Ahad, 29 November 2015 | 12:29am

JDT tersingkir, FELDA, Selangor, Kedah, Pahang terus kemaraan

REAKSI berbeza pemain FELDA United (jersi biru) yang gembira meraikan kejayaan pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan JDT 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru, malam tadi. FELDA mara dengan agregat 3-2. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Hasrat juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menambah koleksi trofi kejuaraan musim ini tidak kesampaian apabila tewas 2-1 kepada FELDA United pada pertembungan suku akhir kedua Piala Malaysia di laman sendiri, malam tadi.

Kekalahan sekali gus menyaksikan JDT terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada kempen kali ini apabila disingkirkan 3-2 secara agregat kepada FELDA selepas pertembungan pertama pada Selasa lalu berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Lebih mengecewakan buat JDT, ia kekalahan pertama pasukan itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sejak 2013 sekali gus gagal mengulangi pencapaian tahun lalu dengan mara ke separuh akhir.

Tampil dengan semangat besar beraksi di laman sendiri, gawang JDT begitupun terlebih dulu dibolosi FELDA seawal minit ketiga perlawanan menerusi jaringan penalti Thiago Augusto Fernandes.

FELDA dianugerahkan penalti selepas bola berpunca daripada sepakan sudut Christie Jayaseelan terkena tangan Hariss Harun di dalam kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, pelawat pantas menggandakan usaha menjaringkan gol dan memperoleh beberapa peluang terbaik namun dihampakan persembahan cemerlang penjaga gol pelawat, Farizal Harun.

Gol yang dicari-cari JDT begitupun tiba pada minit ke-50 apabila bola hantaran S Chanthuru disambut Safiq Rahim yang merembat leret menewaskan Farizal.

Begitupun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pelawat meledak gol kedua yang juga gol kemenangan pada minit ke-76 menerusi gerakan bijak Zah Rahan Krangar.

PEMAIN Selangor, Leandro Dos Santos (dua dari kiri) mengasak pemain Sarawak, Ryan Alan Griffiths (kiri) pada aksi di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

Cukup seri 1-1 buat Selangor di Shah Alam

Di Stadium Shah Alam, kegagalan juara 32 kali Selangor untuk mencatat kemenangan di laman sendiri tidak menghalang pasukan itu daripada mara ke separuh akhir selepas seri 1- menentang Sarawak.

Keputusan pada pertembungan malam tadi itu menyaksikan skuad The Red Giants layak ke peringkat empat terakhir secara agregat 3-2 mengatasi Sarawak selepas menang 2-1 di Kuching, Selasa lalu.

Disaksikan lebih 10,000 penyokong itu, Sarawak terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-22 menerusi penyerangnya, Ashri Chuchu sekali gus menyamakan agregat 2-2.

Di sebalik serangan bertali arus Sarawak, Selangor kekal bertahan sebelum meledak jaringan penyamaan menerusi penyerang kebangsaan, Afiq Azmi pada minit ke-29 yang juga gol terakhir pada perlawanan terbabit.

PENJAGA gol PKNS FC menepis bola sambil diasak pemain Kedah, Chidi Edeh pada perlawanan di Stadium Selayang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Kedah gah benam PKNS di laman lawan

Dalam pada itu, Kedah turut mengikuti jejak FELDA yang melakar kemenangan di laman lawan selepas menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kemenangan menyaksikan Kedah mara 4-2 secara agregat selepas perlawanan di Alor Setar, Selasa lalu berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Gol-gol Kedah dijaringkan Chidi Edeh (m29), Sandro Da Silva (58) dan Syafiq Ahmad pada masa kecederaan babak kedua.

Gol tunggal PKNS dijaringkan Pedro Henrique pada minit ke-64 dengan perlawanan turut terhenti kurang lima minit selepas berlaku kekecohan di atas padang membabitkan pemain.

Tumbang di Singapura tak jejas langkah Pahang

Sejam lebih awal, penyandang juara, Pahang terlebih dulu mengesahkan tempat ke separuh akhir sekalipun tewas 2-0 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar.

Dibolosi dalam tempoh kurang lapan minit pada babak pertama, Pahang begitupun berjaya mengemaskan permainan menyaksikan dua jaringan terbabit adalah gol terakhir pada malam itu.

Lions XII di depan seawal minit ke-11 menerusi jaringan Christopher Van Huizen diikuti gol Faris Ramli pada minit ke-18.

Berakhir perlawanan di Stadium Jalan Besar, satu segmen tayangan video khas perjalanan Lions XII sepanjang menyertai kempen Liga Malaysia turut dimainkan dengan penghormatan terakhir turut diberikan pemain Pahang.

PEMAIN Pahang memberi penghormatan kepada pemain Lions XII ketika meninggalkan padang selepas tamat permainan di Stadium Jalan Besar. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Berita Harian X