Khamis, 12 March 2020 | 10:40am
PENGGUNAAN e-dompet dalam urusan jual beli antara langkah membanteras penularan virus COVID-19. - Foto hiasa
PENGGUNAAN e-dompet dalam urusan jual beli antara langkah membanteras penularan virus COVID-19. - Foto hiasa

e-dompet elak virus pindah melalui wang kertas

PENULARAN wabak coronavirus 2019 atau COVID-19 dianggap krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarah untuk sekian abad.

Seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 100,000 orang sudah dijangkiti virus itu dalam tempoh 40 hari sejak ia dilaporkan buat kali pertama pada 31 Disember 2019 di Wuhan, China.

Walaupun sebahagian besar jumlah pesakit adalah di China, virus ini sudah merebak ke lebih 90 negara.

Ketika artikel ini ditulis, statistik melaporkan antara negara yang paling teruk menerima kesannya adalah Korea Selatan (6.7 peratus), Iran (6.2 peratus), Itali (5.6 peratus) dan Jepun (1.0 peratus).

Dalam senarai WHO, Malaysia berada pada tangga ke-19 dengan jumlah 99 kes (0.09 peratus ).

Dengan kadar penularan yang begitu pantas, dunia terpaksa berada dalam mod siap siaga kerana kadar kematian akibat virus ini adalah 3.45 peratus, dengan vaksinnya belum dapat dihasilkan.

Di samping memberikan rawatan terbaik kepada pesakit, kerajaan di setiap negara mengam- bil pelbagai langkah untuk menyekat virus ini daripada merebak.

Satu daripada langkah yang disarankan oleh WHO yang diulas dalam The Telegraph pada 2 Mac baru-baru ini adalah membendung penularan melalui wang kertas.

Pelbagai sumber, termasuk PBB melaporkan bahawa virus COVID-19 ini mampu hidup di atas wang kertas selama beberapa hari.

Membasuh tangan setiap kali menyentuh wang kertas adalah antara cara untuk menghapuskan virus berkenaan. Bagaimanapun, saranan ini sukar dipraktikkan di premis perniagaan yang mana pertukaran wang kertas berlaku secara berterusan.

Risiko penularan menjadi lebih tinggi kerana wang kertas bertukar tangan daripada seorang pengguna dengan pengguna lain melalui peniaga yang juga mengendalikan bahan jualannya.

Bagaimanapun, risiko ini boleh dikurangkan dengan teknologi yang membolehkan pembayaran tanpa tunai, secara atas talian atau internet.

Untuk urusan pembayaran barang keperluan harian, saluran e-dompet adalah pilihan paling realistik.

Di Malaysia, pelbagai aplikasi e-dompet boleh dimanfaatkan dan ia sudah mula diterima pakai di pelbagai premis perniagaan termasuk beberapa pasar.

Bagaimanapun, langkah pemerkasaan adalah perlu untuk membolehkan e-dompet menggantikan fungsi wang kertas.

Misalnya, pihak kerajaan wajar meneruskan kejayaan program e-Tunai Rakyat yang akan berakhir 14 Mac ini dengan program lain untuk terus meningkatkan capaian penggunaan kepada e-dompet.

Pihak pengendali e-dompet pula perlu turut proaktif, misalnya dengan menyediakan kemudahan kepada peniaga untuk membolehkan mereka menerima bayaran melalui saluran pembayaran digital itu.

Kesimpulannya, semua pihak perlu segera mempersiapkan diri untuk menerima pakai e-dompet sebagai satu daripada langkah membanteras penularan virus COVID-19 yang mengancam kesejahteraan sosial dan ekonomi sejagat.

Penulis ialah Ketua Kluster Penyelidikan Analisis Kewangan Global dan Penguangan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X