Jumaat, 26 Jun 2020 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Manfaat kepakaran tempatan teroka khazanah laut negara

TANGGAL 8 Jun diisytiharkan sebagai Hari Lautan Sedunia. Hari yang bertujuan mengingatkan kita betapa luas dan banyaknya jasa lautan kepada dunia.

Mungkin paling jelas adalah peranan lautan dalam pengangkutan maritim.

Mengikut laporan, lebih 90 peratus perdagangan dunia meraih manfaat dari laut Asia Timur. Selat Melaka paling sibuk menjana laluan kapal angkut.

Ada banyak lagi sumbangan lain diberikan lautan. Kita mungkin tidak sedar negara di rantau Asia Timur menampung 80 peratus aktiviti akuakultur global. Nilai tahunannya lebih AS$100 bilion.

Rantau ini juga menyumbang 60 peratus penangkapan perikanan dunia. Ia juga menganjurkan platform pengeluaran minyak dan gas berjumlah 1,400 platform. Lebih 2 juta tong minyak dihasilkan setiap hari.

Hasil pelancongan daripada lautan kawasan ini juga menakjubkan. Ia melebihi AS$200 bilion.

Cerita mengenai armada nelayan moden menerokai lautan juga tidak lagi luar biasa. Ada menceroboh ke wilayah asing, sekali gus mengundang konflik.

Permintaan dunia untuk makanan laut semakin menaik. Ini terhasil kerana kuasa beli yang sentiasa meningkat dan jumlah penduduk bertambah. Suasana ini mengakibatkan kepupusan ikan.

Masalah ini diburukkan lagi penggunaan teknologi penangkapan ikan yang tidak membezakan spesies yang mereka tangkap.

Ikan bersaiz kecil yang tidak sesuai dimakan, juga terperangkap dan dibazirkan. Amalan sedemikian menafikan perkembangan semula jadi populasi ikan.

Banyak negara melabur dalam penggerudian di luar pantai untuk memanfaatkan rizab minyak dan gas. Terdapat juga konflik wilayah daripada penggerudian haram.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membangunkan undang-undang berkaitan lautan dan menyediakan platform penyelesaian masalah pencerobohan kawasan.

Lautan dunia juga menjadi medan meraih tenaga angin. Kuasa angin di lautan memang tinggi. Tenaga gelombang lautan memang sentiasa dikaji. Kini satu lagi potensi tenaga dari lautan giat diberi perhatian.

Kompleks tenaga haba lautan (OTEC) sudah menjanjikan potensi sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui dari lautan.

Memang jelas persada lautan menawarkan banyak lagi khazanah lain yang mampu diterokai. Ia kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan, termasuk rumpai laut, alga dan hidupan marin yang boleh dimanfaatkan.

Sesetengah varieti tumbuhan juga dieksploitasi untuk tujuan perubatan. Ia juga berpotensi membekalkan sumber air untuk dunia, sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air yang kian meruncing bagi sesetengah negara.

Pada masa sekarang sudah ada teknologi mampu menyahkan kadar garam dalam lautan. Antaranya proses menggunakan membran, yang terbukti berkesan dan efektif.

Kita tidak harus lupa lautan juga menyediakan perkhidmatan ekosistem melalui tanaman paya bakau dan rumpai laut, serta karang yang berkembang di lautan.

Ramai bimbang kemerosotan tanah yang sesuai untuk pertanian. Lautan boleh menjadi medan alternatif membantu dunia menghasilkan makanan mencukupi untuk dunia.

Bagaimanapun, melestarikan lautan sebagai pembekal khazanah untuk manusia adalah cabaran terbesar kita.

Pencemaran lautan mencapai tahap membimbangkan. Pencemaran plastik pula ancaman besar. Melalui sifat lewa kita, pencemaran plastik menjadi beban berat terhadap kemampanan lautan.

Kes mikroplastik dijumpai dalam ikan menjadi biasa. Ini menimbulkan bahaya kepada kesihatan manusia melalui rantaian makanan.

Sumber pencemaran mikroplastik berkemungkinan besar tidak dari lokasi tempatan, tetapi serantau dan mungkin juga global.

Plastik direka bentuk supaya sukar dimusnahkan. Dengan itu, serpihannya didapati di dasar laut paling dalam.

Serpihan plastik dipecahkan secara berterusan cahaya matahari dan penghakisan oleh air laut serta gelombang yang laju.

Kemerosotan berterusan ini menghasilkan zarah plastik kecil mikro dan bersaiz nano. Ia mampu ditelan ikan lautan dan memasuki rantaian makanan kita.

Kisah ikan besar terperangkap dalam plastik juga tidak lagi luar biasa. Laporan penyu laut tercekik sisa plastik banyak dipaparkan tajuk berita.

Kes plastik buangan tersadai ke pantai merosakkan tempat pelancongan. Di Bali, penampilan hodoh sebegitu mencemarkan imej destinasi pelancongan itu.

Hari Lautan Sedunia harus mengingatkan kita betapa rapuhnya lautan. Pada masa sama, kita perlu sedar banyak nikmat mampu diraih dari lautan.

Dalam usaha memanfaatkan khazanah itu, apa yang kita perlukan adalah satu dasar lautan yang mampan, kita boleh membuahkan rangka tindakan jitu dan berkesan untuk meraih manfaat dari lautan.

Akademi Sains Malaysia mempunyai kemampuan terbaik membangunkan dasar serta rangka tindakan terbabit dan ramai juga felo dikenali dalam khalayak antarabangsa sebagai pakar mengenai sains lautan.

Felo Akademi Sains Malaysia

Berita Harian X