Jumaat, 24 Julai 2020 | 11:00am
Rakyat dituntut setia kepada negara. - Foto hiasan
Rakyat dituntut setia kepada negara. - Foto hiasan

Perpaduan rakyat citra pembangunan negara bangsa

PERPADUAN istilah umum biasa kita cakap dan dengar. Ia menjadi basahan perbualan harian dan ucapan dalam kalangan pemimpin politik. Ia istilah penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa.

Pembinaan negara bangsa memerlukan kesatuan dan kesepaduan rakyat, apatah lagi dalam konteks keunikan Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya. Di sinilah pentingnya gagasan 'perpaduan dalam kepelbagaian'.

Penubuhan Kementerian Perpaduan Negara di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, amat mengujakan.

Pada 1974, portfolio perpaduan diwujudkan dalam Kabinet Malaysia. Pemimpin MIC, Tun VT Sambanthan, dilantik Menteri Perpaduan yang pertama.

Petikan ucapan mendiang masih terngiang-ngiang apabila bercakap secara jelas dan berfakta mengenai kerakyatan dan perpaduan. Namun, kedudukan portfolio perpaduan tidak mantap kerana ia sentiasa bertukar ganti mengikut aliran pemikiran dan keutamaan pemimpin.

Jelasnya, penubuhan Kementerian Perpaduan kali ini menunjukkan keseriusan kerajaan melaksanakan Dasar Perpaduan Nasional demi memastikan keharmonian, kebahagiaan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Gagasan perpaduan rakyat membabitkan sejarah panjang dan berliku. Kedudukan geografi Malaysia yang strategik menyebabkan ia menjadi tumpuan dalam kalangan masyarakat serantau dan global.

Dasar imigrasi liberal dilaksanakan kolonial British menggalakkan proses penghijrahan ke Tanah Melayu. Berikutan itu, pihak kolonial melaksanakan dasar pecah dan perintah menyebabkan terbentuknya masyarakat majmuk.

Menerusi dasar itu, setiap kaum dipisahkan dari segi penempatan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Akibatnya polarisasi kaum semakin melebar dalam kalangan penduduk.

Justeru, kegiatan nasionalisme bermula di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 memperjuangkan kepentingan bangsa masing-masing.

Natijahnya, tiada kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat menyebabkan Tanah Melayu begitu mudah dijajah Jepun. Semangat perkauman menebal menyebabkan kolonial British mempromosi slogan 'perpaduan sebelum kemerdekaan'.

Pihak British menggerakkan kepemimpinan pelbagai parti politik di Tanah Melayu untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Maka persidangan meja bulat pertama diadakan pada 1949 menghasilkan Kontrak Sosial.

Perjanjian ini dimeterai pemimpin mewakili tiga bangsa utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Jelasnya, kontrak sosial manifestasikan permuafakatan dalam kalangan pemimpin dalam pembentukan citra kenegaraan Malaysia.

Era selepas Perang Dunia Kedua menyaksikan politik perpaduan begitu popular. Datuk Onn Jaafar umpamanya, sebahagian besar ucapannya cenderung mempromosi perpaduan dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan penubuhan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) pada 1950 atau kini dinamakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membangunkan masyarakat Melayu daripada aspek pendidikan dan ekonomi.

Ia untuk mewujudkan keseimbangan pembangunan antara kaum. Bagi menyemarakkan perpaduan, kerjasama antara parti politik digerakkan.

Golongan kiri Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA) juga menjalin kerjasama sehingga terbentuknya Perlembagaan Rakyat pada 1947.

UMNO dan MCA melakar kerjasama dalam Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur 1952. Kemuncaknya penubuhan Parti Perikatan yang menggabungkan UMNO-MCA-MIC pada 1954.

Namun, inisiatif perpaduan menerusi kerjasama politik bukan mudah. Tolak ansur politik atau quid pro quo dalam kalangan pemimpin politik menyebabkan Parti Perikatan mendapat mandat besar rakyat dalam Pilihan Raya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, proses pembinaan negara bangsa berjalan baik. Namun, sekali-sekala terdapat elemen dan episod perkauman mencetuskan ketidakstabilan. Tuntutan dan perjuangan setiap kaum misalnya mencetuskan perdebatan hangat.

Kemuncaknya, berlaku tragedi 13 Mei 1969, yang sepatutnya menjadi pengajaran berguna buat seluruh rakyat Malaysia.

Gagasan perpaduan dan integrasi bertambah luas dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Di sinilah kesepaduan sosial dan perpaduan nasional menjadi tema pembinaan negara bangsa.

Dalam konteks masa kini, penularan wabak COVID-19 boleh menjadi faktor menyatupadukan rakyat untuk mengukuhkan kerjasama, mempromosi nilai kemanusiaan serta bersatu memulihkan ekonomi negara.

Sebenarnya, Malaysia mempunyai ramuan tersendiri untuk mencorakkan pembinaan citra negara bangsa. Negara kita mempunyai dokumen bertulis tertinggi, iaitu Perlembagaan Persekutuan 1957. Ia terhasil daripada toleransi sangat tinggi antara kaum menerusi penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum pada 1949.

Melalui kontrak sosial, beberapa perkara utama dituntaskan membabitkan kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan kerakyatan. Perlembagaan Persekutuan tiang seri citra kenegaraan Malaysia.

Rakyat Malaysia pelbagai kaum perlu diperingatkan mengenai terbentuknya sistem dan struktur pemerintahan negara berasaskan sistem Persekutuan, khususnya kesediaan dan pengorbanan Raja-Raja Melayu untuk melepaskan sebahagian besar kuasa yang ada pada baginda mulai 21 Januari 1948.

Peristiwa ini menandakan bermulanya pengagihan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri.

Rakyat tidak perlu mempertikaikan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang dituntaskan berdasarkan muafakat dalam kalangan pemimpin.

Selepas tragedi 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia mengambil beberapa langkah drastik menyatupadukan semula rakyat. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengamankan seluruh negara.

Institusi Parlimen digantung buat sementara waktu. Rukun Negara digubal pasukan diketuai Tan Sri Ghazali Shafie. Lima prinsip Rukun Negara diterima menjadi ideologi negara.

Bagi mengukuhkan ideologi negara, kerajaan wajar membuat pindaan Perlembagaan dengan memasukkan Rukun Negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika ini dilaksanakan, ia menuntut seluruh rakyat Malaysia menghayati dan mengamalkan kandungan Rukun Negara.

Apa diperlukan, setiap warganegara menyumbang kepada pembinaan negara bangsa dan menghargai status kewarganegaraan.

Kerakyatan bukan murah harganya. Lihat sahaja pengalaman ngeri dan menyedihkan masyarakat Rohingya yang tidak berwarganegara.

Justeru, rakyat dituntut meletakkan kesetiaan kepada negara. Bagi masyarakat Melayu, perumpamaan menyebutkan bahawa 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.

Dalam sebuah kehidupan moden, masyarakat asyik bercakap mengenai kebebasan. Memang ada konsep kebebasan dalam peruntukan Perlembagaan, tetapi ia bukan mutlak.

Dalam kehidupan, kita disusun berdasarkan peraturan agama dan undang-undang negara. Malah, ada sesetengah golongan pribumi masih mengamalkan undang-undang adat. Mereka menghormati peranan Mahkamah Anak Negeri.

Dalam kehidupan seharian, semua bergelar warganegara berhak mendapat pelbagai kemudahan disediakan kerajaan.

Justeru, bagi yang melanggar Perlembagaan dan undang-undang, wajib dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Hakikatnya, pembangunan negara masa kini tercipta hasil kukuhnya kesepaduan dan integrasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X