Jumaat, 27 November 2015 | 2:59pm

RM970 juta untuk penyelidikan produk inovasi - MOSTI


TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

ALOR GAJAH: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membelanjakan RM970 juta bagi 1,820 projek melibatkan kerja-kerja penyelidikan dan penciptaan produk inovasi tahun ini sehingga 30 Oktober lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata daripada jumlah itu sebanyak 714 projek telah berjaya disiapkan.

"Daripada 714 buah projek ini, hanya lapan peratus projek sahaja berjaya dikomersialkan dan kita dalam usaha untuk membanyakkan lagi produk komersial. Kita menggalakkan lebih ramai lagi penyelidik menghasilkan produk inovasi yang boleh dikomersialkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Kem Stem (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh di Universiti Teknikal Malaysia Melaka di sini.

Abu Bakar berkata, MOSTI menyasarkan sebanyak 360 produk berimpak tinggi hasil daripada penyelidikan dan pembangunan sektor awam dan swasta dapat dikomersialkan pada tahun hadapan sempena Tahun Pengkormersialan Malaysia 2016.

Beliau berkata, setakat tahun ini, MOSTI berjaya mengkomersialkan sebanyak 65 jenis produk inovasi berimpak tinggi termasuk yang dikelolakan agensi-agensinya.

"Setakat September tahun ini, sebanyak 65 produk inovasi berimpak tinggi berjaya dihasilkan di bawah MOSTI dan produk ini aktif di pasaran. Kerajaan menyediakan RM1.5 bilion untuk disalurkan kepada kementerian-kementerian terlibat dengan MOSTI bertindak sebagai penyelaras," katanya.

Beliau juga meminta penyelidik tempatan dan juga pelajar sekolah supaya melakukan lebih kajian bersifat lebih komersial dan boleh dipasarkan supaya kadar pengkomersialan hasil penyelidikan dapat ditingkatkan kepada 15 peratus pada 2020 setanding dengan negara-negara maju lain.

- BERNAMA

Berita Harian X