Jumaat, 27 November 2015 | 3:53pm

Lelaki curi 30 kotak ubat gigi dipenjara 10 hari, denda RM250

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri 30 kotak ubat gigi di sebuah kedai serbaneka di Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang pekerja kedai makan dihukum penjara 10 hari dan denda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Azlan Ibrahim, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri 30 kotak ubat gigi yang semuanya bernilai RM140.40 di Hospi Mart HKL, pada 12.55 tengahari, 26 November lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 hari sekiranya gagal membayar denda.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan itu adalah kesalahan pertama dan dia perlu menyara ibunya yang berada di kampung.

Timbalan Pendakwa Raya, .Siamalah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya agar tertuduh insaf dan tidak mengulangi perbuatannya.

- BERNAMA

Berita Harian X