Sabtu, 28 November 2015 | 2:59pm

IPTS bawah KKLW diberi kuasa larang vape di kampus


MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diberi kuasa penuh jika ingin menguatkuasakan larangan rokok elektronik atau vape di kampus masing-masing.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian tidak mempunyai sebarang dasar berhubung penggunaan e-rokok atau vape.

"Apa juga keputusan saya serah kepada mereka (IPTS) di bawah kementerian, mereka boleh buat keputusan," katanya selepas majlis konvokesyen ke-32 Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini hari ini.

Ismail Sabri diminta mengulas sama ada kementerian berhasrat mengikut jejak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menguatkuasakan larangan penggunaan e-rokok atau vape di kampus mulai 1 Januari tahun hadapan.

Jumaat lepas, Naib Canselor USIM Datuk Dr Musa Ahmad dalam kenyataannya di Nilai berkata larangan itu dibuat kerana e-rokok adalah qiyas kepada rokok sebenar dan kenyataan pakar menunjukkan ia memudaratkan.

Sementara itu, Timbalan Presiden KPTM, Ismail Junuh, berkata pihaknya akan membuat kajian berhubung kesesuaian larangan e-rokok atau vape di kampus kolej berkenaan.

"Kita akan kaji perkara ini sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Konvokesyen ke-32 KPTM berlangsung selama tiga hari mulai hari ini sehingga 30 November membabitkan 5,809 graduan peringkat ijazah, diploma dan sijil profesional. BERNAMA

30 dibaca
Berita Harian X