Selasa, 15 September 2020 | 11:00am

Geotaman Gunung Stong serlah sumber warisan Kelantan

GUNUNG Stong terkenal sebagai pusat rekreasi yang tidak asing lagi pada mata pencinta alam. Ia antara tapak terbaik di Kelantan untuk dibangunkan sebagai geotaman peringkat kebangsaan.

Kelantan mempunyai banyak kawasan menarik yang dikategorikan sebagai sumber warisan geologi. Kajian menunjukkan terdapat 36 geotapak di seluruh negeri itu yang berpotensi dijadikan sumber warisan.

Di Jeli sahaja, terdapat lima geotapak iaitu Lata Chennai, Lata Janggut, Lata Renyok, Air Terjun Jelawang dan Mata Air Panas Jeli.

Persoalannya, apakah masyarakat setempat sedar semua geotapak ini boleh dieksploitasi untuk dibangunkan sebagai geotaman yang menyumbang perkembangan serta kemajuan ekonomi penduduk setempat khususnya dan negeri.

Konsep geotaman diketengahkan merangkumi satu kawasan yang mempunyai sempadan jelas dan mengandungi tapak warisan geologi berkepentingan kebangsaan, serantau atau antarabangsa dibangunkan secara lestari bagi meningkatkan tahap ekonomi dan nilai budaya masyarakat di dalamnya.

Pembangunan bukan untuk mengehadkan penggunaan sumber bumi dan alam flora fauna di dalam geotaman, namun penggunaan semua sumber dilakukan secara lestari.

Tujuannya mengekalkan sumber ini bagi generasi akan datang. Penggunaan adalah secara optimum dengan memupuk kesedaran bahawa sumber bumi bukan hak kita semata-mata, tetapi juga milik anak cucu generasi akan datang.

Bertitik tolak kesedaran ini masyarakat dapat menilai keperluan membangunkan geotaman di Gunung Stong, selain disedarkan keistimewaan dan keunikan Gunung Stong serta kawasan sekitarnya.

Pengkaji yang menjalankan penyelidikan di Gunung Stong mengakui lokasi itu cukup unik dari segi kepelbagaian jenis batuan, struktur geologi dan geomorfologi serta sejarah pembentukan batuan yang kompleks.

Saya sendiri mengkaji asal mula pembentukan batuan di Gunung Stong. Ia dibentuk penyejukan magma di bawah permukaan bumi sekitar 88 juta hingga 93 juta tahun.

Penyejukan dan pemanasan berulang-ulang di bawah permukaan bumi mewujudkan sekurang-kurangnya 10 jenis batuan berbeza sifat dan cirinya. Ini satu keunikan yang boleh dilihat di Gunung Stong secara lahiriah.

Singkapan batuan Gunung Stong berbeza dari segi warna, saiz butiran dan teksturnya. Batuan di Air Terjun Lawang berwarna kelabu cerah dan berbutir halus, sementara di Lata Chennai kemerah-merahan dan berbutir kasar.

Begitu juga Lata Renyok yang mempunyai batuan berjalur-jalur gelap dan cerah berselang lapis batuan syis kuarza dan syis biotit hornblend. Ia menunjukkan ciri pelapisan renyuk yang menarik. Asal penamaan Lata Renyok itu sendiri berdasarkan keadaan batuan yang dikatakan merenyuk.

Tidak kurang juga Mata Air Panas Jeli. Ia sumber mata air panas yang berkekalan kepanasan sepanjang tahun.

Kepelbagaian struktur dan geomorfologi cukup unik diperhatikan di singkapan batuan di setiap geotapak. Struktur terbahagi kepada primer dan skunder.

Struktur primer merujuk fitur yang boleh dibentuk ketika proses penghabluran batuan daripada magma, sementara struktur skunder dibentuk proses berlaku selepas batuan menghablur.

Ketika penghabluran, aliran magma secara perlahan di bawah permukaan bumi membentuk batuan yang mempunyai butiran mineral kasar yang mengatur dan membentuk penjajaran atau pengaturan selari.

Fitur ini dapat dicerap dengan jelas di Lata Chennai dan sepanjang Sungai Terang. Selepas batuan menghablur berlaku canggaan atau perubahan bentuk seperti mampatan dan regangan yang membentuk fitur seperti kekar, sesar dan pelipatan.

Kekar dan sesar ini pula diterobos magma yang lewat membentuk telerang. Ini membentuk kerencaman struktur seperti yang dilihat di Lata Renyok.

Keunikan struktur ini jarang berlaku dan hanya dijumpai secara jelas dan menarik di Lata Renyok. Mampatan dan tekanan berterusan akibat canggaan rantau menyebabkan batuan yang sudah menghablur mengalami peleburan semula membentuk foliasi rencam dan menarik dikenali tigmatit.

Fitur tigmatit boleh didapati di Sungai Semuliang berdekatan Air Terjun Jelawang. Fitur ini juga jarang dijumpai dan unik cara pembentukannya.

Selain kepelbagaian struktur, fitur geomorfologi atau rupa bentuk fizikal sesuatu singkapan batuan yang dibentuk proses hakisan, luluhawa dan tektonik juga begitu unik.

Keunikan fitur geomorfologi paling ketara adalah kewujudan Air Terjun Jelawang yang dibentuk perbezaan ketinggian topografi akibat tektonik. Air terjun setinggi 303 meter daripada aras laut ini tertinggi Asia Tenggara.

Ia dikatakan mempunyai tujuh tingkat dengan kolam dibentuk air terjun. Antaranya Kolam Puteri dan Kolam Tujuh Telaga.

Gua pula fitur geomorfologi dbentuk hakisan dan luluhawa. Di Gunung Stong adanya Gua Rantai yang boleh dilalui pendaki ke puncak Gunung Stong.

Antara geotapak gua yang menarik adalah Kompleks Gua Ikan. Di dalamnya, selain Gua Ikan itu sendiri terdapat juga Gua Keris dan Gua Pagar. Semua gua ini dibentuk batu kapur.

Morfologi gua yang menarik seperti stalagtit dan stalagmit, turus dan bidai batu kapur serta kesan riak. Di dalam Gua Keris terdapatnya turus batu kapur yang membentuk arca seakan keris. Begitu juga dalam Gua Pagar, terdapatnya struktur bidai batu kapur seakan pagar.

Semua fitur ini diguna pakai untuk menamakan gua terbabit. Keistimewaan dan keunikan di Gunung Stong dan sekitarnya perlu diketengahkan kepada masyarakat setempat, bukan sekadar kajian saintifik semata-mata.

Oleh itu, satu usaha perlu digembleng untuk menyampaikan maklumat ini kepada masyarakat setempat. Persoalannya, bagaimana ia perlu dilakukan.

Satu usaha interaksi antara pengkaji dan jabatan kerajaan dengan masyarakat setempat serta organisasi berkepentingan harus dimulakan.

Bukan sahaja menggerakkan kesedaran berkenaan kepentingan sumber warisan di Gunung Stong, tetapi mengetengahkan cadangan pembangunannya sebagai geotaman bagi memakmurkan masyarakat setempat dari segi ekonomi, budaya dan warisan.

Usaha ini bukan mudah, namun Jabatan Mineral dan Geosains khususnya cawangan negeri Kelantan boleh memainkan peranan penting menggerakkan usaha ini.

Pembangunan Geotaman Gunung Stong pasti memberi impak besar kepada kedatangan pelancong bukan sekadar dalam negara yang berminat mendaki, tetapi pelancong luar negara yang cintakan keunikan dan keistimewaan batuan, flora dan fauna.

Kedatangan pelancong ini akan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat dari segi sumber ekonomi dan sosial.

Bagi memastikan pelancong mengalami pengalaman istimewa dan unik, sudah tentu pelbagai perancangan dan pembangunan perlu dibuat. Ia termasuklah penyediaan pakej lawatan menarik, pembangunan insfrastruktur, juru pandu pelancong dan sebagainya.

Semua pembangunan ini menjurus kemakmuran masyarakat setempat kerana peluang pekerjaan boleh dihasilkan.

Bagi pembangunan geotaman Gunung Stong, ia bukan hanya memerlukan sokongan masyarakat setempat, malah lebih penting sokongan kerajaan negeri bagi mewartakan kawasan dan memartabatkan ia sebagai satu kebanggaan dan keistimewaan bagi negeri Kelantan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X