Ahad, 29 November 2015 | 12:51am

3 budak Cina sertai khatan beramai-ramai


PESERTA khatan 'dimandikan' beramai-ramai sempena Program Berkhatan Perdana anjuran panel penasihat Klinik Kesihatan Wakaf Bharu. - Foto Faris Zainuldin

TUMPAT: Seramai tiga remaja bukan Islam memilih untuk bersama 57 kanak-kanak lain berkhatan dalam acara tahunan anjuran panel penasihat Klinik Kesihatan Wakaf Bharu, di sini, semalam.

   Mereka berbuat demikian selepas tertarik dengan amalan umat Islam itu, bagi menjaga kesihatan dan kebersihan diri.

   Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Cheng, Kota Bharu, Chua Tze Yuan, 14, berkata dia teruja untuk menyertai acara berkhatan itu kerana mendapat pengalaman baharu.

  "Saya mendapat galakan daripada ayah kerana katanya, amalan berkhatan itu bagus dari segi kesihatan dan kebersihan.

  "Saya banyak bergaul dengan rakan Melayu dan mereka turut memberi sokongan kepada saya," katanya ketika ditemui di klinik kesihatan Wakaf Bharu, di sini, semalam.

  Pendapat yang sama dikongsi Chia Yong Son, 11, dan abangnya, Chia Yong Chiek, 15, turut berkhatan kerana ia menjadi amalan dalam keluarganya.

  Ibu mereka, Ong Chai Eyu, 40, berkata semua adik beradik dan anak lelaki dalam keluarganya menjadikan amalan berkhatan sebagai sesuatu yang wajib demi kebersihan diri.

  Katanya, walaupun bukan beragama Islam, beliau mengakui amalan berkhatan membawa kebaikan dan faktor itu mendorongnya menggalakkan semua anak lelakinya berkhatan.

  Dalam program yang mendapat kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Wakaf Bharu 3 itu, seramai 60 kanak-kanak dan remaja mengambil bahagian.

  Peserta terlebih dahulu diarak kira-kira 100 meter dengan bunga manggar dan pulut kuning sebelum memasuki perkarangan klinik kesihatan.

  Seterusnya mereka 'dimandikan' oleh Pemangku Ketua UMNO bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz dengan menyembur air daripada hos bomba sebagai gimik perasmian serta menghilangkan debaran.

  Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Bharu, Dr Khairul Nazli Ramali, berkata permohonan yang diterima amat menggalakkan namun pihaknya terpaksa mengehadkan bilangan.

  "Ini kerana bilangan tok mudim juga tidak ramai iaitu 10 orang berserta 10 pembantu.

  "Peserta hanya perlu membayar RM20 sahaja dan kos yang lain ditanggung oleh KRT dan sumbangan peribadi Datuk Rosdi," katanya.

 

Berita Harian X