Rabu, 22 April 2020 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Peranan spekulator di sebalik harga minyak WTI merudum

KEJATUHAN harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) di pasaran hadapan sehingga ke peringkat negatif, memeranjatkan banyak pihak.

Harga minyak mentah WTI didagangkan ke paras AS$37.63 satu tong bagi kontrak Mei yang berakhir semalam.

Perkara ini disebabkan pedagang atau spekulator yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan perniagaan dalam sektor minyak dan gas, yang terbabit dagangan dalam pasaran hadapan.

Apabila kontrak pasaran hadapan ini bakal matang, mereka ini perlu menjual atau close out posisi mereka kerana spekulator sememangnya tidak mahu mengambil atau menerima minyak mentah fizikal ini.

Mereka tidak mempunyai kemudahan atau fasiliti untuk menyimpan stok minyak yang berjuta-juta tan beratnya.

Meskipun demikian, situasi ini berlaku dalam keadaan penawaran minyak mentah dunia yang melebihi permintaan.

Unjuran dibuat oleh International Energy Agency (IEA) menunjukkan permintaan minyak mentah global bakal menurun 29 juta tong sehari (mbpd) pada April.

Pada tahun ini, permintaan minyak bakal turun 9.3 mbpd, kejatuhan pertama sejak 2009. Di samping itu, pertumbuhan ekonomi global diunjurkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) adalah negatif 3 peratus. Ini menunjukkan ekonomi global bakal meleset tahun ini.

Selain itu, pertumbuhan ekonomi China pada suku pertama 2020 menguncup 6.8 peratus dan negara itu menyumbang lebih 80 peratus dalam pertumbuhan permintaan minyak mentah dunia tahun lalu.

Oleh itu, situasi ini menyebabkan ketidaktentuan pasaran semakin menular, terutama bagi pasaran mata wang asing dan ekuiti.

Bagi nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), ia dilihat terus lemah, menghampiri paras RM4.40 bagi setiap unit dolar AS.

Berdasarkan kajian kami, nilai ringgit sememangnya berkait rapat dengan pergerakan harga minyak mentah Brent yang mana arah penyebab adalah bersifat satu hala, iaitu harga minyak mempengaruhi tukaran asing ringgit berbanding dolar.

Ia berkadar songsang, iaitu apabila harga minyak turun, ringgit akan melemah berbanding dolar AS. Bagi pasaran ekuiti, kaunter berkaitan sektor minyak dan gas dilihat jatuh selepas mengalami kenaikan yang banyak sebelum ini.

Sentimen sebelum ini berkisar dengan negara pengeluar yang bernaung di bawah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) atau bukan OPEC, untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 9.7 mbpd yang diumumkan baru-baru ini.

Situasi ini menyebabkan ramai bertanya apakah implikasi kepada ekonomi negara. Bagi orang ramai, harga minyak pada peringkat runcit dijangka lebih murah.

Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kekangan untuk orang ramai bergerak ke sana dan ke sini.

Bagi perniagaan penghantaran makanan, pengurangan harga minyak sudah tentu dapat mengurangkan kos operasi mereka.

Bagi kerajaan pula, ia bakal memberi kesan kepada pungutan hasil berkaitan industri petroleum.

Namun, tahap kebergantungan terhadap minyak sudah pun berkurang daripada 41.3 peratus daripada jumlah hasil kerajaan pada 2009 kepada 20.7 peratus yang dijangkakan tahun ini.

Meskipun demikian, jika dilihat kontrak pasaran hadapan minyak mentah WTI bagi bulan mendatang, harganya dijangka meningkat.

Sebagai contoh, bagi kontrak hadapan Jun dan Julai, harga WTI adalah AS$21.12 satu tong dan AS$26.78 satu tong. Bagi Ogos, September dan Oktober, harga WTI adalah masing-masing AS$28.90 setong, AS$30.13 setong dan AS$31.09 setong.

Memandangkan harga minyak mentah Brent sentiasa didagangkan tinggi daripada WTI, maka harga minyak Brent juga dijangka meningkat pada masa akan datang.

Sehubungan itu, kita perlu memahami serba sedikit mekanisme pasaran hadapan minyak mentah yang dilihat boleh mempengaruhi sentiment pasaran dan peniaga serta pengguna.

Kita perlu cakna bahawa terdapat golongan spekulator dalam pasaran hadapan yang dikatakan memainkan peranan penting untuk menyediakan kecairan pasaran derivatif.

Mereka ini tidak mempunyai perniagaan langsung dalam industri minyak dan gas, tetapi menjadi komponen yang penting dalam menentukan harga minyak.

Dengan maklumat seperti ini, tidaklah kita terlalu kelam kabut dalam memahami apa yang sedang berlaku terutama apabila sedang berhadapan suasana ‘perang’ dengan musuh halimunan seperti COVID-19.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X