Sabtu, 28 November 2015 | 2:18am

5 kambing disembelih pencuri

P Saravanan (kiri) menanggung kerugian apabila lima kambing peliharaannya dalam sebuah kandang dekat Taman Cicely di sini, hilang akibat dicuri pagi kelmarin. - Foto Ravale Savarinathan

TELUK INTAN: Seorang penternak kambing kerugian lebih RM4,000 apabila lima kambing peliharaannya dalam sebuah kandang dekat Taman Cicely di sini, hilang akibat dicuri pagi kelmarin.

  Kehilangan kambing berkenaan hanya disedari pemiliknya, P Saravanan, 44, pada jam 10 pagi ketika ingin memberi makan dan melepaskan haiwan ternakannya itu dari kandang.

Katanya, berkata, lima kambing itu juga dipercayai disembelih terlebih dahulu sebelum dilarikan kerana ada kesan darah di bawah kandang.

Beliau berkata, kambingnya hanya tinggal 12 ekor selepas sebahagian besar sudah dijual ketika musim Deepavali yang lalu dan lima ekor yang hilang itu hanya menunggu masa untuk dijual.

"Pada malam kejadian, saya berada di kandang membuat unggun api dan asap bagi menghalau nyamuk. Selepas jam 12 tengah malam saya masuk ke rumah yang terletak tidak sampai 50 meter dari kandang.

"Kira-kira jam 10 pagi keesokannya, saya ke kandang untuk melepaskan kambing berkenaan namun terkejut menemui kesan darah yang banyak di bawah kandang. Apabila diperiksa, saya mendapati lima ekor kambing iaitu empat jantan dan satu betina hilang," katanya ketika ditemui, semalam. 

Saravanan yang membuat laporan polis di Balai Polis Hilir Perak berhubung kejadian itu, berkata dia syak pencuri melarikan kambingnya menerusi laluan dalam belukar berhampiran di antara jam 2 hingga jam 4 pagi.

Berita Harian X