Selasa, 8 Disember 2015 | 12:18am
DANG Damit menjemur keropok yang diproses daripada udang dan ikan untuk dijual di pasar minggu di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
DANG Damit dibantu suaminya, Jumat menjemur ikan masin yang menjadi sumber pendapatan mereka sejak lebih 10 tahun lalu. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Ikan kicap bantu hantar anak ke menara gading


MASYARAKAT Malaysia amat menggemari ikan masin dalam juadah harian, namun ramai tentunya tidak tahu mengenai ikan kicap atau manyung berkicap.

Diperbuat daripada ikan duri atau disebut 'manyung' dalam bahasa tempatan di Sabah, ia adalah makanan unik, yang fungsinya sama seperti ikan masin sebagai lauk sampingan atau pembuka selera.

Manyung berkicap dihasilkan wanita di Pulau Tanjung Aru, sebuah perkampungan nelayan yang terletak kira-kira tiga batu nautika dari bandar Sandakan.

BH berpeluang berkunjung ke pulau itu yang bukan saja dikenali kerana produk hasil ikan dan udang, malah sebagai destinasi mengintai kelibat sang monyet serta kelip-kelip.

Selepas 15 minit perjalanan menaiki bot penambang dari jeti berhampiran Pasar Umum Sandakan, bot mula memasuki kawasan kuala dan tidak sampai lima minit, perkampungan atas air yang mempunyai kira-kira 150 rumah didiami lebih 1,200 penduduk, mula kelihatan.

Uniknya, di pulau itu yang sebahagian besar didiami etnik Brunei, banyak jeti disediakan iaitu selang empat atau lima rumah bagi memudahkan penduduk menaiki bot dan mengangkut produk serta hasil tangkapan tanpa perlu berjalan jauh, berbanding pulau lain yang cuma ada satu atau dua jeti.

Pemandangan sekitar pulau disajikan dengan bot pukat tunda dan rawai yang berlabuh di jeti, sambil dua atau tiga penduduk memukat di tengah kuala, manakala bot kecil nelayan dan bot penambang bersilih ganti memudik ke hulu dan hilir kuala.


DANG Damit memotong ikan duri untuk dijadikan ikan kicap. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Di situ, wartawan bertemu Dang Damit Aliusin, 57, seorang daripada tujuh wanita gigih yang menjadikan aktiviti memproses ikan sebagai pekerjaan bagi membantu suami menyara keluarga.

Jauh daripada kesibukan bandar, ibu kepada enam anak berusia 17 tahun hingga 27 tahun itu mengerah tulang empat kerat, membakar diri di bawah terik matahari untuk menjemur ikan demi mencari rezeki.

Selepas setengah jam berjemur di pantaran (beranda di bahagian hadapan rumah), dia masuk ke rumah menyiang ikan dan keluar semula selang sejam untuk memeriksa keadaan ikan dan memastikan sumber pendapatannya itu tidak diganggu kucing.

Wanita separuh usia itu kelihatan cergas biarpun kulit agak kehitaman, mungkin kerana kerap dipanah panas matahari.

Memulakan ceritanya, Dang yang menggunakan nama 'Puan Armah' dalam produk tertera di setiap bungkusan ikan masin dan ikan kicap, berkata beliau memulakan perniagaannya sejak 10 tahun lalu dengan awalnya, cuma berniaga dari rumah seperti wanita lain di pulau itu.

Pelanggannya membabitkan rakan dan saudara-mara, selain pelancong yang berkunjung ke perkampungan air itu hampir setiap hari.


JUMAT membantu isterinya, Dang Damit menjual produk ikan masin dan ikan kicap di Pasar Tani, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Bermodalkan RM2,000 pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Dang memberanikan diri memulakan perniagaan di pasar tani bandar Sandakan dan tamu mingguan bagi penduduk yang diadakan pada setiap Ahad, bermula tahun 2002.

Katanya, ikan kicap iaitu makanan tradisi masyarakat etnik Brunei yang kebanyakan mendiami daerah di pantai barat Sabah, Labuan dan Brunei, paling laris dengan peminatnya bukan saja penduduk tempatan, malah dari Semenanjung yang mahu mencuba makanan istimewa itu.

"Kami membawa 40 hingga 60 bungkus ikan masin dan kicap ke tamu, biasanya habis dijual. Kami juga jual keropok ikan dan udang yang turut diborong peniaga dari Kota Kinabalu untuk dijual di sana.

"Selain tamu, ada juga pelanggan dari luar yang menempah sehingga 50 bungkus dan minta kami pos. Bukan dari Kota Kinabalu saja, ada dari Semenanjung, Sarawak dan Singapura. Tak mengapa perniagaan kecil, sampai juga ke luar negara.

"Alhamdulillah, hasil jualan dapat tampung keluarga dan pendidikan anak-anak. Anak makcik dua masih belajar di universiti, tiga lagi sudah tamat pengajian, ada kerja dalam bidang perubatan, ada kerja bank... mujur tak ikut macam kami," katanya sambil memberitahu pendapatan bersihnya kira-kira RM2,000 sebulan.

Tambah Dang lagi, untuk mengharapkan gaji suaminya, Jumat Mayasin, 62, sebagai imam kariah, tidak memadai menampung kehidupan dan menghantar anaknya ke menara gading dengan kos barang di pulau yang jauh lebih mahal berbanding di bandar.


IKAN kicap yang siap dibubuh rempah dijemur beberapa hari sebelum boleh dijual. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Wartawan juga berpeluang melihat bagaimana ikan kicap dihasilkan. Proses bagi menghasilkan ikan kicap sama seperti ikan masin iaitu memerlukan ia dijemur beberapa hari. Yang membezakannya cuma ikan masin menggunakan garam, manakala ikan kicap dibubuh kicap.

Ikan duri yang sudah dibuang perut dipotong kepada beberapa bahagian untuk mengasingkan isi ikan daripada tulangnya sebelum dibubuh kicap pekat manis yang digaul bersama ketumbar sebelum dijemur.

Dang berkata, ikan kicap dijemur kira-kira tiga atau empat hari sehingga isinya kering.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran ikan kicap terhad dan bermusim. Ia hanya boleh dibuat pada musim laut berombak sebab waktu itu banyak ikan manyung.

"Kalau suami tidak turun ke laut sebab tugas, saya beli ikan daripada nelayan atau beli di pasar," katanya sambil menambah akan membeli 60 kilogram (kg) hingga 100kg ikan untuk diproses menjadi ikan kicap, ikan masin atau keropok.

Kini, selepas lebih 10 tahun berniaga, wanita dan penduduk pulau itu boleh berbangga kerana bukan saja mampu meningkatkan pendapatan, malah menjadikan pulau itu terkenal sebagai pengeluar produk ikan.

Sebut saja nama pulau itu kepada penduduk setempat, pasti semua mengatakan ikan kicap dan ikan masin datang dari Pulau Tanjung Aru.


ANA Liana menjemur ikan masin yang menjadi sumber pendapatannya bagi membantu menyara keluarga. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Ana Liana Abdullah, 41, ibu kepada tiga anak adalah suri rumah pertama terawal yang berkecimpung dalam perniagaan ikan masin di Pulau Tanjung Aru.

Idea untuk menghasilkan ikan masin timbul apabila melihat banyak ikan berkualiti rendah seperti gelama dan pari kecil ditangkap suaminya menggunakan pukat rawai yang tidak dapat dijual ke pasar.

Dia kemudian mempelajari cara membuat ikan masin daripada keluarganya sebelum suri rumah lain di kampung itu mengikut jejak langkahnya.

"Daripada buang begitu saja, bagus buat ikan masin. Dulu kurang jual ikan masin di bandar.

"Jika ada pun kebanyakan diusahakan orang Cina dan mahal sebab daripada ikan jenis berkualiti. Orang berpendapatan rendah mana mampu beli dan makan," katanya.

Ana Liana berkata, melihat kepada permintaan penduduk terhadap ikan masin dari pulau berkenaan, memberi peluang kepadanya untuk membuka gerai di pasar mingguan sekitar tahun 2000.

Katanya, dia mampu meraih pendapatan sekitar RM600 hingga RM800 dalam masa setengah hari menjual ikan masin di tamu ketika itu.

"Sekarang, sudah ramai yang proses ikan masin dan buka gerai di tamu, saingannya bertambah.

"Pendapatan pun tidak terlalu lumayan macam dulu, tapi syukur masih dapat bantu suami untuk sara kehidupan seharian berbanding hanya bergantung pendapatan hasil tangkapan ikan," katanya.

Berita Harian X