Sabtu, 5 Disember 2015 | 12:11am
HAFIZ pernah lapan kali menjalin cinta serius. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
HAFIZ pernah lapan kali menjalin cinta serius. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
HAFIZ Hamidun (tengah) bersama wakil dari Indigital, Mask Team dan Istana Budaya bergambar selepas sidang media persembahan Malam Kalimah Cinta Bersama Opick dan Hafiz Hamidun di Istana Budaya. - Foto Nik Hariff Hassan
HAFIZ Hamidun (tengah) bersama wakil dari Indigital, Mask Team dan Istana Budaya bergambar selepas sidang media persembahan Malam Kalimah Cinta Bersama Opick dan Hafiz Hamidun di Istana Budaya. - Foto Nik Hariff Hassan

Hafiz Hamidun temui jodoh selepas 8 kali putus cinta


KEINGINAN komposer dan penyanyi lagu kerohanian, Hafiz Hamidun, 31, untuk memiliki suri hidup sejak 10 tahun lalu tidak pernah terpadam.

Bukan sekali atau dua percintaan yang dijalin kecundang di pertengahan jalan, namun ia tidak sesekali membuatkannya serik mencari cinta sejati.

Pernah lapan kali menjalin cinta serius, Hafiz akur, jodoh yang dinanti masih belum menyebelahinya.

Hafiz juga akur, kegagalan itu berpunca daripada kesilapannya sendiri, namun tidak pernah sesekali dirinya menyerah dan mengalah kepada takdir yang tertulis.

Hafiz percaya, jodoh setiap manusia sudah ditentukan cuma yang membezakannya sama ada cepat atau lambat.

Keyakinan itu mendorongnya supaya sentiasa berdoa untuk dipertemukan dengan gadis yang dapat menerima dirinya seadanya.

KEKASIH Hafiz, Adiela.
KEKASIH Hafiz, Adiela.

Tuhan akhirnya mendengar rintihan hatinya apabila perkenalan dengan seorang gadis yang juga model busana Muslimah berusia 25 tahun membuka pintu hatinya untuk kembali bercinta.

Tidak bertepuk sebelah tangan apabila gadis kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut menyimpan perasaan yang sama.

Lebih manis, ikatan cinta itu turut membawa mereka ke alam rumah tangga apabila bakal diijabkabulkan pada Ramadan tahun depan.

Mendekati penyanyi Zikir Terapi itu, pemuda berwawasan ini pada mulanya belum bersedia untuk berkongsi berita gembira itu.

Namun, selepas dipujuk, Hafiz tidak keberatan berkongsi gambar suri hatinya, khas untuk pembaca BH Plus. Gadis itu kini sedang bercuti di Eropah.

"Jika diikutkan, saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga sejak usia 21 tahun lagi, namun perancangan itu tidak menjadi kenyataan. Silap saya kerana menolak, memikirkan ketika itu perjalanan hidup saya masih jauh.

PENYANYI, Hafiz Hamidun. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENYANYI, Hafiz Hamidun. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Saya tidak berani memperjudikan nasib kerana belum memiliki kerjaya dan kewangan yang kukuh.

Pemikiran pada masa itu juga belum matang .

"Saya berdikari meniti hidup dan Alhamdulillah, pada usia 24 tahun berjaya menghasilkan album solo pertama. Ketika itu, kesibukan mula menjadi penghalang meskipun saya tidak pernah mempunyai masalah untuk mendekati wanita.

"Saya tidak mahu menyalahkan orang lain apabila lewat bertemu jodoh. Mungkin silap saya kerana tidak sabar, gelojoh dan masih cetek ilmu hingga tergesa-gesa membuat keputusan setiap kali diperkenalkan kepada seseorang.

"Pada satu peringkat, saya terfikir, bila akan tiba masa untuk saya memberi komitmen penuh kepada sesuatu hubungan kerana saya tidak pernah berhenti mencuba," katanya yang teruja menghitung hari untuk menyunting gadis idaman yang bakal menjadi suri hidupnya itu.

Hafiz mengakui, disebabkan sikapnya yang terlalu berani menegur membuatkan wanita yang menjadi idamannya kurang selesa dan takut untuk mendekatinya.

Setiap kali berkawan dengan seseorang gadis, anak kelahiran Perak itu akan jujur menyatakan keinginannya untuk membawa hubungan mereka ke alam perkahwinan.

PENYANYI, Hafiz Hamidun pada pelancaran album Salam Rindu di Khatijah Kitchen. - Foto Adi Safri
PENYANYI, Hafiz Hamidun pada pelancaran album Salam Rindu di Khatijah Kitchen. - Foto Adi Safri

Hafiz akhirnya menyedari, ketelusannya itu ada ketika membuatkan wanita menjadi takut.

"Saya pernah berkawan dengan selebriti, selain orang biasa. Saya pernah meminta nasihat daripada ramai kawan dan bertanyakan pengalaman mereka mengenai wanita. Kebanyakan mereka memberitahu, wanita inginkan jaminan hidup dan saya yakin mempunyai semua itu.

"Cuma dalam soal jodoh, saya tidak boleh pentingkan diri. Berbanding dulu, beberapa tahun kebelakangan ini saya semakin fokus dengan arah hidup, termasuk perancangan mencari jodoh.

"Alhamdulillah, doa saya dipermudahkan. Setiap kali solat terutama ketika mengejarkan umrah, baru-baru ini, saya dari lubuk hati berdoa supaya dipertemukan jodoh.

"Saya bukan mencari wanita yang terlalu hebat tetapi hanya berharap, Allah mempertemukan saya dengan seorang yang akan menerima saya tanpa banyak masalah," katanya.

Bercerita lanjut mengenai kekasihnya, Hafiz mengenali Adiela menerusi Instragram.

Ia bermula sebagai kenalan biasa tetapi mulai rapat pada musim Aidiladha, baru-baru ini.

"Saya sudah berjanji dengan keluarga, ini adalah tahun terakhir saya beraya sebagai lelaki bujang. Insya-Allah saya mahu bernikah sebelum Ramadan tahun depan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X