Khamis, 13 Februari 2020 | 10:00am

Usah biarkan jantung anda tidak dirawat

Setiap hari kita berfikir mengenai cinta yang membuat hati kita bergetar, emosi melonjak dan memberi makna kepada hidup. Kita berfikir mengenai semua orang yang kita sayangi dalam kehidupan sama ada pasangan, adik-beradik, keluarga atau rakan dikasihi.

Namun, statistik yang selalu kita terlepas pandang ialah penyakit jantung adalah pembunuh tunggal terbesar rakyat Malaysia. Bukan sahaja lebih ramai wanita mati akibat penyakit jantung daripada kanser payu dara, tetapi lebih teruk 50 orang di Malaysia mati akibat penyakit jantung setiap hari di negara kita.

Walaupun ia satu kebimbangan kesihatan yang paling mengancam negara, sebenarnya ia boleh dicegah. Itu sebabnya saya menggesa semua rakyat Malaysia meletakkan keutamaan kepada hati mereka yang tersayang terlebih dahulu.

Sebelum itu, adakah anda tahu jantung manusia berdegup lebih daripada 100,000 kali sehari? Persoalannya ialah, apa yang berlaku apabila jantung anda tidak lagi memainkan irama sinus?

Jika jantung anda tiba-tiba bergerak laju atau mempunyai degupan tidak sekata beberapa minit, merasakan keletihan mental dan fizikal yang mendalam, anda mungkin berisiko tinggi untuk mendapat serangan jantung mengejut.

Keadaan ini dipanggil fibrilasi atrial (AF), salah satu gangguan yang berpotensi serius dan penyebab utama pembekuan darah. Mereka yang mengalami AF lima kali lebih berisiko untuk diserang strok berbanding yang tidak memiliki gangguan itu.

AF mungkin berlaku secara episod, namun kadangkala boleh berterusan atau kekal.

Ramai yang hidup dengan AF sentiasa berdebar-debar dan mengalami kesulitan bernafas, membawa kepada sakit dada dan keletihan. AF tidak mempunyai simptom, lantas berpotensi menjadi pembunuh senyap.

Bagi mereka yang sudah mempunyai masalah jantung lemah, gangguan irama jantung biasa ini boleh menjadi sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kegagalan jantung secara tiba-tiba.

Secara tradisional untuk mendiagnosis AF, doktor boleh menyemak tanda dan gejala, sejarah perubatan serta menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas pesakit, malah boleh juga menjalankan beberapa ujian bagi mendiagnosis keadaan anda.

Namun kini, rawatan canggih dikenali dipanggil Kajian Elektrofisiologi Jantung (EPS) diperkenalkan.

Teknologi canggih ini mengendalikan prosedur yang kurang bersifat invasif melalui prosedur ablasi yang baharu untuk memperbaiki rawatan berkaitan gangguan irama jantung, mengatur sistem pemantauan diagnostik dan peranti pengurusan irama boleh implan yang baharu.

EPS adalah bidang khusus dalam kardiologi yang berkaitan dengan gangguan irama jantung. Prosedur diguna pakai selama beberapa dekad dan dengan kemajuan teknologi, selamat terutamanya dikendalikan pengamal mahir.

EPS akan menguji aktiviti elektrik jantung anda untuk mengetahui di mana degupan jantung tidak normal berlaku dan hasilnya akan membantu doktor menentukan sama ada pesakit perlu meneruskan pengambilan ubat, perentak jantung, defibrilator kardioverter boleh implan (ICD), ablasi atau pembedahan.

Ia juga membantu doktor menjejaki kejayaan rawatan. Selain AF, keadaan jantung lain yang dirawat dengan EPS termasuk Tachycardia Ventricular dan Supraventricular Tachycardia. Di samping itu, bradyarrhythmias, yang bermaksud keadaan denyutan jantung yang perlahan seperti sakit sindrom sinus dan blok jantung boleh juga dirawat.

Cukup menyedihkan apabila penyakit jantung meragut kehidupan 50 orang di Malaysia setiap hari. Namun hari ini, kita sudah mempunyai kuasa perubahan.

Ingin dimaklumkan kepada orang ramai supaya menggalakkan orang tersayang melawat doktor mereka untuk melakukan semakan ke atas kesihatan jantung. Dengan melakukan ia hari ini, anda boleh menyelamatkan kesakitan esok.

Ia cara mudah yang boleh anda lakukan untuk membantu melindungi hati orang yang anda sayangi tidak kira muda atau tua di seluruh Malaysia.

Dengan berkongsi cinta, anda membantu lebih ramai orang memahami risiko penyakit jantung dan membantu doktor kami meneruskan penyelidikan penting mereka. Jaga hati anda, jangan biarkan AF tidak dirawat.

Penulis adalah Pakar Perunding Kardiologi dan Ahli Elektrofisiologi di Hospital Pakar KPJ Selangor.

Berita Harian X