Khamis, 3 Disember 2015 | 6:23pm

Marcelo yakin skuad futsal lepasi sasaran

KETUA jurulatih pasukan futsal lelaki kebangsaan, Marcelo Serpa. - Foto Goh Thean Howe
KETUA jurulatih pasukan futsal lelaki kebangsaan, Marcelo Serpa. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Jepun, serta naib juara Futsal AFF 2015, Australia serta Qatar dalam Kejuaraan Futsal AFC 2016 yang berlangsung di Uzbekistan bermula pada 10 hingga 21 Februari depan.

Meskipun laluan ke suku akhir tampak sukar, namun, ketua jurulatih pasukan futsal lelaki kebangsaan, Marcelo Serpa, tetap yakin kemampuan anak buahnya untuk melepasi sasaran ke peringkat suku akhir walaupun bakal berhadapan dengan dua gergasi futsal benua berkenaan.

"Jepun sebagai juara bertahan adalah pasukan terbaik dalam kumpulan ini tetapi kita pernah bertemu Jepun dalam dua aksi persahabatan sebelum ini dan walaupun tewas, kami menunjukkan persembahan yang baik ketika menentang pasukan terbabit.

"Manakala bagi Australia pula, kita tewas kepada mereka di peringkat separuh akhir pada Kejuaraan Futsal AFF edisi lalu namun dengan persiapan pasukan yang lebih baik pada edisi kali ini, berkemungkinan kami berpeluang untuk menewaskan mereka," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pasukan Qatar Marcelo berkata, beliau akan dapat menilai kekuatan sebenar mereka menerusi dua aksi persahabatan yang bakal dilangsungkan pada 14 dan 16 Disember depan.

"Pasukan ini kini dikendalikan jurulatih baharu selain turut dibarisi lima pemain naturalisasi dari Brazil dan lepasijuga Mesir yang pastinya menjadikan pasukan terbabit lebih baik berbanding pasukan yang kami temui beberapa tahun dahulu.

"Jadi, dengan dua aksi persahabatan ini, saya berharap kami dapat menilai kekuatan dan kelemahan mereka supaya dapat membantu menyiapkan pasukan yang lebih baik dan bersedia untuk kejohanan itu nanti," katanya.

Katanya, undian di dalam kumpulan sukar itu sedikit sebanyak memberi motivasi tambahan kepada pemain jika berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir nanti.

Edisi lalu di Vietnam menyaksikan Malaysia terlepas slot ke suku akhir selepas menduduki tangga tercorot Kumpulan C di belakang Thailand, Lubnan dan juga Taiwan.

Malaysia akan memulakan cabaran dengan menentang Australia pada 11 Februari sebelum dijadual bertemu juara bertahan, Jepun pada 13 Februari serta menutup kempen kumpulan dengan aksi menentang Qatar pada 15 Februari.

Sementara itu, dalam undian yang dijalankan di Tashkent, Uzbekistan, semalam, kumpulan A menyaksikan pertembungan membabitkan bekas negara Soviet, Uzbekistan dan Kyrgyzstan serta wakil Timur Tengah, Lubnan dan juga Arab Saudi.

Kumpulan B pula bakal menemukan Iran, Iraq, China dan Jordan manakala Kumpulan C menemukan gergasi futsal Asia Tenggara, Thailand yang diundi bersama Vietnam, Taiwan dan Tajikistan.

habis

Berita Harian X