Rabu, 9 Disember 2015 | 1:13am

Mercedes cuba halang bekas jurutera sertai Ferrari

LONDON: Pasukan F1 Mercedes bakal memfailkan saman terhadap seorang juruteranya yang disyaki mencuri data rahsia sebelum berpindah ke pasukan pesaing Ferrari tahun depan, lapor Autosport.

Menurut laporan berkenaan, saman ke atas juruteranya, Benjamin Hoyle, dilakukan di Mahkamah Tinggi oleh pihak Mercedes AMG High Performance Powertrains (HPP).

HPP juga menuntut supaya mahkamah menghalang Hoyles yang bekerja dengan Mercedes sejak 2012 menyertai Ferrari atau mana-mana pasukan F1 lain sehingga tamat perlumbaan musim 2016.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, Mercedes mengesahkan satu saman sedang menyusul membabitkan Mercedes AMG High Performance Powertrains Ltd dan seorang pekerja yang akan meninggalkan syarikat hujung tahun ini.

"Pihak syarikat sudah mengambil langkah perlu untuk melindungi harta intelek dan mohon kerjasama mengenainya kerana pihak syarikat tidak akan membuat ulasan lanjut mengenai kes ini.'' katanya.

Mercedes juga dilaporkan mengarahkan Hoyle memulangkan semua dokumen berkaitan sambil menghalangnya menggunakan segala kandungan maklumat di dalamnya.

Hoyle menyertai Mercedes pada Disember 2012 sebagai seorang daripada empat jurutera kanan yang mengetuai jabatan kejuruteraan. - Agensi

Berita Harian X