Khamis, 3 Disember 2015 | 12:01am
KANAK-kanak digunakan sebagai tentera oleh pengganas LRA.

Pengganas global

IRA pernah melancarkan perang menuntut kemerdekaan daripada Britain.

DUNIA bergegar lagi. Kali ini apabila bandar raya yang digelar 'Kota Cinta' menjadi sasaran serangan kumpulan pengganas sehingga meragut 130 nyawa pada 13 November lalu.

Menariknya, seakan diolah pengarah sama, skrip tragedi kali ini juga hampir serupa dengan kejadian sebelum ini apabila menyentuh mengenai dalang serangan.

Tidak sampai 24 jam laungan mula kedengaran ia angkara 'pengganas Islam'. Malah, bukti demi bukti muncul bagi menguatkan hujah cuma orang Islam yang 'mampu' melancarkan serangan berskala besar seperti itu.

Berbicara soal keganasan manusia, dunia seolah-olah lupa, ia sebenarnya sudah lama dikaitkan dengan orang 'bukan Islam'. Siapa mampu menafikan kewujudan pergerakan Ku Klux Klan yang dianggotai pelampau kulit putih antara Disember 1865 dan musim panas 1896 di bandar Pulaski, Tennessee.

Menyedari kemunculan selepas hari mula gelap menimbulkan ketakutan terutama di kalangan hamba abdi di kawasan itu, kumpulan berkenaan mula mengambil kesempatan dan ia meluas dengan pantas.

Bekas hamba abdi menjadi sasaran keganasan mereka tetapi pergerakan itu juga tidak membiarkan golongan profesional dari utara seperti guru, hakim dan ahli politik.

KU Klux Klan yang dianggotai pelampau kulit putih di bandar Pulaski, Tennessee, Amerika Syarikat.

Mahir serang hendap

Di benua Eropah, Tentera Republik Ireland (IRA) turut mengukir nama dalam senarai pertubuhan pengganas yang langsung tiada kaitan dengan Islam.

IRA diasaskan pada 1913 dan bertanggungjawab melancarkan perang menuntut kemerdekaan dari Britain dalam tempoh 1919 hingga 1921.

Dilatih sebagai unit gerila, IRA mahir dalam serangan pantas dan hendap.

Kejayaan paling besar IRA adalah pembunuhan sepupu Ratu Elizabeth, Lord Louis Mountbatten pada 27 Ogos 1979.

JOSEPH Kony, mengetuai Tentera Tuhan (LRA) di Uganda.

Dalam sejarah moden keganasan, kemunculan pergerakan dianggap pelampau yang dikaitkan dengan Islam seperti al-Qaeda, Taliban, Boko Haram dan Negara Islam (IS) menenggelamkan kumpulan yang disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dibentuk pada 5 Mei 1976, di bawah kepemimpinan Velupillai Prabhakaran, LTTE muncul sebagai antara kumpulan pengganas paling ditakuti, tersusun dan penuh disiplin.

Malah, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam laporannya pada 10 Januari 2008 mengakui LTTE adalah pergerakan pengganas paling bahaya di dunia dan perlu diawasi kerana menjadi ilham kepada rangkaian pengganas seluruh dunia, termasuk al-Qaeda.

Ia memulakan kempen bersenjatanya di Sri Lanka untuk menuntut wilayah Tamil berasingan pada 1983.

Hayat LTTE berakhir

LTTE yang diketuai Velupillai Prabhakaran muncul sebagai antara kumpulan pengganas paling ditakuti, tersusun dan penuh disiplin di Sri Lanka.

Ia dikenali kerana melancarkan siri pembunuhan berprofil tinggi, termasuk pembunuhan Presiden Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa pada 1993 dan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi, pada 1991.

Bagaimanapun, hayat LTTE berakhir dengan pembunuhan Prabhakaran pada 18 Mei 2009. Dianggarkan 70,000 penduduk maut dalam konflik antara LTTE dan kerajaan.

Keganasan di benua Afrika diwakili kumpulan pelampau Kristian yang menggelar diri sebagai Tentera Tuhan (LRA) di Uganda.

Diketuai Joseph Kony, pergerakan berasal dari Uganda Utara itu bermula sebagai pergerakan yang berjuang demi kepentingan puak Acholi.

Kony kehilangan sokongan dan sejak 24 tahun lalu mengetuai rejim ditakuti menyerang penduduk awam, menculik kanak-kanak dan memaksa mereka menentang tentera kerajaan.

Diusir oleh tentera Uganda, pelampau LRA kini berselerak di seluruh Republik Demokratik Congo, Republik Afrika Tengah dan selatan Sudan, lokasi serangan kejam berterusan di kampung terpencil yang mengambil masa berbulan untuk dilaporkan.

Kanak-kanak paling teruk terjejas dalam konflik ini, dengan ribuan diculik, digunakan sebagai tentera kanakkanak dan hamba seks, dipukul dan dipaksa mendera dan membunuh rakan, keluarga dan orang awam.

Namun, mungkin kerana keganasan kumpulan yang mewakili benua Amerika, Eropah, Asia dan Afrika itu sekadar 'jaguh kampung' yang tidak berani membuat onar di luar gelanggang, kemunculan al-Qaeda dan IS lebih membuka mata.

Al-Qaeda, IS pengganas licik

Sekalipun diselubungi teori konspirasi berhubung kejadian itu, serangan yang meranapkan Pusat Dunia Putra di New York pada 11 September 2001, menjadikan al-Qaeda terkenal sekelip mata.

Malah Afghanistan menjadi mangsa balas dendam Amerika Syarikat yang menyerang bertalu-talu demi membunuh pemimpinnya, Osama bin Laden.

Baru Amerika hendak bernafas, IS pula muncul entah dari mana dan sehingga kini berjaya menawan sebahagian besar Syria dan Iraq.

Selain dikenali dengan pembunuhan kejam ke atas tebusan, IS, dilihat mampu menyaingi al-Qaeda apabila membawa masuk bom ke dalam pesawat Russia yang menyebabkan ia terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir pada 31 Oktober lalu.

Arah tuju dan matlamat keganasan sebenarnya berterusan berubah. Walaupun pada permukaan ia kekal sebagai 'penggunaan keganasan di luar undang-undang atau ancaman untuk menyemai rasa takut', ia pantas menjadi peralatan strategik musuh.

Keganasan berubah menjadi prinsip strategi peperangan abad ke-21, ia menyesuaikan diri dengan persekitaran sosiopolitik dunia.

Sebahagian perubahan memudahkan pengganas beroperasi, menyediakan dana dan membangunkan kemampuan baru. Sementara perubahan lain secara beransuransur menggerakkan keganasan ke dalam hubungan berbeza dengan dunia luar.

INFO:

- LTTE adalah satu-satunya kumpulan pengganas yang memilik pasukan 'tentera' sendiri iaitu Tigers (infantri), Sea Tigers (sayap laut) dan Air Tigers (sayap udara)

- IRA bertanggungjawab dalam beberapa siri pengeboman kereta dan pembunuhan termasuk sepupu Ratu Elizabeth, Lord Louis Mountbatten bersama salah seorang cucu kembarnya, Nicholas, 14, yang maut apabila bot yang dipasang bom oleh IRA meletup.

- LRA wujud pada awal 1980-an sebagai Pergerakan Holy Spirit, diketuai wanita bernama Alice Lakwena yang mendakwa diarahkan menjatuhkan Kerajaan Uganda.

Berita Harian X