Rabu, 8 Oktober 2014 | 7:45am

Nikmat musafir jernihkan jiwa

Segmen Ibrah minggu ini bersama Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman yang ke udara setiap hari Isnin, jam 5.15 petang di stesen radio IKIMfm memasuki episod ke-24. 

Beliau menyambung kisah Nabi Musa AS yang diakhiri dengan Baginda menjatuhkan hukuman bunuh diri terhadap kaumnya, Bani Israel yang ingin bertaubat lantaran kesalahan besar mereka melakukan syirik kepada Allah SWT dengan menyembah patung anak lembu. 

Selepas itu, Nabi Musa AS meneruskan perjalanan ke Palestin bersama kaumnya yang berada bersama Baginda yang masih lagi beriman. 

Dalam episod kali ini, Ustaz Syaari mengaitkan sikap Bani Israel yang tidak beradab dan tidak sabar sewaktu bermusafir di padang pasir. Juga diceritakan berkenaan Rukun Haji yang berkait rapat dengan bermusafir.

Ustaz Syaari mengaitkan kisah Bani Israel yang tidak tenang dan tidak beradab sewaktu bermusafir menunaikan Rukun Islam kelima, iaitu ibadat haji. 

Inilah keistimewaannya Rukun Haji bagi setiap Muslim yang menunaikannya. Bagi menyempurnakan Rukun Haji, kita bukan saja perlu berada di dalam bulan haji, yang lebih penting perlu bermusafir untuk berada di lokasi (Makkah), sama ada dengan menaiki kenderaan ataupun berjalan kaki. 

Jalan kaki tunai haji

Ustaz Syaari mengambil contoh bagaimana seorang Muslim warga Bosnia-Herzegovina, Senad Hadzic, berumur 45 tahun, berbekalkan semangat kental berjalan kaki menunaikan haji. Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau merentasi tujuh negara untuk sampai ke Makkah yang mengambil masa 314 hari. 

Beliau mula bermusafir pada tahun 2012. Diceritakan juga bagaimana beliau memasuki negara yang berada di dalam zon perang dan ada ketikanya berjalan di kawasan yang suhunya terlampau sejuk dan panas, iaitu mencecah negatif 15 darjah Celsius dan melebihi 45 darjah Celsius. 

Allah SWT memelihara beliau dan selamat sampai ke Makkah untuk menunaikan haji. 

Senad Hadzic merasai kemanisan bermusafir seperti para Nabi bermusafir termasuklah Nabi Musa AS yang bermusafir dari Mesir menuju Madyan dan dari Madyan kembali ke Mesir.

Namun, bagi kita yang pada masa ini berada di dunia serba moden, untuk bermusafir tidak lagi perlu bersusah payah. Hanya dengan menaiki kenderaan, sama ada darat, laut atau udara sudah dapat memenuhi hasrat bermusafir walaupun merentasi benua beribu kilometer jauhnya. 

Ustaz Syaari mengajak pendengar berfikir adakah dengan kemudahan dikecapi hari ini menyebabkan kita tidak merasai kemanisan bermusafir seperti apa dialami para Nabi?

Imam Syafi'e berpesan di dalam syairnya berkenaan musafir yang berbunyi: "Bagi orang yang berakal mereka tidak akan berdiam diri, mereka akan sentiasa bermusafir dan berpisah kerana sesungguhnya air yang bertakung akan rosak." 

Orang yang tidak bermusafir dikatakan sebagai tidak meluaskan pengetahuan dan pandangannya dan akhirnya akan tinggal sebagai sia-sia sahaja.

Bagaimanapun, kemanisan bermusafir ini tidak dirasai Bani Israel walaupun perjalanan mereka dinaungi awan di tengah-tengah padang pasir seperti dirakamkan di dalam al-Quran: "Dan Kami menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir), dan Kami turunkan kepada kamu 'manna' dan 'salwa', serta Kami berfirman: Makanlah dari makanan yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu. Dan tidaklah mereka menganiayai Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiayai diri mereka sendiri." (Surah Al-Baqarah, ayat 57).

Di akhirnya, Ustaz Syaari mengajak pendengar untuk sama-sama merenung mengapa Rasulullah SAW berniaga lebih lama tempohnya berbanding Baginda SAW menjadi rasul. Baginda berniaga selama 28 tahun dan dengan perniagaan itulah membawa Baginda SAW ke seluruh Tanah Arab. 

Pengetahuan geografi Baginda SAW begitu meluas sehinggakan Gabenor Bahrain sendiri terkejut dengan pengetahuan Baginda berkenaan kota besar di Bahrain, lebih hebat pengetahuannya daripada Maharaja Bahrain pada masa berkenaan.

Peristiwa Zulkarnain

Persoalan kedua ditinggalkan Ustaz Syaari ialah apakah sebab di sebalik Surah Al Kahfi merakamkan Nabi Musa AS yang bermusafir dan hanya berhenti selepas berjumpa dengan Nabi Khidir AS. 

Surah ini juga diakhiri dengan kisah bermusafir, iaitu peristiwa Zulkarnain menuju ke tempat terbit dan terbenamnya matahari serta ke utara dunia. 

Persoalan ketiga yang ditinggalkan oleh Ustaz Syaari ialah mengapa di dalam syariat Islam terdapat rukun yang berkaitan dengan musafir iaitu Rukun Haji. 

Ustaz Syaari merumuskan bahawa sesungguhnya kemanisan musafir itu terletak kepada kesusahan dan kepayahan di dalam bermusafir itu sendiri. 

Kematangan seseorang terletak kepada kemampuannya menguruskan emosinya ketika berdepan pelbagai masalah dan perkara yang bukan merupakan perkara yang biasa bagi mereka. 

Bagaimanakah cara terbaik untuk menguruskannya dan pada masa sama menjaga adab di dalam bermusafir. 

Inilah permasalahan sebenar dihadapi Bani Israel yang akhirnya mereka menunjukkan kerenah sebenar mereka ketika bermusafir menuju ke Palestin bersama Nabi Musa AS.

Bermusafir juga akan mendedahkan hakikat perilaku seseorang yang sebenarnya. Kita tidak akan mengenali seseorang dengan sebenar-benarnya sehinggalah kita bermusafir bersama mereka.

Oleh kerana itulah Islam juga menggariskan pelbagai adab apabila bermusafir termasuk melantik seorang ketua apabila kita memulakan musafir.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X