Rabu, 8 Oktober 2014 | 7:43am

Hukuman paling besar bagi kesalahan seksual

Undang-Undang Adat Anak Negeri Sabah 1995 mengandungi tujuh bahagian jenis kesalahan adat dan peruntukan hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah.

Ia berkaitan kesalahan serangan, hentaman dan kelakuan mengancam; seksual; perkahwinan, pertunangan dan pikatan; tanah perkuburan dan kematian; perangai buruk melampau, kelucahan dan khianat; mungkir janji serta kelahiran dan pantang adat.

Secara keseluruhan, ia mengandungi 50 pecahan jenis kesalahan dan hukuman dengan yang tertinggi iaitu sebanyak 20 pecahan berkaitan perangai buruk melampau, kelucahan dan khianat.

Kesalahan berkaitan seksual memperuntukkan hukuman paling besar dengan yang tertinggi bagi kesalahan sumbang mahram (sumbang kadim) iaitu hukuman tidak lebih tiga ternakan dan denda sehingga RM5,000 atau penjara 24 bulan atau penjara dan denda.

Sumbang kadim

Sumbang kadim adalah perbuatan sumbang mahram membabitkan datuk, bapa, bapa saudara, abang dan adik lelaki dengan adik perempuan, kakak, anak, ibu, ibu saudara atau cucu perempuan.

Hukuman kedua tertinggi diperuntukkan dalam undang-undang itu ialah kesalahan persetubuhan haram membabitkan pasangan mempunyai pertalian keluarga dengan sogit dua ternakan dan denda RM3,000 atau penjara tidak lebih 18 bulan atau denda dan penjara serentak.

Bagi kesalahan persetubuhan haram pasangan tiada pertalian keluarga, ia dipanggil mianu-anu atau zina dengan sogit maksimum dua ternakan, bayaran 'kepanasan' kampung dan denda tidak lebih RM1,500 atau penjara maksimum enam bulan atau denda dan penjara.

Dalam setiap kes ini, sogit haiwan ternakan dan bayaran 'kepanasan' kampung biasanya adalah kerbau. Ia bertujuan 'menyucikan' kampung dan diserahkan kepada ketua kampung untuk diagihkan kepada penduduk.

Hukuman bukan sahaja atas kesalahan dilakukan, malah merangkumi peruntukan yang boleh dituntut pemilik tanah, ladang atau sawah yang mana perlakuan sumbang, mianu-anu atau zina dilakukan iaitu sogit seekor ternakan atau barang yang senilai mengikut denda adat.

Kesalahan lari anak dara orang

Undang-Undang Adat Anak Negeri 1995 turut memperuntukkan hukuman maksimum dua ternakan atau denda RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan melarikan anak dara orang.

Turut digariskan ialah kesalahan berkaitan mencabul kehormatan boleh dihukum sogit seekor ternakan atau denda RM500 atau penjara sebulan atau kedua-duanya jika ingkar.

Kesalahan kecil seperti menyumpah dan mengutuk orang lain juga dianggap kesalahan dan pelakunya boleh dikenakan sogit maksimum dua ternakan atau denda RM100 atau penjara seminggu.

Begitu juga dalam aspek penjagaan haiwan ternakan, seseorang boleh menuntut sogit atau ganti rugi jika harta benda seperti pagar dan tanaman dirosakkan ternakan orang lain.

Bagi kes ini, undang-undang adat memperuntukkan hukuman seekor unggas atau barang yang senilai dengannya selain pemilik haiwan diarah membaiki kerosakan atau membayar kos pembaikan atau mengganti harta yang rosak dan jika ingkar, boleh didenda RM1,000 atau penjara sebulan atau kedua-duanya.

Jika seseorang mungkir janji, individu terbabit dianggap melakukan perlanggaran undang-undang adat dipanggil 'koimanan' dan boleh diminta membayar pampasan atau ganti rugi tidak lebih 20 peratus daripada nilai perkara yang dijanjikan.

Setiap kesalahan dan hukuman termaktub dalam undang-undang ini adalah berdasarkan amalan turun-temurun.

Secara umum, bidang kuasa MAN terhad kepada pendengaran kes pelanggaran undang-undang atau adat anak negeri dan hal ehwal yang berkaitan aspek pertunangan, perkahwinan, perceraian (untuk bukan Islam), pengambilan anak angkat dan pewarisan harta.

Berita Harian X