Jumaat, 27 November 2015 | 8:35pm

PFAM kesal FAM lewat urus isu pemain

KETUA Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) kesal dengan kelewatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menguruskan lapan kes tuntutan gaji dan kontrak pemain termasuk seorang pemain import dari Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata tindakan Jawatankuasa Status FAM yang masih gagal memberikan sebarang reaksi seolah-olah menggambarkan badan induk itu tidak serius mengenai hal kebajikan dan hak para pemain yang sudah lama dinafikan oleh majikan mereka.

Beliau mendakwa PFAM pernah mengeluarkan kenyataan media pada 18 November lalu berkenaan perkara yang sama selain turut menyerahkan segala aduan dan afidavit kepada FAM pada Jun lalu, namun tiada sebarang tindakan susulan diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.

"PFAM amat mengharapkan agar kes-kes pemain ini diselesaikan secara segera bagi membolehkan keadilan diletakkan pada tempatnya," kata Izham dalam satu kenyataan media, hari ini.

Lapan kes terbabit ialah penamatan kontrak tiga pemain Kuala Lumpur iaitu Farouk Hashim, Fariss Azlan, dan Fazilidin Khalid serta pemain FELDA United, Azrul Ahmad selain tunggakan bayaran pampasan kepada bekas pemain Sabah, M Yoganathan.

Tiga kes lain ialah permohonan alasan keputusan Anis Faron dari pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) II, tunggakan bayaran pemain pasukan Angkatan Tentera Malaysia dan tunggakan gaji pemain import Kelantan iaitu Jonathan McKain dari Australia.

Pada masa yang sama, Izham turut mencadangkan bahawa satu tempoh masa perlu ditetapkan untuk memastikan jawatankuasa berkenaan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan sesuatu kes pada masa akan datang.

"Bagi PFAM ini adalah situasi menang-menang iaitu kes pemain dapat didengar secara segera, manakala Jawatankuasa Status FAM tidak lagi terbeban dengan kes tertunggak. - BERNAMA

Berita Harian X