Sabtu, 28 November 2015 | 4:35pm

KDN siasat dakwaan MYEG lantik ejen daftar pekerja asing

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kiri) ketika mengikuti operasi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen, Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Bukit Damar, Cyberjaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kiri) ketika mengikuti operasi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen, Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Bukit Damar, Cyberjaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

CYBERJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiasat dakwaan bahawa syarikat MYEG Services Berhad atau pegawainya melantik ejen untuk pendaftaran atau pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, terdapat aduan bahawa MYEG yang juga syarikat tunggal melaksanakan pendaftaran PLKS secara atas talian, telah melanggar syarat yang menetapkan syarikat itu tidak boleh melantik mana-mana ejen luar untuk tujuan berkenan.

"KDN sedang siasat MYEG atau pegawainya jika terlibat, sebab kita terima banyak laporan bahawa syarikat itu melantik ejen untuk daftar pekerja asing.

"Jika benar tindakan mereka ini, ia boleh menyulitkan kerja-kerja Jabatan Imigresen dalam mengawal kemasukan pekerja asing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti operasi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen, Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Bukit Damar, di sini, hari ini.

Pada 5 November lalu, Nur Jazlan berkata, MYEG yang juga penyedia perkhidmatan atas talian bagi jabatan kerajaan telah menafikan dakwaan bahawa syarikat itu telah melantik ejen untuk melaksanakan pendaftaran dan pembaharuan PLKS. - BERNAMA

Berita Harian X