Rabu, 29 Julai 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Berbelanja dalam negara rancakkan semula ekonomi domestik

Pandemik COVID-19 bukan sekadar soal kesihatan dan perubatan, bahkan memberi kesan kepada kehidupan harian, memaksa kita mengadaptasi normal baharu merangkumi aspek kebersihan diri, cara bersosial, pengurusan kewangan serta landskap sosioekonomi.

Ekonomi paling terkesan sekali. Bukan sahaja di negara ini, malah dunia juga. Aktiviti ekonomi terhenti dan terjejas teruk apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 31 Ogos ini.

Pengusaha dan peniaga tidak mempunyai pilihan melainkan akur dengan segala arahan untuk menghentikan urusan perniagaan yang bukan dalam kategori keperluan ketika itu.

Bagaimanapun, kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, menunjukkan kesan positif dengan penurunan kadar jangkitan mula direkodkan.

Justeru, pemulihan ekonomi menjadi agenda utama ketika PKPP dengan pembabitan kerajaan, komuniti peniaga dan rakyat sebagai pembeli serta pengguna.

Sektor peruncitan mesti dihidupkan segera berikutan penurunan indeks perdagangan borong dan runcit ke paras -6.1 peratus pada Mac, berbanding 5.4 peratus pada Februari berdasarkan laporan Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2020 dikeluarkan Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sumbangan sektor peruncitan juga merosot RM28.3 bilion pada suku pertama 2020 berbanding RM32.4 bilion pada suku keempat 2019, iaitu penurunan 13 peratus bersamaan RM4.16 bilion. Berdasarkan rekod, sektor peruncitan di Johor Bahru mengalami kemerosotan 80 peratus kerana ketiadaan pelancong dari Singapura sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam pembentangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lalu, Perdana Menteri memberi penekanan terhadap inisiatif peruncitan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Saya amat berbesar hati kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kepercayaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk melaksanakan KBBM yang diperkenalkan sejak 2009.

Perancangan gerak kerja KBBM ini dilaksanakan bersama pegawai saya pada peringkat Persekutuan dan negeri yang akan dilaksanakan di semua platform, termasuk kompleks beli-belah, pasar raya dan jualan dalam talian dari sekarang hingga akhir tahun ini.

KBBM yang dilaksanakan serentak dengan Karnival Jualan Malaysia (KJM) 2020 ialah inisiatif komprehensif untuk memulih dan merancakkan sektor peruncitan dalam negara.

Pelaksanaan kempen ini turut membabitkan persatuan penjaja, termasuk Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Francais Malaysia (MFA), Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) serta kementerian lain berkaitan. Saya bersyukur kerana menerima kerjasama dan sokongan semua pihak.

Bagaimanapun, usaha ini tidak akan berjaya jika rakyat Malaysia selaku pembeli dan pengguna tidak memberi sokongan padu. Perbelanjaan serta transaksi dilakukan pengguna adalah pemangkin meningkatkan ekonomi negara.

Teori ekonomi Keynesian mengatakan kerajaan harus merangsang perbelanjaan dan rakyat harus menyambutnya untuk mengakhiri kemelesetan ekonomi. Sama ada perbelanjaan dilakukan secara fizikal atau dalam talian, kedua-duanya memberi kesan positif terhadap pemulihan ekonomi domestik.

Ekonomi akan merosot jika aktiviti perbelanjaan dalam kalangan pengguna berkurangan. Inilah yang kita hadapi ketika tempoh PKP serta PKPB.

Banyak perusahaan dan perniagaan akan gulung tikar serta pekerja hilang pekerjaan sekiranya industri peruncitan tidak dapat diaktifkan semula. Ekonomi akan bergantung sepenuhnya kepada aktiviti eksport dengan harapan negara lain mengimport barangan kita.

Namun, jika semua negara mengalami masalah ekonomi akibat COVID-19 juga, aktiviti eksport akan terjejas seperti berlaku sekarang. Ini akan melumpuhkan keseluruhan ekonomi dunia.

Apabila rakyat berbelanja, permintaan akan bertambah dan perusahaan dapat meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Ini seterusnya mencipta lebih banyak pekerjaan dan gaji diterima dapat menggalakkan aktiviti perbelanjaan. Ini kitaran ekonomi yang perlu digalak untuk memulihkan ekonomi keseluruhan.

Bagi mengimbangi kebajikan dan kos kehidupan rakyat, kerajaan memberi pelbagai insentif atau kelonggaran kepada rakyat melalui kemudahan moratorium oleh institusi perbankan bagi pinjaman perumahan, kenderaan dan peribadi. Sekurang-kurangnya ini memberi sedikit kelegaan dan meningkatkan lebihan pendapatan boleh guna untuk berbelanja dalam kalangan rakyat.

Namun, inisiatif kerajaan ini tidak akan berhasil jika rakyat tidak bersama memainkan peranan.

Berbelanja supaya wang kita dapat dikitar untuk mencipta peluang pekerjaan, membayar gaji, mengeluarkan produk baharu dan sebagainya. Ini dapat membantu mengembangkan dan menghidupkan semula ekonomi domestik negara dengan lebih cepat.

Saya percaya rakyat mula membiasakan diri terhadap normal baharu dengan mematuhi SOP ditetapkan. Saya sendiri turun padang dan melihat bagaimana premis perniagaan mengambil langkah perlu untuk kebaikan dan kesejahteraan semua. Aktiviti perbelanjaan dalam talian juga meningkat sejak PKP dilaksanakan.

#stayathome atau #dudukdirumah sudah tidak relevan lagi. Sama ada ngopi, ngeteh dan makan-makan bersama teman, membeli-belah bersama keluarga ataupun cuti-cuti Malaysia yang penting berbelanja untuk menjana ekonomi negara. Namun, jangan lupa untuk terus mematuhi SOP ketika di luar rumah.

#Kitajagakita, bukan sahaja terpakai untuk aspek kesihatan, bahkan aspek ekonomi. Kalau bukan kita rakyat Malaysia menaikkan ekonomi sendiri, siapa lagi?

Pelancong belum boleh melawat negara kita dan berbelanja. Kalau dulu YES – year end sales memberi tumpuan terhadap pelancong luar negara, kini KBBM dan KJM diadakan khas untuk rakyat Malaysia.

Kedua-dua kempen ini akan dilaksanakan selama enam bulan dari Julai hingga Disember depan dengan tema berbeza setiap bulan.

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan gajet pada Julai; fesyen dan pakaian (Ogos); perabot dan peralatan rumah (September) dan sukan serta gaya hidup (Oktober) sempena Bulan Sukan Negara, manakala Disember dengan tema Kembali Ke Sekolah.

Saya sangat berharap rakyat Malaysia menyambut baik kempen ini. Peniaga dan peruncit memberi komitmen penuh untuk menyertai kempen ini dengan menawarkan pelbagai produk pada harga menarik.

Kita kini diberi kelonggaran untuk ke sana ke sini dan saya percaya pastinya ramai juga menunggu peluang untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha di kampung bersama keluarga. Bersempena Aidiladha, program Sales Street/District akan dilancarkan di setiap negeri.

Boleh bawa ibu ayah di kampung untuk berjalan-jalan menikmati suasana di Sales Street/District sambil berbelanja barangan Malaysia bermutu tinggi untuk yang tersayang.

Selamat menyambut Aidiladha. #belanjauntukmalaysia #barangbaikbarangkita

Penulis adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

Berita Harian X