Selasa, 1 Disember 2015 | 5:15pm

DHL buka pusat perkhidmatan lengkap di KL

KUALA LUMPUR: DHL Express, penyedia penghantaran laju antarabangsa melabur sebanyak RM4 juta untuk membuka pusat perkhidmatan lengkapnya, KL Service Centre, di Daerah Perniagaan Pusat (CBD) Kuala Lumpur.

Kemudahan baharu seluas 20,000 kaki persegi itu pusat kedua terbesar DHL dari segi kuantiti di Malaysia dan yang pertama seumpamanya dibuka di CBD Kuala Lumpur oleh sebuah penyedia penghantaran laju antarabangsa.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Christopher Ong, berkata pembukaan pusat itu adalah bertujuan untuk menampung keperluan logistik pelanggan yang semakin meningkat dan meliputi sektor perkhidmatan kewangan serta komersial pusat bagi Kuala Lumpur.

"Industri penghantaran laju terus berkembang meskipun cabaran ekonomi global. Kami masih melihat kuantiti penghantaran yang pesat dan dengan memindahkan sebahagian daripada operasi dari Subang Gateway ke KL Service Centre, kami meningkatkan rangkaian penghantaran kami, menambah baik masa bertindak balas dan keupayaan menyokong keperluang pelanggan.

"KL Service Centre menjangkakan 5,500 penghantaran sehari, ke dalam dan luar negara," katanya ketika merasmikan pembukaan pusat itu, di sini, hari ini. BERNAMA

25 dibaca
Berita Harian X