Khamis, 25 Jun 2020 | 11:00am
Bantuan makanan meringankan beban rakyat miskin ketika negara dilanda penularan wabak COVID-19. - Foto hiasan
Bantuan makanan meringankan beban rakyat miskin ketika negara dilanda penularan wabak COVID-19. - Foto hiasan

Pastikan makanan selamat, cukup hadapi krisis

SETIAP tahun berjuta orang di seluruh dunia menderita penyakit bawaan makanan yang serius. Tahun ini antara paling teruk apabila separuh pertama 2020 dibelenggu penyakit berjangkit COVID-19.

Penting menekankan insiden jangkitan meluas berpunca daripada bahaya mikrobiologi, kimia atau makanan lain, terus menjadi masalah serius bagi sistem makanan.

Dalam perkembangan terbaru, virus itu ditemui pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong salmon import di pasar Xinfadi, Beijing. Ia menimbulkan kerisauan gelombang kedua wabak di China.

Walaupun tidak ada buktinya makanan atau pembungkusan dikaitkan dengan penyebaran COVID-19 di Malaysia, ia tidak bermakna negara bebas daripada risiko itu.

Keadaan keselamatan dan kebersihan sumber makanan berasaskan haiwan ketika proses peruncitan dan memasak, masih perlu dipantau pihak berkuasa.

Apa dapat dipelajari adalah makanan tidak selamat bukan hanya mengundang masalah kesihatan masyarakat yang serius, tetapi juga memberi impak negatif terhadap pendapatan petani, mata pencarian penjual makanan dan kelangsungan perniagaan dan perdagangan.

Sayangnya kemungkinan besar masih wujud ruang untuk virus baharu daripada haiwan atau makmal muncul kembali. Kelawar contohnya adalah hos penyimpan untuk virus seperti SARS-CoV.

Daripada perspektif lebih besar, bermula aspek biodiversiti, selama manusia terus mengubah kegunaan tanah untuk penempatan, pertanian, pembalakan dan pengekstrakan, ini secara tidak langsung akan memusnahkan zon penyangga semula jadi yang biasanya memisahkan manusia dan haiwan.

Ini memungkinkan percambahan spesies yang boleh beradaptasi lebih baik di persekitaran diubah suai manusia (seperti kelawar dan tikus), lantas mewujudkan peluang patogen berpindah daripada haiwan kepada manusia dan menyebabkan penyakit bawaan makanan.

Apabila populasi global meningkat dan proses pembandaran secara besar-besaran berterusan dalam dekad akan datang, trend ini dijangka meningkat berganda.

Isu tidak kurang penting juga berkaitan jaminan dan ketersediaan makanan. Ketidakjaminan makanan wujud apabila manusia kehilangan akses kepada makanan selamat dan berkhasiat serta tidak memiliki gaya hidup aktif dan sihat bagi pertumbuhan dan perkembangan normal.

Akses kepada makanan bergantung tahap kemiskinan, kuasa membeli isi rumah, biaya makanan asas dan adanya infrastruktur pengangkutan dan pasar serta sistem pengedaran makanan.

Bagi isi rumah termiskin, makanan menyumbang sebahagian besar perbelanjaan mereka dan harga makanan secara langsung mempengaruhi jaminan makanan mereka.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan seiring berlalunya masa, lebih 820 juta orang akan kekurangan gizi, menyukarkan lagi cabaran mencapai sasaran kelaparan sifat pada 2030.

Lebih membimbangkan, disebabkan wabak ini dunia akan mengalami ketidakjaminan makanan lebih teruk.

UNICEF menjelaskan pada 2019, 20.7 peratus kanak-kanak bawah usia lima tahun di Malaysia menderita pertumbuhan terbantut, 11.5 peratus susut berat badan dan 12.7 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 19 tahun mengalami kegemukan.

Seperti kebanyakan negara, kemiskinan turut memberi kesan buruk kepada pemilihan makanan. Peratusan kanak-kanak kekurangan zat makanan di kawasan bandar miskin di Malaysia mencatatkan peratusan lebih tinggi daripada petunjuk purata nasional.

Data ini menandakan kesan negatif jaminan makanan terhadap rakyat miskin mungkin meningkat berkali ganda pada waktu tidak terjangka ini.

Statistik menunjukkan di Malaysia, 19 peratus kanak-kanak (atau 1.77 juta orang) hidup dalam relatif kemiskinan, diikuti sejumlah besar lagi berisiko jatuh ke dalam jurang kemiskinan jika keluarga mereka mengalami kejutan sosioekonomi.

Anak ini bukan sahaja hidup dalam kekurangan atau berisiko mengalami kehilangan, tetapi juga mempunyai tahap kesihatan kurang baik, pemakanan dan pendidikan jauh lebih rendah daripada kanak-kanak sebaya yang lebih bernasib baik.

Menurut Bank Dunia, kanak-kanak diberi makan dengan sihat selama 1,000 hari pertama dalam hidup mereka adalah 33 peratus lebih cenderung melepaskan diri daripada kemiskinan apabila dewasa.

Namun, 151 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun kini mengalami kekurangan zat makanan kronik di seluruh dunia. Ini membawa kepada kehilangan modal insan dan potensi ekonomi besar.

Ia cabaran besar di mana permintaan untuk makanan selamat semakin meningkat, pada masa sama perlu mengekalkan jaminan makanan pada saat krisis demi kesinambungan prospek generasi akan datang.

Persoalannya, bagaimana menjadikan sistem makanan lebih lestari, dari segi keselamatan dan jaminannya di tengah wabak COVID-19?

Pertama, kita perlu melihat punca masalah ini. Sama ada sebelum atau ketika wabak, masalah di Malaysia bukan kekurangan makanan, melainkan kemiskinan tidak berkesudahan.

Oleh itu, penting mengambil kira peranan pertumbuhan ekonomi, ketidaksamaan dan peminggiran dalam membentuk kesan jaminan makanan serta pemakanan.

Laporan terbaru Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertajuk The State of Food Security and Nutrition in The World (2019) menunjukkan perkembangan ekonomi pada dasarnya mempengaruhi jaminan makanan dan pemakanan, bergantung tahap kemiskinan melampau dan sejauh mana rakyat miskin akan tersisih kerana tahap ketidaksamaan berbeza.

Ketidaksamaan, bukan sahaja dalam bentuk pengagihan pendapatan, tetapi juga akses kepada perkhidmatan berkaitan pemakanan dan infrastruktur sosial dan kesihatan.

Sebagai contoh, ketika wabak baharu ini, isi rumah miskin tegar sukar meneruskan kelangsungan hidup kerana tidak memiliki aset untuk ditukarkan kepada wang dan sering mempunyai rangkaian sosial lemah sebagai sokongan.

Untuk mengatasinya, mereka terpaksa menggunakan solusi jangka pendek dan memperjudikan potensi menjana pendapatan lebih baik pada masa depan, apabila gagal menghantar anak ke sekolah.

Ini mendorong mereka jatuh kepada perangkap kemiskinan yang akan diwarisi turun-temurun.

Keperluan mengubah corak konsumsi menyebabkan pengurangan perbelanjaan diperuntukkan untuk pendidikan dan kesihatan, atau peralihan makanan daripada yang kaya nutrien seperti sayur-sayuran atau daging, kepada makanan lebih berkanji.

Walaupun ini membantu memberi tenaga mencukupi dalam jangka pendek, tingkah laku ini memberi kesan jangka panjang negatif terhadap kesihatan, kesejahteraan dan produktiviti generasi akan datang dan masyarakat secara keseluruhan.

Laporan ini menuntut tindakan dua bahagian. Pertama, melindungi jaminan makanan dan pemakanan melalui dasar ekonomi dan sosial yang membantu mengatasi kesan kelembapan atau kemerosotan ekonomi.

Kedua, menangani ketidaksamaan di semua peringkat melalui dasar sektor berkaitan yang memungkinkan terlepas daripada ketidakjaminan makanan dan kekurangan zat makanan secara lebih lestari.

Sektor swasta, kerajaan, saintis dan lain-lain perlu bekerjasama mengkaji sumber makanan lebih lestari dan lebih selamat untuk memenuhi keperluan pasaran. Program seperti khidmat nutrisi dan kesihatan komuniti perlu diperluas.

Pembiayaan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan yang memungkinkan peningkatan kandungan mikronutrien dalam makanan dan sumber bahan mentah, serta pengubahsuaian sisa makanan dan biomas kepada komoditi bernilai tambah amatlah dihargai.

Selain itu, reformasi dasar dan undang-undang berkaitan untuk meningkatkan kecekapan dan integrasi pasar domestik dan mengurangkan sekatan perdagangan makanan juga harus disokong.

Namun, ini semua bergantung kemampuan institusi dan kesiapsiagaan mekanisme luar jangka dan dana menyokongnya.

Bagaimanapun, pelaburan dan sumber bantuan tepat, selain sistem pertanian dan makanan dinamik dapat menyediakan makanan mencukupi, berpatutan, selamat dan berkhasiat kepada semua orang di mana-mana sahaja, setiap hari walaupun pada masa krisis.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Berita Harian X