Sabtu, 5 Disember 2015 | 10:20am

FBI siasat tembakan di California sebagai tindakan pengganas


PENOLONG Pengarah Siasatan FBI Los Angeles, David Bowdich pada sidang media berkaitan insiden itu di San Bernardino, California. - Foto AP

SAN BERNARDINO, California: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kini menyiasat kejadian tembakan oleh pasangan suami isteri pada Rabu yang menyebabkan 14 terbunuh sebagai 'perbuatan pengganas'.

Sumber menyebut, penyerang wanita itu dipercayai sudah mengikrarkan taat setia kepada seorang pemimpin kumpulan militan Negara Islam (IS).

Tashfeen Malik, 27, warga Pakistan yang tinggal di Arab Saudi selama lebih 20 tahun dan suaminya, warga AS, Syed Rizwan Farook, 28, ditembak mati pasukan polis beberapa jam selepas pasangan itu menyerang sebuah majlis keraian di pusat khidmat sosial di bandar ini, kira-kira 100 kilometer di timur Los Angeles.

Jika kejadian tembakan itu disahkan terjadi hasil inspirasi kumpulan militan, seperti yang disyaki penyiasat, ia akan menjadi serangan terburuk di AS sejak 11 September 2001.

Pegawai FBI menyebut, dengan mengambil kira aspek persediaan pasangan itu, sejumlah besar senjata dan peluru dan bukti mereka cuba musnahkan jejak digital mereka menjadi petunjuk utama siasatan mereka yang menjurus kepada ia adalah tindakan pengganas.

"Berdasarkan maklumat dan fakta yang diketahui setakat ini, kami menyiasat kejadian serangan ini sebagai tindakan keganasan," kata David Bowdich, penolong pengarah FBI cawangan Los Angeles.

Memberi contoh, Bowdich berkata, pasangan itu musnahkan dua telefon mudah alih mereka yang ditemui dalam tong sampah berhampiran rumah mereka.

FBI harap data daripada telefon berkenaan dan peranti elektronik lain akan membantu pasukan penyiasat mengenal pasti motif serangan.

Pasangan penyerang itu dikatakan mempunyai dua raifal, dua pistol separa-automatik, 6,100 butir peluru dan 12 bom paip yang ditemui di rumah mereka, sekali gus mendorong pihak berkuasa menjangkakan pasangan itu ada rancangan menyerang lokasi lain.

Berita Harian X