Khamis, 3 Disember 2015 | 2:34pm
KEADAAN lori sampah yang direpuh kereta jenis Toyota Cambry lalu terbakar di atas Jambatan Pulau Pinang, pagi tadi. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kereta rempuh lori sampah di Jambatan Pulau Pinang

KEADAAN kereta jenis Toyota yang terbakar akibat merempuh lori sampah dari arah Georgetown menghala ke Perai di atas Jambatan Pulau Pinang, pagi tadi. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Seorang pemandu kereta nyaris maut selepas kereta yang dipandunya merempuh sebuah lori sampah sebelum terbakar di Kilometer 3.3 Jambatan Pulau Pinang di sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan memandu kereta jenis Toyota Vios dari arah pulau menghala Perai sebelum terlibat dalam kemalangan.

Lelaki itu dipercayai memandu laju keretanya sebelum melanggar belakang lori sampah yang sedang bergerak di lorong kiri dan kenderaannya diseret kira-kira 50 meter sebelum terbakar.

Mangsa berjaya keluar dari keretanya sebaik menyedari ia mula terbakar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Penolong Penguasa Kanan II Mohd Yusri Manshor, berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.57 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan kami mengambil masa hampir lima minit untuk memadam kebakaran di bahagian enjin kereta itu," katanya.

Mohd Yusri berkata, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu lori sampah berkenaan S Gunalan, 45, berkata ketika kejadian dia bersama seorang lagi rakan setugasnya dalam perjalanan ke tempat pengumpulan sisa pepejal di Ampang Jajar, Butterworth.

"Tiba-tiba kami dengar dentuman kuat dan lori kami bergegar. Saya memandu perlahan sebelum berhenti ke tepi jalan. Kami turun dari lori dan nampak kereta berkenaan terbakar.

"Dalam masa yang sama saya nampak pemandu kereta itu keluar dari kenderaannya dan saya menariknya supaya jauh dari kereta kerana takut ia meletup. Saya juga cuba memadam kebakaran berkenaan dengan air yang ada dalam lori manakala rakan saya menghubungi pihak bomba," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X