Rabu, 27 Mei 2020 | 11:00am
Pertanian menengak (vertikal) antara kaedah digunakan banyak negara bagi mengatasi masalah kekurangan tanah untuk bercucuk tanam. - Gambar hiasan
Pertanian menengak (vertikal) antara kaedah digunakan banyak negara bagi mengatasi masalah kekurangan tanah untuk bercucuk tanam. - Gambar hiasan

Tingkat usaha transformasi sektor pertanian

Menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) yang besar dan penting, menuntut tanggungjawab serta amanah cukup besar.

Walaupun nama kementerian diubah, kita tidak lari daripada perjuangan asal untuk menerajui transformasi pertanian supaya menjadi sektor moden dan kompetitif sehingga memberi pulangan lumayan kepada pengusaha tanaman, ternakan dan perikanan.

Kerajaan melihat keperluan untuk menerajui industri makanan secara keseluruhan. Maksudnya, bukan sahaja konteks pengeluaran atau pembekal makanan, tetapi keseluruhan rantaian nilai makanan.

Sudah tentu ini perlu dilakukan melalui pendekatan baharu dan luar kebiasaan bagi memastikan kementerian dapat menghadapi cabaran sekuriti makanan termasuk disebabkan wabak COVID-19.

Saya yakin melalui barisan tenaga kerja berpengalaman di MOA yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing, tanggungjawab besar ini dapat digalas dengan baik.

Bercakap soal sekuriti makanan negara, menjadi cabaran besar buat kementerian untuk mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) 75 peratus. Ketika ini pengeluaran padi dan beras sebagai makan ruji negara hanya mampu memenuhi 70 peratus keperluan, manakala baki diimport dari pelbagai sumber.

Banyak isu perlu dilihat termasuk kekurangan tanah pertanian, pengurusan tanah pertanian, kualiti benih dan baja, serangan penyakit, kekurangan sumber air, umur majoriti pesawah, isu dalam pelaksanaan subsidi dan insentif kerajaan, masalah kekurangan data serta isu lain pada peringkat rantaian pengeluaran. Ia juga menyebabkan kos pengeluaran padi tinggi di Malaysia.

Sudah sampai masanya pengeluaran makanan dibangunkan sebagai sektor moden, berdaya saing dan komersial. Namun, persoalannya di mana kedudukan Malaysia ketika ini?

Jika dilihat, kedudukan Global Food Security Index (GFSI) negara meningkat daripada 40 pada 2018 kepada 28 daripada 113 negara pada 2019, dengan skor 73.8 iaitu pada tahap 'pencapaian baik'. Kita lebih ke hadapan berbanding Korea Selatan (29) dan China (35).

Kedudukan pada 2019 juga bertambah baik dari segi kemampuan makanan (daripada 36 kepada 28) dan keberadaan makanan (daripada 38 kepada 42).

Bagaimanapun kedudukan keselamatan makanan dan kualiti menurun daripada tangga 38 kepada 42. Walaupun kedudukan ini boleh dilihat agak selesa, ada ruang perlu ditambah baik.

Ketika ini Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) pada peringkat akhir pelaksanaan, begitu juga denan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11). Berdasarkan prestasi semasa, sektor agromakanan mencapai pertumbuhan 3.1 peratus berbanding sasaran 5.4 peratus ditetapkan.

Kini Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) serta RMKe-12 (2021-2025) sedang dirangka dan pasti tumpuan khusus akan turut diberi kepada transformasi sektor ini melalui Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). Sasarannya untuk memberi suntikan lebih moden.

Teknologi seperti penggunaan dron, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dengan dibantu peningkatan penggunaan mekanisasi, benih bermutu yang rintang penyakit serta berdaya tahan tinggi daripada kesan perubahan iklim serta amalan agronomik mapan, akan dapat mengubah landskap sektor agromakanan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Kementerian sentiasa memberi galakan kepada kumpulan sasar untuk mengusahakan aktiviti pertanian secara moden dengan aplikasi teknologi dan inovasi.

Inisiatif ini dapat dilihat ketika pembentangan Belanjawan 2020 apabila RM43 juta diperuntukkan ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka berkualiti dan berproduktiviti tinggi, seterusnya memacu ekonomi negara melalui sektor agromakanan.

Melihat kembali cabaran dihadapi, pertambahan penduduk yang dianggar 1.1 peratus setahun memerlukan usaha penghasilan bahan makanan setimpal. Ia turut memberi kesan kenaikan import bahan makanan.

Guna tanah pertanian untuk sektor agromakanan juga terhad kepada kurang 10 peratus daripada 8 juta hektar tanah pertanian negara, yang sebahagian besarnya membabitkan kelapa sawit dan getah.

Aspek guna tenaga serta produktiviti mengundang cabaran. Puncanya status petani yang sudah berumur dengan kekurangan pelapis atau pengganti serta masih mengamalkan kaedah pertanian konvensional atau kurang penggunaan mekanisasi dan automasi selari tuntutan IR4.0.

Persepsi dalam kalangan belia bahawa bidang pertanian tidak memberi jaminan kehidupan berkualiti serta dikelaskan sebagai 3D (sukar, berbahaya, kotor) juga membelenggu. Ini menyebabkan sektor pertanian terus bergantung kepada buruh asing.

Lebih teruk ia mencetus polemik industri dari segi kos, sama ada untuk melabur dalam bidang teknologi yang mahal atau mendapatkan buruh asing yang jauh lebih murah. Buat masa ini hampir 37 peratus pekerja dalam industri ini tenaga kerja asing.

Cabaran pelaksanaan sistem subsidi tidak lestari juga antara perlu diberi perhatian.

Sejumlah RM1.9 bilion setahun diperuntukkan kerajaan, namun terdapat keperluan segera untuk memperbaiki sistem pemberian subsidi sedia ada bagi mencapai hasrat kerajaan yang sebenar.

Pada peringkat kementerian, kita akan terus menggiatkan usaha meningkatkan tahap pengeluaran makanan negara dengan menangani cabaran dihadapi dan memperkukuh rantaian bekalan makanan.

Yang pasti, teknologi adalah strategi utama bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing serta meningkatkan minat belia untuk menyertai sektor ini sebagai usahawan. Paling penting, industri ini mesti diremajakan dengan penyertaan lebih ramai belia.

Dengan penggunaan teknologi digital menerusi pertanian pintar, kecekapan serta produktiviti sektor ini juga dapat dipertingkatkan.

Lantas, persepsi negatif pertanian adalah pekerjaan 3D boleh dihapuskan dan nilai pendapatan petani moden pasti lebih tinggi.

Dalam mengadaptasi ledakan IR4.0, kementerian akan meneroka dan membangun sistem pertanian moden berlandaskan teknologi.

Perkara ini akan dilaksanakan melalui projek di bawah RMKe-12 bagi mempersiapkan negara ke arah pembangunan sektor pertanian lebih maju, moden dan mampan selaras Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030).

Kerajaan juga prihatin menyokong petani, nelayan dan penternak, terutama yang menceburi bidang keusahawanan dengan menyediakan dana bersesuaian.

Untuk 2019, RM86 juta disediakan dan jumlah ini ditambah kepada RM105 juta atau meningkat 22 peratus tahun ini.

Apa yang penting, semua perlu sederap melaksanakan transformasi bidang pertanian dan industri makanan supaya sektor agromakanan menjadi lebih moden, dinamik dan kompetitif.

Seperti saya maklumkan sejak hari pertama di kementerian, bahawa kita semua seperti satu pasukan bola sepak, di mana saya dan timbalan adalah pemain baharu. Setiap pemain ada peranan masing-masing.

Atas semangat itu, marilah kita bergerak ke arah satu aspirasi yang sama bagi mempertingkatkan daya saing industri supaya mampu berdepan segala cabaran baharu baik pada peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Penulis adalah Menteri Pertanian dan Industri Makanan

Berita Harian X