Selasa, 30 Jun 2020 | 11:00am
UPM berperanan sebagai barisan hadapan bantu masyarakat tangani pandemik COVID-19.
UPM berperanan sebagai barisan hadapan bantu masyarakat tangani pandemik COVID-19.

UPM manfaat bakat, potensi bantu tangani pandemik

Perkembangan tamadun dan peradaban manusia banyak disumbangkan kemajuan intelektual yang tercetus di universiti atau menara ilmu. Universiti ditubuhkan sebagai institusi negara yang dapat membangunkan bakat dan potensi anak bangsa.

Dari segi falsafah pula, penubuhan universiti bertujuan melahirkan insan berpengetahuan tinggi dan warga negara yang baik.

Matlamat serampang dua mata ini menjadikan universiti sebagai institusi negara yang penting dalam proses pembangunan negara bangsa. Kita sangat berbangga kerana kualiti universiti di negara ini semakin baik. Jika dahulu, kita memandang tinggi universiti di luar negara hingga ramai anak muda dihantar ke sana untuk menyambung pengajian.

Namun, dengan peningkatan kualiti dan tahap kecemerlangan universiti tempatan yang boleh dilihat dalam konteks penarafan ranking dunia dan pencapaian dalam aspek pemindahan ilmu dan kepakaran, universiti tempatan kini setanding dengan universiti di luar.

Malah, mereka mampu memberi pendidikan berkualiti tinggi kepada anak Malaysia dan warga antarabangsa yang datang belajar ke negara ini.

Apabila universiti bukan lagi menara gading dan bersifat eksklusif, ia terus melangkah dan bergerak untuk mencapai makna pembangunan sebenar. Ketika negara kita berada dalam krisis kesihatan seperti COVID-19, universiti bertindak sebagai barisan hadapan dengan berusaha untuk merungkaikan permasalahan dan menjuarai isu dan cabaran negara serta masyarakat.

Impak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan peranan universiti kita semakin penting khususnya dalam mengurus krisis kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat. Peranan universiti sebagai barisan hadapan terserlah dengan pelbagai langkah yang diambil untuk membantu kerajaan dan masyarakat menangani pandemik COVID-19.

Ini termasuk merancakkan inisiatif penyelidikan, inovasi produk, pembangunan aplikasi, advokasi awam dan teknologi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP), selain memberi perkhidmatan perubatan serta kesihatan awam melalui hospital pengajar.

Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan pelbagai inisiatif sempena PKP dan mula membiasakan diri dengan kelaziman baharu.

Jika suatu masa nanti kita bebas daripada pandemik COVID-19 ini sepenuhnya, peranan universiti sebagai barisan hadapan perlu dikekal dan diperteguhkan. Ada beberapa faktor kenapa universiti perlu berperanan sedemikian.

Pertama, menterjemahkan falsafah penubuhan universiti sebagai gedung ilmu dengan memanfaatkan ilmu dan pemikiran warganya untuk kesejahteraan awam serta kepentingan negara. Ilmu yang dijana mesti disebar luas agar masyarakat dan negara mendapat manfaatnya.

Kedua, ahli akademik yang memacu kecemerlangannya perlu menjayakan proses pemindahan ilmu dan kepakaran. Peranan mereka sebagai ilmuwan dan pemikir tidak sempurna jika tidak melaksanakan fungsi sebagai intelek awam.

Ketiga, terlalu banyak pencapaian universiti dalam bidang akademik dan saintifik. Pencapaian ini pula merentasi pelbagai bidang kepakaran, sama ada sains dan teknologi serta sains sosial. Justeru, adalah suatu yang merugikan jika pencapaian ini hanya berlegar dalam 'pagar' universiti dan tidak dapat dikongsi oleh pelbagai pihak berkepentingan di luar.

Keempat, sudah tiba masanya universiti memberi fokus utama kepada impak dan bukan output semata-mata. Kini, universiti dituntut untuk memenuhi keperluan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) bagi mencapai kesejahteraan global. Perkara ini tidak boleh berlaku jika universiti tidak bergerak sebagai barisan hadapan.

Kelima, universiti perlu terus kekal relevan dan untuk itu, mereka perlu bertindak sebagai barisan hadapan dalam apa juga krisis dan cabaran kemanusiaan. Universiti yang cuba menjarakkan diri daripada realiti kehidupan manusia akan terpinggir secara sendirinya.

Keenam, universiti perlu menghayati nilai ihsan, iaitu kualiti, integriti, kecemerlangan, ketelitian dan kesempurnaan. Nilai pegangan ini bukan sahaja menjadi teras serta pasak kepada sesebuah universiti, tetapi pemangkin mencapai matlamat kesejahteraan.

Impak COVID-19 ternyata banyak membuka minda warga institusi pendidikan tinggi (IPT) khususnya universiti bahawa peranan mereka sebagai barisan hadapan semakin kritikal. Seperti universiti lain, UPM dengan moto keramat, iaitu 'Berilmu, Berbakti' sentiasa berusaha untuk menjadi universiti barisan hadapan untuk kesejahteraan masyarakat dan kepentingan negara.

Usaha untuk memastikan duduk letak universiti sebagai barisan hadapan bukan peranan Naib Canselor sahaja. Ia memerlukan satu pasukan yang kuat dan mantap mewakili pelbagai kepakaran semua pihak. Di sinilah kita meraikan kepelbagaian bakat dan potensi yang ada.

Peluang memimpin UPM sebagai Naib Canselor selama empat tahun dan enam bulan sejak Januari 2016 memberi ruang untuk saya meneroka satu pengalaman yang sangat bermakna. Lebih-lebih lagi, beberapa bulan terakhir, kita semua berhadapan dengan krisis kesihatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Justeru, saya juga seperti Naib Canselor lain, sentiasa belajar perkara baharu, terutama dalam mengurus universiti ketika krisis.

Terima kasih kepada semua pihak yang membantu pada setiap detik dan masa untuk memacu kecemerlangan universiti demi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada BH kerana sentiasa menyokong usaha visibiliti media UPM, terutama dalam mendekati masyarakat dan pembaca melalui liputan berkualiti tanpa henti.

Saya akhiri tulisan ini dengan serangkap pantun.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh hamba menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X