Sabtu, 5 Disember 2015 | 6:42pm

Kedah juga kini tertekan: Irfan


KETUA jurulatih FELDA United FC, Irfan Bakti Abu Salim. - Foto Hasriyasyah Sabudin

ALOR SETAR: Ketua jurulatih FELDA United FC, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan skuad The Fighters akan turun dengan strategi menyerang habis-habisan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Kedah di Stadium Darul Aman, malam ini.

Bekas pengendali Selangor itu berkata, strategi menyerang terpaksa dilakukan bagi menamatkan kelebihan dua jaringan tempat lawan yang dimiliki Kedah ketika ini.

"Persiapan kami seperti biasa dan hanya lebih memberi perhatian kepada jentera serangan yang akan memainkan peranan penting dalam usaha mencari gol awal.

"Dari segi jaringan, memang kami ketinggalan dan sebab itu fokus utama adalah menggunakan strategi menyerang habis-habisan dan pada masa sama memberi tekanan kepada Kedah.

"Maksud saya, kami akan cuba dapatkan gol awal dan selepas itu saya akan serahkan kepada ketua pasukan, Shukor Adan serta rakan sepasukannya untuk mengekalkan rentak permainan," katanya yang sebelum ini membawa FELDA ke final Piala FA musim lalu.

Irfan berkata, walaupun Kedah mempunyai kelebihan dua gol selepas mereka terikat 2-2 pada perlawanan separuh masa akhir pertama, Rabu lalu, namun tekanan tetap akan dirasai pasukan tuan rumah itu.

"Saya juga fikir Kedah akan merasai tekanan kerana melihat kepada rekod sebelum ini mereka mendapat keputusan kurang baik di tempat sendiri terutama ketika bertemu PKNS FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.

485 dibaca
Berita Harian X