Khamis, 26 November 2015 | 7:45pm

Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan sehingga 11 Disember

KOTA KINABALU: Perintah berkurung Fasa 31, yang berakhir jam 5 pagi tadi di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), dilanjutkan sehingga 11 Disember mulai hari ini bermula 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata keputusan melanjutkan tempoh perintah berkurung meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran itu dibuat bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan penghuni daratan di ESSZone.

"(Perintah Berkurung ini dilanjutkan) bagi memudahkan penguatkuasaan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti-aktiviti perikanan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan yang menguatkuasakan perintah berkurung ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, perintah berkurung berkenaan juga perlu dilanjutkan bagi melindungi perairan Sabah daripada dicerobohi pihak pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik dan pelancong luar negara yang melawat pulau-pulau peranginan yang terletak di kawasan ESSZone.

Menurut Jalaluddin, maklumat yang diterima mendedahkan bahawa kumpulan pengganas dari selatan Filipina yang menjalankan aktiviti menculik untuk mendapatkan wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh perairan Sabah untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

Jalaluddin berkata, kuasa sudah diberikan kepada semua Ketua Polis Daerah yang terletak dalam kawasan ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon untuk tujuan aktiviti perikanan atau laluan mendesak.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X