X
Ahad, 29 March 2020 | 11:00am
Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Peralihan ekonomi jadikan negara lebih bersedia

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu adalah satu kejutan yang baik.

Jumlah bantuan RM250 bilion diumumkan amat besar, melebihi anggaran hasil kerajaan untuk 2020, iaitu RM244 bilion.

Namun, apabila diperincikan, ia sebenarnya terdiri daripada bantuan kerajaan dan pihak swasta.

Tidak semua bantuan adalah suntikan tunai, malah ada yang berbentuk moratorium, diskaun dan pengecualian bayaran.

Ini adalah sesuatu kombinasi yang bagus dengan semua pihak sanggup berkorban untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan peniaga khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), malah bantuan tidak berbentuk satu jenis sahaja.

Sememangnya dalam situasi sebegini, kita tidak boleh mengharapkan hanya kerajaan yang menghulurkan bantuan.

Malah, bantuan yang diberikan harus mengikut keperluan tertentu. Seperti pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan beberapa negara baru-baru ini, PRIHATIN juga mempunyai matlamat khusus.

Adalah amat penting untuk memastikan kecairan atau tunai masih lagi wujud di pasaran supaya transaksi ekonomi tidak terhenti sehingga boleh menyebabkan negara terjerumus ke era kegawatan.

Itu sebabnya sebahagian daripada pakej ini adalah memastikan rakyat yang terkesan, terutama golongan B40 dan M40 menerima bantuan tunai, pada masa sama, apa-apa pendapatan diperoleh sekarang tidak dihabiskan membayar hutang, tetapi dapat digunakan untuk membeli keperluan seharian.

Peniaga juga diberi bantuan sama, iaitu memastikan peniaga masih lagi mampu menampung kos operasi dan mengekalkan pekerja.

Satu perkara yang kita harus ingat ialah PRIHATIN adalah pakej bantuan kepada rakyat dan perniagaan yang bersifat one-off serta jangka masa sederhana.

Sudah pasti selepas ini akan berlaku penambahbaikan pakej ini untuk memastikan rakyat kekal mempunyai pendapatan dan perniagaan di negara ini masih mampu beroperasi hingga ke akhir 2020.

Itulah yang harus dilakukan kerana besar kemungkinan ekonomi negara dan global tidak akan mampu pulih seperti sedia kala dalam tempoh enam bulan ini.

Namun, untuk jangka masa panjang, elok kerajaan mula memikirkan sesuatu di luar kotak dan tidak konvensional.

Apa kata kita beralih daripada ekonomi berasaskan hutang kepada ekonomi yang berasaskan wakaf dan perkongsian.

Kita harus memperkenalkan perbankan awam (sovereign bank) yang menyediakan kemudahan pinjaman seperti bank komersial, tetapi kawalan kredit kini di bawah kerajaan.

Kita harus popularkan pembiayaan kewangan untuk perniagaan dalam bentuk mudharabah dan musyarakah. Kita harus gantikan pinjaman perumahan dengan konsep sewa beli yang sebenar, iaitu musharakah mutanaqisah.

Kita harus gantikan pinjaman peribadi dan pendidikan dengan pinjaman Qardhul Hassan. Kita patut menggantikan mata wang fiat ringgit dengan mata wang yang bersandarkan kepada komoditi seperti beras dan minyak sawit.

Jika kita lakukan semua ini, saya yakin jika berlaku lagi bencana atau musibah pada masa hadapan, negara kita akan lebih bersedia dan lebih mampan.

Penulis adalah Pensyarah Putra Business School dan aktivis Gerakan Keadilan Monetari

Berita Harian X