Ahad, 29 November 2015 | 4:01pm

Agong beri penghormatan terakhir Almarhum Raja Muda Kedah

TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah (tengah) bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah (dua, kanan) berkenan memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit hari ini. Turut mengiringi baginda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tiga, kiri). - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Raja Muda Kedah, Almarhum Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit, dekat sini, pada jam 3.10 petang tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tunku Abdul Malik.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria turut mengiringi tetamu diraja dan kenamaan dalam memberikan penghormatan terakhir.

Almarhum mangkat pada jam 1 pagi tadi di Wad Diraja Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, pada usia 86 tahun akibat gering.

Almarhum akan disemadikan di Makam Diraja Jalan Langgar pada petang ini.

Berita Harian X