kita yang walaupun sudah belajar bahasa Inggeris selama 11 tahun masih tidak dapat bercakap dalam bahasa itu?

Pengalaman saya di Belanda menunjukkan selepas hanya enam tahun pelajarnya sudah fasih. Apakah kecekapan dan keahlian guru kita yang menjadi punca kegagalan?

Di sekolah anak saya di Eropah, sistem pendidikannya tidak cuba memperbaiki bahasa Inggeris atau Perancis mereka melalui pelajaran yang lain seperti, Sains, Kimia dan Fizik. Persoalan bahasa diasingkan daripada persoalan isi mata pelajaran dan ilmu tertentu.

Kita akan gagal sekiranya kita mencampuradukkan kedua-duanya untuk menyelesaikan masalah bahasa Inggeris yang lemah.

Kita semua maklum bahawa setiap mata pelajaran ini menggunakan bahasa yang khusus dan terbatas – hanya untuk bidangnya – hampir tidak dapat digunakan dalam bidang kehidupan harian lain.

Sementara itu, bahasa Inggeris atau Perancis yang idamkan ialah yang lebih penuh dan dapat memberikan kita seluruh dunia bahasa itu. Di dalamnya ada bahasa persahabatan, percintaan, perkelahian, kembara, perkebunan dan berbagai-bagai yang lainnya.

Masalah di sekolah Eropah yang saya perhatikan hampir seperti kita juga – keinginan mereka memperkuatkan bahasa Inggeris atau Perancis. Sekiranya terdapat masalah pada bidang atau mata pelajaran STEM (Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) misalnya, maka ini dikira sebagai masalah yang berasingan, bukan masalah penguasaan bahasa. Setiap daripadanya diselesaikan dengan pendekatan tersendiri.

Hal sama saya perhatikan di Jepun ketika saya menjadi felo di Universiti Kyoto. Bangsa Jepun sedar bahawa bahasa Inggeris itu sangat penting. Jadi, bahasa ini diajar dengan pesat oleh guru yang terlatih dengan baik, dan kadang-kadang mereka dibawa dari AS, England atau Australia.

Hasilnya cukup baik. Ramai daripada generasi mutakhir Jepun dapat menggunakan bahasa Inggeris dengan berjaya.

Selepas dilakukan beberapa kajian, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyimpulkan bahawa cara yang paling baik mendapatkan ilmu (terutama dalam bidang rumit seperti Kimia, Geologi dan Matematik) ialah dengan mempelajarinya dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sendiri, yang sudah pun difahami dan dikuasai.

Dengan menggunakan bahasa yang sudah dikenali ini, maka seseorang pelajar itu mudah pula menangkap isinya.

Sekiranya seorang pelajar Jepun atau Jerman harus mempelajari bahasa Inggeris atau Perancis untuk memahami mata pelajaran Kimia dan Matematik, maka kita sudah meletakkan dua tahap yang harus dilaluinya.

Pertama, dia harus memahami bahasa asing yang digunakan sebagai bahasa pengantar mata pelajaran itu (dan bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang mudah) dan selepas itu barulah dia dapat dengan lebih selesa memahami bidang STEM yang diikutinya.

Pengalaman sebagai guru dan pensyarah bahasa Inggeris, saya mendapati bahawa belum ada satu negara pun yang mewajibkan pelajarnya mempelajari bidang STEM dalam bahasa lain daripada bahasa kebangsaannya.

Kemungkinan seseorang itu gagal menguasai bahasa asing itu sangat besar dan seterusnya dia akan gagal memahami isi mata pelajarannya. Maka, dia mungkin dua kali gagal.

Inilah yang berlaku kepada pelajar luar bandar beberapa tahun lalu apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diterapkan kali pertama.

Apabila keputusan mereka dibandingkan dengan markah selepas PPSMI, maka didapati bahawa bahasa asing itulah yang menggagalkan mereka.

Bahasa Melayu ialah bahasa kelima terbesar di dunia. Kita memperkecilkan bahasa Melayu dengan sikap dan penghayatan yang sempit, malah mungkin juga membenarkan diri kita dihimpit oleh dinding kolonialisme yang sudah dirobohkan banyak bangsa lain.

Marilah kita bina ilmu STEM ini dalam bahasa Melayu yang sudah pun beberapa tahun berjaya menjalankan tugas.

Di pihak sastera, kita perhatikan beberapa penulis yang berbakat mula mengarang dengan baik dan imaginatif selepas PPSMI dimansuhkan serta mereka dapat bergerak dan malam bermimpi dalam sebuah bahasa yang indah dan serba boleh.

Penulis adalah Sasterawan Negara

Berita Harian X