Ahad, 6 Disember 2015 | 7:19pm

Rumah transit gelandangan di jalan Pahang beroperasi Februari

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR : Rumah transit untuk gelandangan di Jalan Pahang, dijangka beroperasi 1 Februari depan bersempena Hari Wilayah Persekutuan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, rumah yang dibina dengan kos RM3 juta itu akan menjadi tempat sementara untuk golongan berkenaan tidur, rehat, makan dan sembahyang selain turut menyediakan perkhidmatan kesihatan.

"Rumah itu sudah siap dan kini dalam pemeriksaan akhir. Ia dapat menampung 260 gelandangan dalam satu masa," katanya dalam sidang media selepas melawat tapak pembinaan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Pandanmas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkat,a kementeriannya sedang berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab mengelola rumah itu.

"Jika tiada pihak yang ingin menjadi pengelola (rumah itu), penyertaan mana-mana parti politik dialu-alukan," katanya.

Mengenai keperluan makanan serta minuman di rumah itu, Tengku Adnan berkata, pihaknya akan meminta badan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini banyak melaksanakan program mengagihkan makanan untuk membantu.

"Kalau boleh kita tidak mahu pihak NGO beri makan kepada gelandangan di tepi jalan yang kotor serta tidak selesa dan kita tidak mahu mengotorkan tempat itu," katanya.

Tengku Adnan berkata, rumah seumpama itu sudah diwujudkan di Medan Tuanku, di bawah tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun ia tidak membenarkan gelandangan untuk tidur.

Mengenai RUMAWIP, sehingga Oktober lalu, pembinaan RUMAWIP dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di seluruh Wilayah Persekutuan adalah sebanyak 29,154 atau 37 peratus dari 80,000 unit sasaran keseluruhan.

"Ini merangkumi kategori 'sudah siap dibina', 'dalam pembinaan' dan kelulusan perintah pembangunan (DO)," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X