Khamis, 16 April 2020 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bangunkan ubat, vaksin cara terbaik akhiri COVID-19

KEMENTERIAN Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bersetuju bekerjasama dalam Kaji Selidik Solidariti apabila negara ini akan melakukan ujian klinikal terhadap empat protokol rawatan COVID-19.

Ujian klinikal ini menggunakan kombinasi remdesivir, lopinavir-ritonavir, interferon beta, chloroquine dan hydroxychloroquine di sembilan hospital milik kerajaan.

Kita berharap ujian klinikal yang dijalankan terhadap protokol rawatan COVID-19 dapat menunjukkan keputusan memberangsangkan.

Malaysia perlu mengorak langkah membangunkan sendiri ubat dan vaksin sebagai persiapan untuk menghadapi kurangnya ketersediaan bekalan penawar ketika wabak kembali melanda pada masa hadapan.

Malaysia bertuah memiliki sumber semula jadi yang berlimpah. Ada kemungkinan besar kita boleh mendapatkan sebatian penawar penyakit daripada sumber semula jadi di negara kita.

Contohnya vancomycin, iaitu ubat antibiotik digunakan bagi merawat jangkitan bakteria, diekstrak daripada mikrob Amycolatopsis orientalis diperoleh dari hutan Borneo pada 1953.

Cara terbaik mengakhiri COVID-19 adalah dengan membangunkan ubat dan vaksin. Kos diperlukan agak tinggi dan mengambil masa agak lama, tetapi ia pilihan terbaik dibandingkan membangunkan kekebalan kelompok (herd immunity) atau menunggu virus bertukar ‘jinak.’

Masa diperlukan bagi menghasilkan ubat dan vaksin untuk sesuatu penyakit biasanya antara 10 hingga 15 tahun. Masa panjang diperlukan untuk memastikan ubat dan vaksin memiliki keberkesanan tinggi serta selamat digunakan.

Bermula pembuatan sebatian di makmal, disusuli pengujian sebatian pada sel dan haiwan percubaan. Proses ini mengambil masa antara empat hingga lima tahun.

Ia disusuli ujian klinikal fasa pertama hingga ketiga selama enam tahun membabitkan ribuan sukarelawan dan pesakit untuk menguji keselamatan serta keberkesanan sebatian berkenaan.

Kos purata diperlukan untuk membangunkan satu ubat penawar penyakit ialah AS$2.6 bilion (RM11.26 bilion).

Kita tidak memiliki masa 10 hingga 15 tahun untuk mencari penawar COVID-19. Masa yang ada sangat terhad kerana kadar jangkitan tinggi dan angka kematian membimbangkan.

Oleh itu, pasukan saintis dan perubatan di seluruh dunia mencuba strategi berbeza dengan mengubah guna ubat yang biasa digunakan sebagai penawar malaria, Ebola, HIV, hepatitis C, dan influenza sebagai penawar COVID-19.

Strategi mengubah guna ubat lama untuk penyakit baharu biasa dilakukan untuk mengurangkan masa dan kos pembangunan ubat. Contohnya aspirin yang dahulu digunakan sebagai penawar demam dan kesakitan, sekarang diubah guna untuk menghalang pembekuan darah pesakit berisiko tinggi mendapat serangan jantung.

Pada masa ini, terdapat 12 ubat diubah guna dan diuji keberkesanannya sebagai penawar COVID-19, iaitu baricitinib, lopinavir, ritonavir, darunavir, favipiravir, remdesivir, ribavirin, galidesivir, arbidol, chloroquine, hydroxychloroquine dan nitazoxanide.

Untuk vaksin pula, pada masa ini terdapat 22 syarikat farmaseutikal global yang membangunkan vaksin COVID-19. Seramai 10 syarikat bercadang menjalankan ujian klinikal fasa pertama pada tahun ini.

Ia memerlukan masa 12 hingga 18 bulan untuk menyelesaikan ujian klinikal fasa pertama hingga ketiga serta mendapatkan kelulusan agensi farmaseutikal kebangsaan di negara masing-masing.

Tiada seorangpun boleh menjangka bilakah COVID-19 berakhir. Episod wabak yang menghuru-harakan dunia hanya boleh ditamatkan jika satu daripada tiga syarat dipenuhi, iaitu adanya ubat dan vaksin; virus bertukar jinak atau semua orang terjangkit virus dan tercipta kekebalan kelompok.

Membangunkan kekebalan kelompok mempunyai risiko tinggi dari segi kos dan angka kematian. Ia berdasarkan andaian semua orang terjangkit virus dengan 80 peratus daripadanya akan mengalami simptom ringan. Mereka akan meneruskan hidup dan mempunyai kekebalan terhadap virus.

Selebihnya sebanyak 20 peratus mengalami simptom teruk memerlukan rawatan di hospital. Namun, angka pesakit 20 peratus daripada populasi sesebuah negara ialah jumlah besar dan boleh meruntuhkan sistem perkhidmatan kesihatan negara berkenaan.

Mutasi virus menjadi strain lebih jinak adalah di luar kawalan manusia. Kita tidak mampu meramal bilakah virus akan bertukar jinak atau ganas. Wabak selsema Sepanyol (1918-1920) dan selsema babi (2009-2010) mempunyai trend dua gelombang yang virus H1N1 bertukar ganas pada gelombang kedua sebelum bertukar jinak.

Kita tidak tahu sama ada virus SARS-CoV-2 penyebab COVID-19 akan mengikuti trend dua gelombang atau bila virus akan bertukar jinak kerana ia berada di luar kawalan kita.

Selagi penawar COVID-19 tidak dijumpai, pada masa ini satu-satunya cara berkesan untuk membendung wabak COVID-19 adalah dengan menjaga kebersihan diri dan persekitaran, melakukan penjarakan sosial dan patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakar Kimia Perubatan, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X