Rabu, 3 Jun 2020 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Projek pendigitalan kebangsaan pelaburan menguntungkan

SAUDARA saya yang pernah berkhidmat sebagai guru Kimia, berkongsi pengalaman perit mengenai program Komputer Untuk Sekolah dianjurkan beberapa tahun lalu. Tentu masih ramai ingat program berimpak tinggi yang membekalkan sekolah dengan komputer percuma. Ia sebahagian pelan pendigitalan kebangsaan.

Banyak publisiti diberi dalam usaha memperkasakan kegunaan komputer dalam pembelajaran.

Projek pendigitalan kebangsaan itu juga bertujuan menyenangkan pembelajaran dalam talian. Hasrat murni itu patut dipuji. Malangnya, sistem pada masa itu belum tersedia. Ia gagal mengambil kira infrastruktur jalur lebar yang belum maju ketika itu, terutama di luar bandar.

Ditambah pula kurang perhatian diberi kepada kos pengendalian yang tinggi, tidak hairanlah komputer akhirnya terbengkalai hingga menjadi antara buangan elektronik bermasalah dan perlu ditangani dengan baik.

Ketika penularan COVID-19 mencengkam dunia sekarang, sektor pendidikan tidak terlepas daripada gangguan. Dalam menyampaikan pelajaran, sangat rumit untuk mengamal penjarakan fizikal. Keperluan jalur lebar menjadi lebih terdesak.

Kelajuan memuat turun dan memuat naik maklumat menjadi lebih kritikal apabila pembelajaran dalam talian menjadi normal baharu. Boleh dikatakan semua universiti menggunakan platform dalam talian, selain sebahagian sekolah.

Di kawasan bandar, tidak banyak masalah, tetapi ia terserlah di luar bandar. Sungguhpun jalur lebar banyak berubah sejak pengalaman pahit program Komputer Untuk Sekolah, pakar jalur lebar berpendapat sistemnya belum mampu menepati keperluan melonjak tinggi.

Bukan hanya sektor pendidikan memerlukan sokongan jalur lebar jitu, sebaliknya sektor seperti perdagangan, penghantaran makanan pesanan dan perbankan, semuanya memerlukan sokongan jalur lebar. Beberapa tahun lalu, Akademi Sains Malaysia (ASM) membangkitkan isu jalur lebar untuk diberi perhatian. Malangnya, cadangan itu tidak diambil berat.

Menurut penilaian dunia terkini mengenai sistem internet sejagat, kedudukan negara tidak begitu memberangsangkan. Kita di tangga 40 bersama Bangladesh dan Ethiopia. Antara negara di kedudukan teratas, termasuk Korea Selatan, Singapura dan Taiwan.

Apa yang sangat menyedihkan ini berlaku 20 tahun sejak negara melancar projek berhasrat tinggi Koridor Raya Multimedia (MSC), iaitu kira-kira masa sama Korea Selatan melancar projek multimedia mereka. Tambah menyedihkan, 20 tahun dulu kita berjaya menundukkan Korea Selatan dalam bola sepak melayakkan negara ke Sukan Olimpik di Munich. Memang malu kerana kita masih terkebelakang berbanding Korea Selatan dalam sistem jalur lebar.

Bagaimanapun, masih belum terlewat melakukan sesuatu. Namun, kita harus bertindak segera. Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan tidak lama lagi perlu mengagihkan kewangan lebih bagi menaik taraf infrastruktur jalur lebar negara. Kita juga perlu menentukan pelaksanaannya cekap, tanpa apa-apa ketirisan.

Kita tidak boleh kekal di tangga bawah dalam kerangka pencapaian jalur lebar sejagat, jika ingin bersaing di persada dunia. Pendidikan sudah menjadi perdagangan antarabangsa yang kian berkembang. Dilaporkan setiap tahun, negara berjaya meraih pendapatan hingga RM40 bilion daripada pelajar luar negara.

Ini dijangka meningkat ekoran ramai pelajar luar negara berhasrat beralih daripada destinasi tradisi pembelajaran di Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Malaysia dan Korea Selatan disebut destinasi pilihan pelajar luar negara. Bagi menarik perhatian, kita perlu menaik taraf sokongan jalur lebar kerana kini pengajaran dilakukan secara dalam talian.

Jika jaringan jalur lebar mampu menandingi negara terbaik di dunia, pembelajaran akan lebih mesra dan mudah. Sekarang, universiti sering menghadapi masalah sokongan jalur lebar kurang memuaskan di luar bandar. Malah, sekolah di luar bandar pun bermasalah mengendali kelas dalam talian.

Memang diakui, pelajar dan guru mesti dilatih menggunakan pelbagai platform dalam talian. Ini tidak sulit jika jaringan kita efisien. Ramai mengakui banyak manfaat dapat diraih, manakala kos pengajaran lebih murah kerana kurang keperluan perjalanan.

Sekolah daif di luar bandar akan dapat berjalan lebih teratur dan lancar. Semua pelajaran dapat dipancarkan terus ke rumah masing-masing. Seperti budaya kerja dari rumah, pembelajaran dari rumah sudah mula diterima sebagai normal baharu.

Ia juga sesuai kepada ibu bekerja. Impak sosial positif sangat ketara kerana keuntungan bagi pengurusan keluarga tidak ternilai harganya. Memang diakui, melabur menaik taraf jaringan jalur lebar negara sungguh menguntungkan dan mampu menyediakan manfaat untuk masyarakat di luar jangkaan.

Felo Akademi Sains Malaysia

Berita Harian X