Isnin, 7 Disember 2015 | 10:02pm

Mayat pelajar kolej lemas ditemui


ANGGOTA penyelamat ketika melakukan operasi mencari di Pantai Penunjuk Kijal. - Foto Rosli Ilham

CHUKAI: Selepas dua hari usaha mencari dijalankan, mayat seorang pelajar Kolej Pendidikan dan Latihan Ranaco, di sini, yang dilaporkan hilang selepas dipukul ombak ketika mandi di Pantai Penunjuk Kijal Sabtu lalu, ditemui petang tadi.

Mayat Mohd Saufi Mukset, 19, ditemui, kira-kira jam 4.50 petang, berhampiran sebuah resort, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Abdul Rahim, berkata operasi pencarian yang membabitkan empat agensi, termasuk bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahan Awam Malaysia (JPAM), polis dan dibantu penduduk kampung diperluaskan pada radius lebih besar.

"Kita mengalami beberapa kesulitan sepanjang operasi terutama untuk melakukan selaman kerana ombak besar berikutan hujan lebat," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa bersama lima lagi rakan mandi di pantai berkenaan, sebelum semua mereka dipukul ombak dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang.

Mangsa pada mulanya dikatakan berjaya diselamatkan penduduk kampung berhampiran yang menyedari kejadian itu, namun lemas selepas terjun semula ke laut untuk cuba membantu usaha penduduk menyelamatkan rakannya yang lain.

Sementara itu, ibu mangsa, Rahmah Mohd Khairuddin, 40, yang datang dari Kota Tinggi, Johor berkata, walaupun sedih, dia dan suami bersyukur kerana doa mereka termakbul apabila mayat anaknya ditemui dan dapat ditatap buat kali terakhir.

"Sejak tahu mengenai kejadian, saya dan suami tidak putus-putus berdoa supaya dia ditemui. Walaupun hanya jasadnya yang tidak bernyawa kembali, kami reda dengan takdir Ilahi," katanya sayu ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman, di sini, malam ini.

Allahyarham Mohd Saufi adalah anak sulung daripada tiga beradik dan penuntut program Diploma Jurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di kolej berkenaan.

"Arwah seorang anak yang baik dan bertanggungjawab, malah dia juga tak suka susahkan saya dan suami...dia tidak pernah minta apa-apa daripada kami," katanya.

Berita Harian X