Ahad, 6 Disember 2015 | 11:00pm
HAZAMA (kiri) dan Akim diumumkan layak ke AJL 30. - Foto NSTP

Sampai Mati sertai AJL 30

ANTARA finalis yang terpilih bertanding di peringkat akhir AJL 30. - Foto Ghazali Kori

SHAH ALAM: Lagu berjudul Sampai Mati nyanyian Hazama dan Potret (Akim & The Majistret) diumumkan antara 12 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 pada separuh akhir ketiga Muzik Muzik 30, yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam ini.

Kedua-dua lagu terbabit yang dipilih sebagai Lagu Terbaik pada minggu pertama dan kedua separuh akhir yang berlangsung pada 22 dan 29 November lalu turut mengiringi 10 lagu lain yang diumumkan layak ke AJL 30.

Lagu yang layak ke pentas AJL 30 ialah Biarkanlah nyanyia Drama Band, Knock Knock (Elizabeth Tan), Bukan Hal Aku (Kaka Azraff dan Aliff), Hanya Namamu (Caliph Buskers), Malam Ini Kita Punya (Bunkface) dan Not For Sale (Stacy).

Selain itu, lagu nyanyian Noh Salleh berjudul Angin Kencang, Mana Mungkin (Black), Tak Pernah Menyerah (Dayang Nurfaizah) dan Assalamualaikum (Faizal Tahir) juga dipilih untuk berentap ke AJL 30.

Pemilihan lagu diadili juri yang terdiri daripada Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, Edrie Hashim, Loque, Jennifer Thompson, Taja dan Azmeer.

Separuh Akhir Muzik Muzik 30 mempertaruhkan 30 karya berentap bagi menempah tiket ke pentas AJL 30, namun hanya 12 lagu yang layak beraksi di pentas akhir yang akan berlangsung pada 24 Januari depan untuk dinobatkan sebagai juara.

Berita Harian X