Ahad, 24 Mei 2020 | 11:00am
Kehadiran pandemik meningkatkan tahap literasi dan minat masyarakat terhadap sains. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Kehadiran pandemik meningkatkan tahap literasi dan minat masyarakat terhadap sains. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Pandemik buka peluang membudayakan celik sains

Ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasa, tanggungjawab kendiri menjadi keutamaan. Pada asasnya, kesedaran dan pengetahuan setiap individu penting dalam bersama membendung penularan wabak COVID-19.

Cabaran pandemik COVID-19 tentu memerlukan seluruh masyarakat kita mendapatkan maklumat tepat dan dibuktikan sahih secara saintifik.

Seterusnya mereka perlu mempraktikkannya dalam amalan seharian berdasarkan kefahaman. Antaranya, keperluan mencuci tangan secara berkala, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Individu yang memahami justifikasi tindakan itu dianggap mempunyai literasi sains berkaitan kesihatan.

Secara umumnya, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains juga dirangsang melalui laporan media meluas saban hari. Misalnya, inisiatif sains seperti pengesanan jangkitan wabak menjadi rutin berita.

Kemajuan sains dalam menawarkan penyelesaian melalui penghasilan ubat atau vaksin turut mendapat liputan. Justeru, pandemik COVID-19 membuka ruang baharu dalam meningkatkan minat dan pengetahuan terhadap sains.

Mengikut kajian pembudayaan sains, masyarakat kita memang mempunyai minat tinggi terhadap sains. Bagaimanapun, mereka masih memiliki pengetahuan sederhana.

Hasilnya, skor literasi sains masyarakat kita adalah rendah apabila dibandingkan dengan negara sedunia.

Justeru, kebimbangan terhadap tahap celik sains dalam kalangan masyarakat kita adalah berasas. Kegusaran kita apabila masyarakat bergantung harap kepada penyelesaian salah.

Sepanjang penularan wabak COVID-19, kita biasa menerima berita dan dakwaan yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Misalnya, ramai yang mempercayai keberkesanan penggunaan tag perubatan dalam mengesan virus.

Begitu juga dengan penyebaran maklumat yang tidak tepat berkenaan sumber asal virus COVID-19.

Keberkesanan kaedah perawatan secara herba tradisional juga dikongsi ramai walaupun tiada kesahihan.

Apatah lagi kadar komunikasi maklumat dalam kalangan masyarakat adalah tinggi berikutan kewujudan media digital. Sehingga diakui penyebaran maklumat yang salah menjadi satu bentuk pandemik yang baharu.

Di sini saintis dan penyelidik tempatan berperanan penting. Mereka harus menggiatkan usaha dengan menggunakan kepakaran untuk mendidik masyarakat awam.

Penemuan saintifik semasa perlu disebarkan dan salah faham masyarakat perlu dibetulkan. Saintis dan penyelidik juga perlu membuka ruang kerjasama dengan wartawan bagi memastikan penerbitan maklumat yang tepat.

Kita memuji inisiatif Akademi Sains Malaysia yang menerbitkan siri lembaran fakta penyelidikan semasa berkenaan COVID-19. Misalnya ciri pesakit COVID-19, kaedah pengawalan wabak serta kemajuan penggunaan ubat dan percubaan klinikal yang berlaku sehingga kini dijelaskan.

Lebih daripada itu, semua pihak harus bersama-sama mendidik masyarakat. Menariknya pelbagai perbendaharaan istilah semasa dalam bidang sains dan kesihatan awam diusahakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Inisiatif ini penting bagi memudahkan kefahaman masyarakat awam. Antara istilah yang dikongsi adalah penjarakan sosial, pensanitasi tangan, penyahjangkit, perebak senyap, jangkitan titisan dan perebakan pesat.

Tentunya pelbagai platform media massa dan sosial juga boleh digunakan bagi memudahkan akses masyarakat terhadap maklumat yang sahih.

Malah, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pasti memberikan banyak masa untuk masyarakat mendapatkan pelbagai maklumat melalui pelbagai kaedah dalam talian.

Secara keseluruhannya, literasi sains adalah penting bagi memastikan setiap tindakan dan keputusan dilakukan mengikut kefahaman. Pemerkasaan literasi sains akan merangsang aspirasi pembangunan negara yang berteraskan pengetahuan sains, teknologi dan inovasi.

COVID-19 membuka peluang untuk menilai kembali tahap pembudayaan sains dalam kalangan masyarakat kita. Harapannya, agenda literasi sains masyarakat akan meningkat seiring dengan inisiatif sains semasa bagi menyelesaikan cabaran wabak COVID-19.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X