X
Isnin, 30 March 2020 | 11:00am
Penanaman padi di sawah. - Gambar hiasan/Hassan Omar
Penanaman padi di sawah. - Gambar hiasan/Hassan Omar

Cekap pengurusan atasi isu makanan

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diumum Perdana Menteri Jumaat lalu, tepat pada masanya.

Ia amat diperlukan sebagai langkah awal menanggung kemungkinan kelembapan ekonomi disebabkan penurunan tahap pengeluaran, pengurangan permintaan eksport dan kejatuhan harga komoditi dalam masa pandemik COVID-19.

Makanan yang menjadi keperluan paling asas dalam kehidupan mendapat peruntukan RM1 bilion. Ia demi meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyediaan bantuan input, program integrasi tanaman dan projek agro makanan jangka pendek, selain menstabilkan bekalan makanan melalui penyimpanan dan pengedaran yang cekap.

Sehingga kini, sektor pengeluaran makanan terdiri tanaman, ternakan dan perikanan, secara umum mempunyai kadar sara diri rendah bagi makanan asas, Contohnya beras (70 peratus), daging lembu (23.9 peratus), daging kambing (11.2 peratus), susu segar (61.3 peratus), produk tenusu (5 peratus), buah-buahan (79 peratus) dan sayur-sayuran (46.6 peratus).

Hasilnya, negara menjadi pengimport makanan bersih dengan defisit imbangan perdagangan meningkat tahun demi tahun.

Berkaitan isu pandemik COVID-19, sehingga kini gangguan dalam rantaian bekalan makanan adalah minimum disebabkan bekalan mencukupi dan stabil.

Bagaimanapun, kita mungkin menghadapi cabaran dari segi logistik dan tekanan import makanan. Dalam satu atau dua bulan akan datang, kita mungkin menjangkakan gangguan dalam rantaian bekalan makanan jika pakej rangsangan tidak dilaksanakan dengan cekap.

Kita juga mungkin menghadapi risiko krisis makanan jika langkah tidak diambil dengan cepat untuk melindungi kesan pandemik ke atas rantaian bekalan makanan yang paling mudah terjejas dan menyimpan bekalan makanan mencukupi.

Bukan sekadar menjamin, tetapi menstabilkan bekalan makanan berkualiti dan selamat pada harga berpatutan melalui peningkatan pengeluaran dan simpanan makanan.

Untuk menjayakan pakej rangsangan jaminan makanan, dicadangkan diiringi inisiatif berikut:

Pengeluaran makanan secara umum terdedah lebih banyak risiko dan ketidakpastian dibandingkan perindustrian. Penting dibangunkan sistem amaran awal yang berkesan bagi mengurangkan risiko dalam pengeluaran makanan dan sistem pengedaran.

Keusahawanan – pengeluaran makanan belum lagi diamalkan seperti tanaman industri. Justeru, ia memerlukan usahawan tani yang boleh mengamalkan pengeluaran makanan secara komersial dan berteknologi tinggi;

Melaksanakan dasar guna tanah untuk meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyisihan kawasan tanah pertanian khusus untuk pengeluaran makanan.

Melaksanakan program khas yang akan meningkatkan produktiviti dengan tujuan mengurangkan kos dan meningkatkan serta menstabilkan pengeluaran dan pendapatan golongan miskin. Program sedemikian termasuk meningkatkan akses pengeluar kecil kepada input pertanian, kredit dan perkhidmatan penting lain serta pasaran.

Memperkasakan peranan koperasi dalam meningkatkan pendapatan petani.

Sektor pengeluaran makanan perlu membangunkan dan menggunakan pelbagai teknologi dan amalan ladang berkonsepkan pertanian pintar. Contohnya sensor tanah dan air, pengesanan cuaca, pengimejan satelit, automasi, pertanian menegak, kecerdasan buatan, nanoteknologi, aplikasi pengesan kedudukan global (GPS), robot dan pertanian ketepatan.

Dasar – negara yang mencapai sekuriti makanan mapan umumnya mempunyai rekod sokongan kuat kepada sektor pertanian, pertimbangan teliti terhadap insentif ekonomi untuk pengeluaran pertanian, pelaburan dalam penyelidikan, pengembangan dan latihan.

Penyelidikan – walaupun output penyelidikan seperti penerbitan jurnal, petikan, dan paten amat penting, hasil sebenar penyelidikan adalah nilai dan kekayaan dijana pengkomersialan. Dengan itu hasil penyelidikan perlu dipakej merangkumi inovasi, pengkomersialan dan keusahawanan.

Apa yang penting kecekapan penghantaran pakej rangsangan kepada pihak berkepentingan agro makanan seperti petani, pemproses dan pengedar perlu dipastikan, supaya ia boleh dilaksanakan dengan cekap dan cepat untuk mengelakkan kekurangan bekalan makanan.

Justeru, pihak berkuasa perlu terus memantau harga makanan dan mengukuh penyeliaan pasaran, memastikan penghantaran input pertanian, termasuk makanan ternakan yang berkesan, memastikan kelancaran operasi logistik rantaian bekalan pertanian dan memastikan aliran perdagangan yang lancar dan memanfaatkan pasaran antarabangsa sepenuhnya sebagai alat penting untuk mendapatkan bekalan makanan.

Penulis adalah pakar keselamatan makanan di Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X