Selasa, 7 Oktober 2014 | 5:48pm
Presiden Uhuru Kenyatta (berbaju biru) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta, Nairobi untuk berlepas ke The Hague, Belanda hari ini bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). - Foto REUTERS

Presiden Kenya dihadapkan ke ICC

NAIROBI: Presiden Kenya Uhuru Kenyatta hari ini ke The Hague, Belanda untuk menghadapi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kenyatta, yang akan menjadi presiden masih berkuasa pertama dihadapkan ke mahkamah itu, menyerahkan kuasanya buat sementara waktu kepada timbalannya bagi melindungi kedaulatan negara Afrika timur itu, sebelum mengambil penerbangan sebagai 'rakyat biasa' ke Amsterdam.

Beliau melambai tangan ke arah penyokongnya di lapangan terbang Nairobi dan mendaftar masuk di sisi penumpang lain dengan diiringi isteri dan anak perempuannya, enam ahli Parlimen dan tiga menteri.

Beliau dijadualkan menghadiri perbicaraan di ICC di The Hague esok.

Kenyatta, 52, menghadapi lima tuduhan bagi peranannya merancang keganasan pasca pilihan raya pada 2007 dan 2008 yang mengakibatkan 1,200 orang maut dan 600,000 orang hilang tempat tinggal. - AFP

Berita Harian X