Rabu, 9 Disember 2015 | 12:19am

Knock Knock bukan lagu penyendal: Lizzy


SELEPAS tiga minggu peringkat separuh akhir Muzik Muzik ke-30 berlangsung, juri pertandingan berkenaan sudah pun membuat keputusan 12 lagu yang dikira layak bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), awal tahun depan.

Karya yang dipilih pula merangkumi pelbagai genre dan dikira mampu memberikan warna pada malam kemuncak pertandingan, yang dianggap antara anugerah paling berprestij di negara ini.

Begitupun, bagai rumah yang sudah siap tetapi pahatnya masih berbunyi, ada sesetengah peminat yang kurang berpuas hati dengan beberapa lagu yang turut melepasi pusingan separuh akhir itu, seterusnya bakal beraksi pada AJL30 nanti.

Meluahkan perasaan masing-masing di laman sosial seperti Facebook dan Instagram, sebahagiannya mendakwa, ada lagu yang dianggap tidak layak turut terpilih, yang seterusnya mampu menggoyahkan prestij pertandingan itu.

ELIZABETH Tan mempersembahkan lagu Knock Knock pada pusingan separuh akhir Muzik Muzik ke-30 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ELIZABETH Tan mempersembahkan lagu Knock Knock pada pusingan separuh akhir Muzik Muzik ke-30 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bagi mereka, ada lagi karya lain yang dirasakan lebih layak mengisi slot ke saingan akhir.

Karya ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan berjudul Knock Knock, antara lagu yang paling hebat dihentam peminat apabila ia sama-sama diumumkan sebagai finalis, beberapa hari lalu.

Malah, ada dakwaan mengatakan lagu nyanyian Elizabeth Tan itu sekadar penyendal bagi mewarnai malam kemuncak pertandingan yang akan berlangsung pada 24 Januari depan.

Tidak berkecil hati dengan tuduhan dilemparkan, Elizabeth yang mesra disapa dengan panggilan Lizzy tetap menganggap lagu terbabit mempunyai kekuatannya sendiri sehingga dipilih untuk mara ke akhir.

"AJL itu sendiri sudah penuh dengan warna dan kepelbagaian lagu. Apa yang Lizzy boleh buat nanti adalah melakukan yang terbaik dengan persembahan epik.

ELIZABETH Tan bersama finalis yang akan bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), awal tahun depan. - Foto Ghazali Kori
ELIZABETH Tan bersama finalis yang akan bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), awal tahun depan. - Foto Ghazali Kori

"Lizzy tidak rasa Knock Knock sebagai penyendal kerana lagu ini mempunyai kekuatannya tersendiri, terutama dari segi penulisan liriknya.

"Cara Faizal menulis lagu ini menjadikan ia 'catchy'. Atas alasan itu juga lagu ini mampu kekal lama dalam carta.

"Mungkin Lizzy ada kekurangan dari segi vokal dan disebabkan faktor itu, sesetengah orang tidak berpuas hati apabila lagu ini diumumkan layak ke AJL," katanya kepada BH Plus.

Mahu memberikan persembahan terbaik dan meninggalkan impak kepada penonton, penyanyi berusia 29 tahun ini tidak rela menunjukkan dirinya lemah dan beralah sebelum bertanding.

Mengakui teknik penyampaian dan vokalnya bukanlah sehebat penyanyi berpengalaman lain, namun ia bukan penghalang untuknya memperbaiki mutu penyampaiannya nanti.

ELIZABETH Tan menganggap lagu Knock Knock mempunyai kekuatannya sendiri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ELIZABETH Tan menganggap lagu Knock Knock mempunyai kekuatannya sendiri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Malah, sebagai bakat baharu dalam industri seni, beliau bersyukur apabila diberi kepercayaan untuk membawakan lagu ini sehingga ke pentas AJL.

"Sebenarnya, Lizzy tidak menjangkakan dapat masuk AJL dan kejayaan ini sudah cukup memadai bagi penyanyi baharu seperti Lizzy. Ia sudah pun boleh diumpamakan seperti satu kemenangan untuk diri sendiri.

"Ramai yang mengutuk Lizzy sebagai penyanyi. Jadi, apabila dapat masuk ke AJL dengan lagu ini, ia satu pencapaian untuk Lizzy. Jadi, Lizzy sudah membuktikan Lizzy juga mampu berada di pentas AJL.

"Kemenangan juga bukan sasaran Lizzy kerana sampai ke peringkat akhir pun sudah boleh dianggap sebagai kejayaan buat Lizzy.

"Malah, Lizzy tidak pernah meletakkan harapan untuk memenangi anugerah," katanya yang meraih trofi Top YouTube Personality pada acara Influence Asia Awards di Singapura, Isnin lalu.

ELIZABETH Tan meraih trofi Top YouTube Personality pada acara Influence Asia Awards di Singapura, baru-baru ini. - Foto Surianie Mohd Hanif
ELIZABETH Tan meraih trofi Top YouTube Personality pada acara Influence Asia Awards di Singapura, baru-baru ini. - Foto Surianie Mohd Hanif

Akan tampil berbeza di pentas AJL30, susunan lagu Knock Knock akan digubah semula, termasuk teknik tarian dan konsepnya.

Sokongan daripada Faizal dan Mike turut memberi kekuatan kepadanya untuk memberikan persembahan bertenaga dan menarik pada malam kemuncak nanti.

"Apabila Lizzy dapat tahu lagu ini dapat ke final, Lizzy terus menghantar mesej kepada Faizal bagi mengucapkan terima kasih kerana menulis lagu ini, seterusnya membuka peluang kepada Lizzy untuk membuat persembahan pada AJL.

"Beliau berkata, Lizzy membawa lagu ini dengan sangat baik, dengan gaya serta identiti sendiri," katanya yang menganggap kejayaan itu sebagai penyuntik semangat untuknya menghasilkan lebih banyak lagu lebih bermutu pada masa depan.

Sudah pun memilih genre, tema dan arah tuju untuk single ketiganya selepas Sempurna, beliau mengharapkan lagu terbabit akan memberi impak seumpama Knock Knock.

"Sama ada lagu ini lebih kuat daripada Knock Knock, kita belum pasti kerana apabila berbicara soal muzik, ia sangat subjektif dan organik.

"Kalau lagu ini hit, tentunya ia sesuatu yang sangat menarik. Kalau sebaliknya berlaku, kita akan cuba dan cuba lagi.

"Single baharu itu nanti lebih kurang macam Knock Knock. Maksudnya, ia sebuah lagu pop, tetapi mungkin lebih 'fierce'," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X