Khamis, 26 November 2015 | 12:11am
PEKERJA mengepam air Sungai Segget dan disalurkan ke Selat Tebrau. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
KERATAN akhbar BH pada 19 September 2014.
GRADUAN, Fatin Nabilahhuda Zahari.
RAKYAT Johor, Moideen Abd Rahman.
KEADAAN di sekitar Sungai Segget pada 1970-an.
KEADAAN di sekitar Sungai Segget pada 1960-an.
PROJEK Sungai Segget di bawah seliaan IRDA sedang dilaksanakan.

Wajah baharu Sungai Segget


SUNGAI Segget yang mengalir di tengah bandar raya Johor Bahru bakal berwajah baharu.

Lebih penting ia akan menjalani proses pengindahan bagi menjadikannya sebagai kawasan rekreasi yang indah dan cantik.

Penduduk tempatan dan pengunjung asing pasti tertarik dengan pemandangan yang cantik dan sekali gus menjadikan Sungai Segget tarikan terbaharu dalam sektor pelancongan seperti yang berlaku di Seoul, Korea Selatan apabila sungai di tengah bandar raya sering dikunjungi orang ramai untuk bersantai dan berehat.

Biarpun umum mengetahui Sungai Segget adalah sungai kedua paling tercemar di Malaysia dan susulan kepada status negatif itu banyak usaha dilakukan kerajaan Johor termasuk pembersihan segera bagi mengurangkan pencemaran air yang mengalir ke Selat Tebrau.

Usaha menjadikan sungai kelas 3 dan 4 ini kepada kualiti air bersih yang sekurang-kurangnya selamat untuk aktiviti riadah, menjadi antara agenda utama Johor untuk mengembalikan semula kegemilangan Sungai Segget yang pernah menjadi laluan penting bagi aktiviti perdagangan suatu ketika dahulu.

Masalah yang dihadapi Sungai Segget kerana tiadanya pusat kumbahan berpusat yang mana kebanyakan sisa kumbahan dan pepejal dari bangunan berhampiran terus memasuki sungai berkenaan.

Banjir juga kerap berlaku di kawasan sekitar Sungai Segget dan kapasiti sungai berkenaan tidak mampu menampung jumlah aliran air yang banyak semasa aliran puncak, selain ia juga berdepan pengurusan sisa minyak dan gris tidak efisyen oleh pengusaha restoran dan warung sekeliling sebelum ini.


BANJIR kerap berlaku di kawasan sekitar Sungai Segget dan kapasiti sungai berkenaan tidak mampu menampung jumlah aliran air yang banyak semasa aliran puncak.

Sejarah Sungai Segget terlakar bersama pembukaan Iskandar Puteri oleh Temenggong Daeng Ibrahim pada 1855 dan pusat pemerintahan itu ditukar kepada nama Johor Bahru oleh Sultan Abu Bakar pada 1866. Sehingga era 1900-an, sekali gus menjadikan laluan sungai yang sangat sibuk.

Sungai sepanjang 3.8 kilometer itu menjadi nadi pembangunan Johor Bahru dan kebanyakan sampan dan tongkang dagang akan masuk ke perairan muara Segget untuk memunggah naik atau menurunkan barangan.

Sungai Segget sememangnya menjadi satu ikon utama bagi rakyat Johor sejak 1855 lagi. Sama seperti Sungai Klang yang begitu penting bagi Kuala Lumpur. Sungai Segget adalah punca pembentukan ruang ekonomi di sepanjang Jalan Wong Ah Fook dan keseluruhan pusat bandaraya yang kekal sehingga kini.

Dahulunya Sungai Segget ini digunakan sebagai medium pengangkutan barang bagi pasar yang terletak di tepi sungai (kini bangunan MARA dan UMNO).

Hari ini Sungai Segget ditukar kepada sebuah sungai yang tertutup digunapakai sebagai legaran pejalan kaki yang dikenali sebagai Legaran Segget.

Penutupan sungai itu sedia ada adalah langkah jangka pendek berikutan kos pelaksanaan yang terhad pada ketika itu.

Dengan adanya teknologi yang lebih baik pada hari ini, transformasi JB akan membuka semula sungai ini dengan memastikan kualiti air di sungai itu akan berada pada kelas dua bagi mengatasi masalah pencemaran sungai dan Selat Johor, sekali gus menggalakkan aktiviti berkaitan pelancongan seperti menaiki bot.


PIHAK Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Kini, menerusi program Transformasi Johor Bahru, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) melakarkan perancangan tersendiri untuk mengembalikan nostalgia dan kegemilangan Sungai Segget seperti suatu ketika dulu.

Walaupun tidak akan berfungsi sebagai laluan sungai yang dipenuhi sampan dan tongkang dagang, IRDA sudah memulakan kerja pemulihan sungai itu dengan memecahkan lapisan konkrit yang menutupi Sungai Segget.

Menerusi program Transformasi Johor Bahru, sungai berkenaan akan menyediakan saliran terbuka sepanjang 3.25 kilometer dan ia bakal menarik minat penduduk dan pelancong untuk mengadakan aktiviti rekreasi di Sungai Segget apabila proses transformasi siap sepenuhnya.

Pemulihan itu ditunjangi dengan pembinaan Kompleks Rawatan Sungai Segget di Wadi Hana, dekat sini yang bertujuan menjalankan proses rawatan air Sungai Segget sebelum ia disalurkan ke Selat Tebrau.

Projek Sungai Segget yang di bawah seliaan IRDA membabitkan kos kira-kira RM200 juta dan meliputi dua pakej iaitu pembinaan Pelan Rawatan Air Bersepadu dan pembinaan Sistem Tebatan Banjir dan Sistem Pembetungan, serta Pengindahan Sungai Segget dan Jalan Wong Ah Fook.


PENOLONG Naib Presiden Projek dan Pengurusan Projek IRDA, Azahari Mukayat menunjukkan model Kompleks Rawatan Air Sungai Segget. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Penolong Naib Presiden Projek dan Pengurusan Projek IRDA, Azahari Mukayat, berkata bagi membersihkan perairan Selat Johor dan meningkatkan kualitinya, kadar pencemaran perlu dikurangkan daripada sumbernya terutama di kawasan tadahan Sungai Segget.

Sehubungan itu katanya, tujuan utama pembinaan kompleks rawatan itu ialah bagi mengatasi masalah bau sungai dan banjir di pusat bandaraya Johor Bahru dan meningkatkan kualiti air Sungai Segget daripada kelas 3 atau kelas 4 kepada kelas 2B.

Katanya, antara profil menarik Sungai Segget ialah ia mempunyai kawasan tadahan air seluas 360 hektar dengan sumber air tadahan dari kawasan pembangunan di Jalan Abdullah Tahir dan Jalan Yahya Awal sebelum mengalir keluar ke Selat Johor.

Beliau berkata, kawasan tadahan itu menerima influen (air sungai yang bercampur dengan air tanah permukaan) dari Ulu Ayer Molek dan Wadi Hana menerusi Sungai Segget.

"Influen yang terkumpul di kolam tadahan kemudian akan disalurkan ke Selat Tebrau menerusi sungai yang sama. Sebelum itu, influen yang terdapat di kolam tadahan akan disalurkan ke Kompleks Rawatan Sungai Segget terlebih dahulu bersama dengan influen daripada Sub-Tadahan 1 dan 2.


KOMPLEKS Rawatan Air Sungai Segget, Johor Bahru dalam fasa pembinaan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Azahari berkata, IRDA adalah agensi pelaksana bagi projek pembinaan Kompleks Rawatan Air Sungai Segget yang berkapasiti 150,000 penduduk setara (PE).

"Ketinggian bagi Kompleks Rawatan Air Sungai Segget adalah kira-kira 45 meter merangkumi tujuh tingkat. Keluasan tanah bagi Kompleks Rawatan Air Sungai Segget adalah 5,455 meter persegi.

"Klasifikasi bagi jenis loji rawatan air kumbahan adalah sistem SBR (Sequencing Batch Reactor). Proses bagi loji ini terdiri daripada rawatan awal, rawatan biologikal dan rawatan pembersihan sisa pepejal.

"Pihak konsultan merekabentuk kompleks ini dengan beberapa perisian bagi membantu kerja pembinaan dari segi kejuruteraan awam, struktur, arkitek, elektrikal, sistem dan proses," katanya.

Azahari berkata, pembinaan Kompleks Rawatan Air Sungai Segget mengambil masa dua tahun yang dijangkakan siap pada Jun 2016 dan tempoh masa bagi penyelenggaraan sebelum ia diserahkan kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) adalah dua tahun daripada tarikh ia siap dibina.


FASA pertama Program Tranformasi Johor Bahru membabitkan kerja pembersihan dan pengindahan Sungai Segget dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2016. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Sementara itu, graduan, Fatin Nabilahhuda Zahari, 23 berkata pembinaan Kompleks Rawatan Air Sungai Segget itu diharap dapat merealisasikan objektif utama untuk membersihkan air berkenaan yang sudah lama tercemar.

"Projek Transformasi Johor Bahru ini bakal mengangkat bandaraya ini setanding negara maju selain menyediakan potensi pelaburan dan pelancongan lebih luas," katanya.

Bagi anak kelahiran Johor, Moideen Abd Rahman, 58, berkata beliau bangga dengan pelaksanaan projek itu yang akan memberikan wajah baharu kepada Johor Bahru yang pada sama mengekalkan identitinya.

270 dibaca
Berita Harian X