Selasa, 8 Disember 2015 | 12:19am
PERSEMBAHAN Azlan & the Typewriter pada Konsert 30 Tahun Wings di Stadium Merdeka, akhir bulan lalu. - Foto Saifullizan Tamadi
AZLAN sekadar mengikut nasihat artis senior lain supaya tidak terlalu mendedahkan keluarga kepada umum. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Alasan Azlan sorok keluarga


BERBANDING penyanyi lelaki lain yang tidak kisah mendedahkan anggota keluarga mereka kepada media, penyanyi Azlan Typewriter pula lebih selesa mengambil pendekatan yang berbeza.

Walaupun tidak pernah merahsiakan status diri, bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain dan Azlan & The Typewriter ini dilihat jarang membabitkan isteri dan anaknya dalam kerjaya seni dirinya.

Malah, sepanjang hampir sedekad dalam dunia nyanyian, tumpuan media kebanyakannya lebih fokus pada kerjaya penyanyi berusia 33 tahun ini.

Sukar untuk melihat Azlan membawa keluarganya dalam mana-mana acara hiburan.

Tindakannya itu menimbulkan pertanyaan, adakah penyanyi lagu Idola ini seorang yang tertutup, terutama apabila membabitkan hal peribadi?

Bertemu penyanyi berkulit hitam manis ini pada majlis sidang media Mentor Milenia, yang diadakan Theatrette Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini, Azlan berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara itu.

"Bukan saya sengaja mahu menyorokkan keluarga saya daripada khalayak, tetapi saya sekadar mengikut nasihat artis senior lain supaya tidak terlalu mendedahkan mereka kepada umum.

"Ia perkara penting kerana mempunyai kaitan dengan strategi untuk bertahan lama dalam industri.


AZLAN terpilih menjadi mentor dalam Mentor Milenia. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Saya sendiri lebih selesa jika peminat mengenali saya menerusi hasil kerja. Keluarga saya, biarlah mereka menjadi hak milik peribadi saya," ujar pemilik nama penuh Norazlan Rosle ini.

Hasil perkahwinannya dengan Normala Hassan pada 2010, pasangan ini dikurniakan dengan seorang anak perempuan diberi nama Laurra Lutfea, yang akan menjangkau usia empat tahun pada 28 Disember ini.

Bagi Azlan, mungkin perbuatannya itu adalah normal atas alasan tidak gemar berkongsi hal peribadi.

Namun, tidakkah isteri Azlan terasa hati dengan tindakannya itu..seolah-olah penyanyi itu menafikan dirinya sudah berkeluarga.

Menjawab pertanyaan itu, Azlan berkata, isterinya sudah sedia maklum akan hal terbabit dan beliau menerimanya dengan hati cukup terbuka.

"Isteri saya tidak pernah cemburu atau terasa dengan tindakan saya enggan mendedahkan mereka kepada khalayak. Saya sudah jelaskan pada mereka sedari awal lagi.

"Setakat ini, beliau tidak mempunyai masalah dengan hal itu dan tak pernah merungut pun," katanya.


AZLAN dilihat jarang membabitkan isteri dan anaknya dalam kerjaya seni dirinya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam


VOKALNYA yang lantang dan bertenaga, membuatkan kedudukan Azlan dalam industri muzik semakin kukuh. - Foto Munira Abdul Ghani

Selepas mengambil keputusan menyanyi secara solo, boleh dikatakan kerjaya nyanyian Azlan semakin rancak.

Ditambah dengan vokalnya yang lantang dan bertenaga, ia membuatkan kedudukannya dalam industri muzik semakin kukuh.

Namun, sejak kebelakangan ini, kelibat Azlan seperti tenggelam timbul.

Hanya jika ada projek baharu yang mahu dipromosikan, barulah beliau muncul. Jika tidak, vokalis ini akan mendiamkan diri.

Mengulas perkara berkenaan, Azlan berkata, itu juga adalah antara strateginya untuk terus bertahan dalam dunia seni supaya peminat tidak lekas jemu dan sentiasa ternanti-nanti buah tangan terbaharu.

"Jika saya tiada projek baharu, saya lebih selesa melakukan beberapa kerja di belakang tabir seperti mencipta lagu untuk artis lain.

"Saya menggunakan nama pena Dark tatkala menulis lagu. Apabila menggunakan nama pena, emosi kita berbeza berbanding ketika menulis menggunakan nama kita sendiri sebagai penyanyi," katanya.

Mengenai pemilihannya sebagai Mentor, Azlan berkata, beliau akan menggunakan pengalaman yang ada untuk mencari protege yang benar-benar berbakat dalam bidang nyanyian.

Sesi uji bakat akan dijalankan di Studio Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 19 Disember ini.

Berita Harian X