Ahad, 26 Julai 2020 | 11:00am

Kebebasan media perlu seiring perkasa kedaulatan negara

BEBERAPA hari lalu heboh diperkatakan mengenai jawapan balas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengenai keperluan mendapatkan lesen bagi penerbitan video persendirian. Sekiranya kita membaca hansard Parlimen atau menonton rakaman video terbabit, jelas kita dapat melihat kenyataan yang dipetik menjadi tajuk berita di kebanyakan media bukan jawapan yang keluar langsung daripada mulut beliau.

Menteri hanya menjelaskan segala yang termaktub dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Akta 244) yang secara tidak langsung jelas memperlihatkan akta berkenaan meletakkan syarat sedemikian bagi semua bentuk penerbitan.

Walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia sangat memahami akta dikuat kuasa sejak 1981 itu sudah tidak praktikal, keengganan beliau menjawab, sebaliknya boleh dilihat sebagai tindakan mengelak daripada terperangkap. Sebagai Ahli Kabinet, beliau tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan akta di Parlimen dan seterusnya tercatat dalam hansard Parlimen.

Ini diperkukuhkan lagi kenyataan media dikeluarkan beliau pada Jumaat lalu mengenai komitmen Kabinet untuk menilai dan meminda Akta 244 dalam memperkasa kebebasan di laman sosial.

Kita mengharapkan kenyataan media yang dikeluarkan itu bukan sekadar untuk meredakan ketegangan, sebaliknya menjadi iltizam, seterusnya disambut dengan proaktif oleh penjawat awam dan penggubal polisi berkaitan - untuk segera merangka gerak kerja ke arah itu.

Bagi penerbit perfileman, khususnya yang cakna dan mengikuti rapat perihal perundangan dalam industri ini, sememangnya syarat pelesenan penerbitan, pengedaran dan pemameran seperti diperjelaskan dalam Akta 244 sesuatu sudah kita maklum.

Dengan perkembangan teknologi dan platform baharu dalam talian, termasuk saluran media sosial serta media penstriman over-the-top (OTT), menjadikan ekosistem perfileman dan kandungan kreatif sudah banyak berubah, sekali gus keperluan untuk merombak Akta 244 menjadi sangat mendesak.

Buat yang tidak mengetahui, usaha meminda Akta 244 ini berjalan sekian lama pada peringkat kementerian dan agensi bertanggungjawab. Malah, beberapa tahun lalu, ia hampir dikuatkuasakan. Namun, birokrasi memperlahankan usaha itu.

Jika mahu memperkatakan kebebasan media secara lebih terperinci, sebenarnya Akta 244 bukan satu-satunya akta yang mampu mencapai hasrat itu. Beberapa akta lain seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) adalah lebih penting untuk disemak semula.

Pasti ia usaha mencabar apabila akan membabitkan beberapa kementerian khususnya Akta 620 yang diletakkan di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain itu, penapisan penontonan dalam dunia hari ini sedang berubah. Pendekatan penapisan secara kendiri semakin berkembang di kebanyakan negara. Dalam dunia tanpa sempadan pada masa kini – ditambah teknologi seperti rangkaian persendirian maya (VPN) yang mampu memecah sebarang sekatan dalam talian – pendekatan penapisan ketat oleh kerajaan dilihat semakin kurang berkesan, malah boleh dianggap kurang relevan. Seketat mana pun penapisan oleh kerajaan, masyarakat tetap akan mendapat akses pelbagai bahan tontonan tanpa tapisan ini.

Oleh itu, pendekatan kerajaan pada masa kini seharusnya tidak semakin autokratik, tetapi lebih untuk mendidik masyarakat bagi menjadi penonton bijak dalam menapis dan menilai sendiri tontonan mereka. Peranan Lembaga Penapisan Filem (LPF) contohnya tidak harus dilihat sebagai platform penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya organisasi yang seharusnya edukatif.

Kita sedar perundangan harus wujud dalam melahirkan sistem kehidupan bermasyarakat harmoni, namun mekanismenya harus sesuai dan ideal dengan situasi semasa.

Ini termasuk bagaimana kita mengendalikan isu ancaman daripada media asing yang cuba memporakperandakan perihal dalaman negara kita seperti yang berlaku dalam penerbitan dokumentari Locked Up in Malaysia's Lockdown terbitan Al Jazeera.

Kita amat berharap usaha menyuburkan kebebasan media harus diusahakan dengan penuh iltizam pada semua peringkat – dalam masa sama gerakan mempertahankan kedaulatan negara harus terus diperkasakan.

Penulis adalah Pengarah Pengasas, Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF)

Berita Harian X