Rabu, 9 Disember 2015 | 1:26pm

Teks Ucapan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin


KETUA Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berucap pada Persidangan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

PEMERKASAAN WANITA:

SATU SUARA, SATU NADA, SATU GERAKAN

PEMBUKAAN

Bismillah Hir Rahman Nir Rahiim

YBhg Puan Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

YAB / YB Wakil Majlis Tertinggi UMNO Malaysia

YBhg Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

YBhg Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

YBhg Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

YB / YBhg Barisan Exco dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri-Negeri

Yang Dialukan Para Mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Turut Dialukan Para Pemerhati, Dif-Dif Jemputan & Rakan-Rakan Media

Yang Dikasihi Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera

dan Salam 1Malaysia

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Atas kasih dan rahmat-Nya dapatlah kita semua Barisan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berkumpul dalam dewan yang mulia ini. Moga-moga persidangan kali ini akan berlangsung dalam keadaan penuh muhibbah. Saya juga berdoa agar kita semua dapat menyumbang fikiran yang bernas demi melanjutkan kesinambungan perjuangan umat Islam dan Bangsa Melayu tanah air.

"Kalau tidak kerana bulan

tidaklah matahari terbit tinggi

Kalau tidak sokongan kalian

Tidaklah saya berdiri disini."

Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh kepimpinan dan pewakilan kerana sama-sama menunaikan kewajipan pada kali ini. Setingi-tinggi penghargaan juga saya tujukan kepada paramantan pejuang-pejuang puteri. Akibat keringat dan pengorbanan merekalah, kita semua pada hari ini dapat menikmati segala ruang dan peluang yang diberikan kepada Pergerakan Puteri UMNO. Sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia, saya akan sentiasa mengenang jasa tersebut dan tidak akan sesekali mengiya-iyakan pengorbanan yang telah dicurahkan mereka.

Rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi

Sebenarnya, persidangan kali ini sangat besar maknanya kepada Pergerakan Puteri UMNO. Sekitar 5 bulan saja kita akan menyambut ulang tahun UMNO ke-70. Lapan bulan lagi, kitaakan menyambut ulang tahun Puteri UMNO yang ke-15. Lima tahun dari sekarang pula, kita akan menyambut kedatangan tahun 2020.

Semua yang saya sebutkan tadi sedang menunggu kita di hadapan. Kesemua itu mempunyai erti yang mendalam, khususnya dalam konteks Pemerkasaan Wanita Muda.Oleh sebab itu, saya ingin menegaskan kepentingan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mempunyai satu suara, satu nada dan satu gerakan.

Sudah lima belas tahun kita sama-sama berjuang untuk menghidupkan Puteri. Jika Puteri UMNO diibaratkan seperti taman, maka, masa yang telah berlalu itu tentu telah kita manfaatkan untuk sama-sama membuang duri dan membersih lalang. Sama-sama telah kita baja pohon-pohon perjuangan. Lalu, ketika hasilnya makin kelihatan, kita semua perlu bersatu hati. Sebab itu saya melihat betapa pentingnya kita mengekalkan satu suara, satu nada, dan satu gerakan demi pemerkasaan wanita muda.

Berdasarkan rekod kita selama ini, maka sangat jelas, hanya pergerakan Puteri UMNO sahaja mampu menjadi platfrom untuk agenda pemerkasaan wanita muda. Sebagai Ketua Puteri UMNO, saya dan barisan kepimpinan dengan ini menegaskan bahawa agenda pemerkasaan wanita muda adalah isu paling utama. Oleh itu, saya mengharapkan sokongan padu demi merealisasikan perjuangan ini.

PUTERI ASPIRASI WANITA MUDA DAN NEGARA

Sidang Perwakilan Dan Pemerhati sekalian,

Statistik keahlian Pergerakan Puteri UMNO sehingga 31 Oktober 2015 telah menjangkau 388,520 orang. Puteri menyasarkan 500,000 keahlian menjelang 2017. Oleh itu, Puteri di semua peringkat mesti bekerja lebih kuat untuk memastikan sasaran ini tercapai. Dalam masa yang sama, kita bukan sahaja mengejar kuantiti, tetapi turut menekankan kualiti ahli Puteri. Dalam memenuhi target tersebut, kami juga sedar akan risiko wujudnya jurang generasi dalam Puteri UMNO Malaysia.

Jurang generasi tersebut boleh wujud akibat proses transisi yang berlaku dalam UMNO. Proses transisi akan menyebabkan kelompongan yang besar dalam Puteri, khususnya mereka yang berumur dari 18 tahun sehingga 25 tahun. Masalah tersebut perlu diatasi kerana wanita muda dalam umur tersebut ialah golongan ideal dan pencorak masa depan politik negara. Malah, berdasarkan statistik, inilah juga golongan paling besar yang memasuki universiti. Kegagalan menyediakan ruang kepada golongan ini pasti memberikan kesan negatif kepada UMNO pada masa hadapan.

Untuk mengatasi masalah tersebut, satu inisiatif telah diambil dengan mewujudkan ADINDA. ADINDA bertujuan mewujudkan satu barisan pelapis bagi Pergerakan Puteri UMNO. Dengan ruang yang ada dalam ADINDA, beberapa program pendidikan dan motivasi dibuat secara berterusan agar wanita muda pada peringkat awal sentiasa terdedah dengan masyarakat. Dengan pelbagai program tersebut, ADINDA bukan sahaja menjadi wadah pendidikan, ruang ekspresi dan membina kesedaran politik yang sihat, tetapi ruang untuk menjalin hubungan antara Puteri dengan wanita muda.

Hubungan tersebut pasti menjadi satu kesinambungan perjuangan wanita dalam UMNO seterusnya mengelakkan persepsi bahawa mereka disisih dalam arus politik tanah air. Saya yakin, ADINDA akan memberikan kesan yang positif kepada Pergerakan Puteri UMNO dan mampu menjadi sebahagian cara paling efektif kita untuk mencapai keahlian sebanyak 500,000 menjelang tahun 2017.

Biarpun memberikan tumpuan terhadap pemerkasaan program dalam negeri, Pergerakan Puteri juga sedar akan keperluan untuk membina hubungan dalam peringkat serantau. Sebagai sebahagian usaha untuk merealisasikan matlamat tersebut, Biro Antarabangsa dan IPT Pergerakan Puteri UMNO telah menganjurkan Persidangan Kepimpinan Wanita Muda ASEAN. Program itu telah berjaya dilangsungkan dari 8 hingga 11 November yang lalu. Dari program itu, Puteri UMNO secara langsung telah berjaya memanfatkannya dengan membina rangkaian wanita muda di peringkat ASEAN.

Persidangan itu juga telah berjaya mencapai beberapa resolusi yang bakal memberikan kesan positif kepada wanita muda. Antaranya ialahpenegasan terhadap emansipasi wanita muda yang harus merentas sempadan negara anggota ASEAN. Dalam sektor ekonomi pula, sidang menggesa agar golongan wanita muda harus diberikan ruang yang lebih luas dan bebas agar kebergantungan mutlak terhadap kaum lelaki dapat dielakkan. Dalam konteks sosio-budaya pula, sidang membuat resolusi supaya perlunya penekanan yang berterusan terhadap usaha memperkasa wanita dengan melalui pendidikan berkualiti agar mampu mencapai kehidupan yang sejahtera.

Rakan-rakan yang dikasihi

Wawasan 2020 hanya berjarak lima tahun dari sekarang. Visi kita adalah untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun tersebut. Sebagai salah satu sayap penting UMNO, Puteri sewajibnya lebih agresif dan berperanan secara aktif dan berkesan untuk mencapainya. Bagi mencapai usaha murni ini, Puteri perlu menggembleng tenaga yang ada untuk menjayakannya. Oleh itu, Puteri telah melaksanakan beberapa program untuk menggembleng potensi yang ada dalam 4 golongan utama yang berbeza iaitu golongan remaja & siswi, golongan graduan, kelompok profesional, dan ibu-ibu muda.

Suka ditegaskan di sini, pemfokusan terhadap empat golongan utama tadi dilakukan secara bersepadu dengan usaha memenangi PRU ke-14. Hal ini kerana kami melihat, kemenangan PRU ke-14 adalah penting jika kita ingin merealisasikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Jika PRU 14 menolak kita, maka, Wawasan 2020 tidak akan menjadi agenda penting oleh lawan kita.

Untuk itu, Puteri UMNO memperlihatkan komitmen yang tinggi bagi menyemarakkan semangat kesukarelawan dengan menyentuh akar umbi. Oleh itulah dilaksanakan program SPIRIT, yakni usaha sukarela Puteri dalam membantu mangsa banjir yang telah melanda Pantai Timur baru-baru ini. Supaya lebih menyuluruh, SPIRIT juga turut membela golongan anak-anak OKU, terutamanya yang tidak mendapat pembelaan.

Selain program kesukarelawanan seperti SPIRIT, Puteri juga fokus untuk menambah bilangan pengundi UMNO. Sejajar dengan itu, Puteri UMNO mengambil pendekatan untuk mendekati pengundi di atas pagar. Pada PRU-13, golongan pengundi di atas pagar mencapaijumlah 26 peratus. Sudah tentu, golongan ini akan bertambah menjelang PRU ke-14.

Menyedari trend ini, maka Puteri mewujudkan rangkaian yang lebih berkesan untuk membina hubungan dengan golongan tersebut. Oleh itu, anggota puteri berserta rangkaian ADINDA, SWINAS dan skuad DIAN telah digerakkan untuk mendekati dan menambat hati mereka.Dengan sinergi tersebut, saya yakin, kita akan mampu menarik mereka untuk bersimpati dengan kita dan meningkatkan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional.

Para pewakilan sekalian,

Ingin Mencari Tempat Mandi

Pertama Teluk Kedua Pantai

Apa guna Memimpin Puteri

Jika tempat Sendiri Tergadai

Cukup besar maknanya bila bergelar pemimpin Puteri. Namun tiada ertinya memimpin puteri pada jika pilihan raya akan datang kita tidak mampu menambah kerusi. Oleh sebab itu, Puteri perlu memperkukuh jenteranya dari sekarang. Oleh sebab itu, saya bersama barisan kepimpinan Puteri melihat soal latihan dan pengkaderan adalah tindakan yang sangat penting.

Oleh sebab itu Puteri UMNO menyambut baik usaha Biro Latihan Umno Malaysia dengan pelaksanaan KERIS 2314. Sebanyak 177 bahagian telah menjalani kursus tersebut. Seramai 3556 orang ahli Puteri telah menyertai KERIS 2314. Program yang mendapat seliaan langsung YAB Datuk Zahid Hamidi ternyata begitu menjanjikan suatu gelombang baru dalam UMNO. Melalui konsep yang berbeza dari pada modul latihan sebelum ini, saya yakin,ada keperluan untuk diperluaskan. Malah, golongan pelapis baru akan dapat mengisi kekosongan yang nanti akan berlaku akibat proses transisi dalam Puteri.

Apa pun, Puteri hanya berjaya memberikan impak yang besar jika kita berjaya mengukuhkan kekuatan dalaman. Sebagai Ketua Puteri saya tahu saya tidak keseorangan. Saya sentiasa bersama keluarga UMNO iaitu keluarga besar saya yang memberi semangat. Saya bukan sahaja mengambil alih jawatan ini tetapi saya memikul amanah dan tanggungjawab yang besar dengan seikhlas hati demi memastikan kebajikan ahli-ahli Puteri serta UMNO sentiasa terpelihara dan dihormati selalu.

MENDEPANI CABARAN MASA KINI

Sidang perwakilan yang dirahmati oleh ALLAH sekalian.

Kerisauan orang muda di Malaysia kini adalah tekanan kos sarahidup yang meningkat, pada masa yang sama, kadar penganguran yang membimbangkan menjadi punca kepada kegelisahan rata-rata orang muda. Warga kota kini amat terkesan dengan ketakstabilan ekonomi yang ketara. Bagi mereka yang baru merancang untuk memulakan keluarga, beban kos dan saraan hidup yang tinggi adalah peringatan yang perlu diambil kira.

Puteri melihat Perkara utama yang mempengaruhi kos kehidupan bulanan adalah Pengangkutan dan Makanan.Pemerkasaan sistem pengangkutan awam perlu menjadi agenda utama kerana ia merupakan nadi kehidupan seharian masyarakat. Kami mendesak pihak kerajaan melalui SPAD untuk mengkaji semula kenaikan harga pengangkutan awam yang terlalu membebankan pengguna.

SPAD perlu melihat tahap keberkesanan dan efisiensi sistem pengangkutan yang sering menjadi keluhan masyarakat. Isu kekerapan, kualiti kenderaan, kualiti servis serta jangkauan laluan perlu diperkukuhkan lagi.

Rakyat Malaysia sebenarnya amat menyambut baik perkhidmatan yang ditawarkan tetapi sering dikecewakan oleh perkara-perkara yang dilihat kecil tetapi kritikal didalam menentukan kejayaan perkhidmatan pengangkutan awam contohnya pemandu bas yang tidak megikut etika pemanduan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan dan pengankutan awam moden yang kononnya ada kemudahan wifi dan penghawa dinggin tetapi tidak dapat dan merasai kewujudan kemudahan tersebut .

Kadar tambang yang bagaikan sedang meraikan musim kenaikan harga yang memberi kesan yang sangat mendalam kepada orang muda. Pergerakan Puteri UMNO menyambut baik langkah Prasarana Malaysia Berhad menawarkan pakej diskaun kepada golongan pelajar, warga emas dan OKU, Puteri berharap tawaran ini turut dilakukan oleh semua syarikat pengendali perkhidmatan pengangkutan awam.

Statistik menunjukkan lebih 50% pengguna pengangkutan awam adalah dari kumpulan umur 18-25 tahun dan 52% penguna tersebut adalah golongan pelajar. Kita perlu sedar bahawa matlamat memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam adalah agar rakyat mampu menikmati perkhidmatan pada kos yang paling minima. Jika kita gagal menarik minat kumpulan sasaran ini, matlamat jangkapanjang untuk menjadikan sistem pengangkutan awam sebagai pilihan no 1 akan gagal.

Pengalaman berada di Kota London menyaksikan keberkesanan pengangkutan awam mereka sehinggakan golongan muda disana tidak merasakan kereta sebagai keperluan utama mereka.

Puteri juga mencadangkan agar program Kedai Rakyat 1 Malaysia diperkasakan lagi. Ini perlu melibatkan penambahan jumlah cawangan serta penawaran lebih banyak produk dari jenama-jenama pilihan utama masyarakat.

Puteri memohon agar rakyat diluar sana tidak terpengaruh dengan propaganda negatif yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk mengagalkan usaha murni ini. Konsep Kedai Rakyat 1 Malaysia adalah bertujuaan untuk meringankan beban serta menzahirkan kesejahteraan rakyat.

Berfikirlah diluar kotak, berenanglah dilautan biru agar cabaran ini dapat kita jelmakan menjadi peluang untuk memperkasakan perkhidmatan demi untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sahabat Perwakilan Puteri Sekalian,

Kita amat bertuah kerana selama hampir 20 tahun, kadar pengangguran negara telah dapat dikawal dan kekal pada tahap dibawah 4%. Ketika ini kadar pengangguran negara adalah pada tahap 3.1%.

Apabila kita memperkukuhkan ekonomi bumiputera maka kita akan menyentuh tentang peluang perkerjaan dan juga peluang perniagaan, setakat tahun 2015 jumlah pengangguran dinegara kita adalah seramai 454,000 meningkat 9.2% dari tahun 2014. Lebih 67% daripada jumlah tersebut adalah bumiputera.

Dari DNA gunatenaga perkerja Malaysia menunjukkan 67% pekerja di malaysia adalah bumiputera. 72% adalah pekerja makan gaji, 3% adalah majikan,4% adalah pengurus dan 65% daripada pekerja makan gaji adalah bumiputera. Lebih menyedihkan 48% gaji permulaan bumiputera kurang dari RM1500 sebulan.

Oleh yang demikian, Pergerakan Puteri Umno Malaysia mancadangkan untuk mengambil beberapa langkah pro-aktif serta bersifat tindakan penyelesaian jangka panjang boleh diambil dengan agar isu pengangguran ini dapat dibendung sebelum parah demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang mapan.

Yang pertama Puteri mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan kaunseling pekerjaan seawal peringkat sekolah menegah lagi supaya pelajar-pelajar tersebut tidak salah memilih jurusan atau bidang yang tidak megikut kehendah pasaran hari ini dan pada masa yang sama mengambil kira minat dan bukannya memenuhi impian keluarga semata-mata.

Yang kedua mewujudkan penglibatan secara menyeluruh pihak IPT dalam memberi pendedahan dan siapsiagaan pelajar-pelajar dalam menempuh alam pekerjaan kepada pelajar dalam masa yang sama membantu penempatan pekerjaan kepada pelajar. Disini Sekretariat Mahasiswi Nasional (swinas) boleh memainkan peranan dalam membantu bahagian hal ehwal pelajar (HEP) dalam merealisasikan usaha ini.

Pada masa yang sama Pergerakan Puteri Umno Malaysia menyambut baik usaha Kerajaan telah mengambil langkah jangka panjang dengan menaik taraf dan memperkasakan sistem Pendidikan Teknikal dan Vokasional. Bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia, langkah ini sekaligus meluaskan kebolehpasaran tenaga kerja negara. Pendidikan lepasan menengah dan tertiari akan menjadi pemangkin kepada satu perubahan di mana keperluan tenaga mahir dan separa mahir yang diperlukan oleh industri dilihat dapat menjana perkembangan ekonomi yang lebih mapan. Dan kami berharap agar para majikan tanpa mendiskriminasikan Gender. Data menunjukkan 57% lulusan tertiari yang menganggur adalah wanita.

Selain itu Bidang keusahawanan juga sebenarnya semakin mendapat tempat dihati anak muda Malaysia. Penglibatan mereka didalam industri kecil dan sederhana akan memantapkan ekonomi negara. Namun keluhan sering terdengar mengenai kepayahan untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan.

Oleh yang demikian, bagi memperkasakan bidang keusahawanan di kalangan wanita muda kamiPergerakan Puteri UMNO Malaysia mencadangkan supaya kerajaan memastikan pakej bantuan perniagaan yang lebih bersifat menyeluruh dapat ditawarkan agar permohonan perniagaan bersekala kecil atau sedarhana mendapat memberi manfaat selain memudahkan urusan tersebut.

Oleh yang demikian latihan yang berkualiti mengenai ilmu perniagaan juga harus ditekankan agardapat membantu golongan muda menceburi bidang perniagaan sekaligus dapat mengurangkan masalah penganguran.

Sebagai contoh, seorang surirumah atau graduan yang menganggur boleh memulakan perniagaan dari rumah jika mereka mendapat latihan pemasaran media sosial yang berkesan. Ianya juga bukan hanya dapat mengurangkan kadar pengangguran secara berkesan, malah tekanan kos sara hidup keluarga juga dapat diringankan. Seterusnya kita dapat meningkatkan produktiviti rakyat Malaysia.

PEMERKASAAN KELUARGA MUDA

"SOAL KELUARGA ADALAH SOAL NEGARA

SAYANG KELUARGA BERERTI SAYANG NEGARA

SAYANG NEGARA JAGALAH KELUARGA"

"SEKIRANYA NEGARA TIDAK PRIHATIN TENTANG KELUARGA, BERERTI NEGARA TIDAK PRIHATIN MENGENAI SOAL TERPENTING TERBINANYA SESEBUAH NEGARA"

Saya yakin wanita muda hari ini bijak dalam menangani kerenah dan menepis cabaran kehidupan. Malah cabaran hidup kekeluargaan yang merempit di celah-celah tumpuan kerjaya juga mampu disantuni.

Namun, bila kita bicara tentang memaksimakan produktiviti wanita muda, menjadi cabaran kepada wanita muda untuk membuat pilihan antara keluarga dan kerjaya, seharusnya perkara ini dapat dikurangkan ketahap paling minimum.

Dengan ini Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyeru kepada semua pihak yang terlibat supaya dapat memberi kerjasama dalam memastikan polisi tempat kerja yang berpaksikan mesra hidup kekeluargaan.

Antara contoh polisi yang boleh dilaksanakan adalah seperti memperbaiki pelaksanaan waktu kerja anjal. Waktu mula dan akhir kerja yang berbeza hanya 30 minit belum cukup mampu memberikan kesan yang diharapkan. Oleh itu Puteri mahu polisi ini ditambah baik agar produktiviti tempat kerja seiring dengan pembangunan keluarga secara berkesan dapat direalisasikan.

Puteri UMNO juga mahu menyarankan agar majikan dengan kerjasama pihak yang berkepentingan menyediakan pusat penjagaan dan asuhan kanak-kanak di tempat kerja. Dengan kewujudan TASKA di tempat kerja, pelbagai masalah akan dapat dikurangkan. Misalnya, perjalanan waktu pagi akan lebih lancar memandangkan anak-anak dan ibu menuju ke lokasi yang sama. Kos pengangkutan juga akan berkurangan. Hal seperti ini akan memacu produktiviti dan mewujudkan satu iklim pekerjaan yang lebih sihat.

Selain TASKA, Pergerakan Puteri juga ingin menyarankan agar setiap pejabat dan lokasi strategik menyediakan bilik penyusuan bayi dan ruang penyimpanan susu. Dengan cara itu, aktiviti penyusuan akan dapat dilakukan dengan lebih selesa.

Pergerakan Puteri UMNO Malaysia juga mahu menarik perhatian pihak majikan, sama ada kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan mengenai keperluan melaksanakan polisi bekerja dari rumah. Memang kita sedar kebanyakan majikan bimbang bila berkerja dari rumah pekerja mungkin susah dipercayai sama ada pekerja tersebut akan melaksanakan tugas atau membuat kerja lain. Kami lihat kebimbangan tersebut berasaskan kepada ketidakyakinan dan ketidakpercayaan.

Puteri percaya jika polisi ini boleh diubahsuai sebagaimana yang telah dilaksanakan dibeberapa Negara maju. kerajaan harus memain peranandalam perubahan ini agar dapat mewujudkan suasana saling percaya antara pekerja dan majikan.

Selain itu, Puteri sedar akan cabaran sesebuah institusi kekeluargaan akibat perkahwinan jarak jauh. Isu penempatan tempat bertugas dikalangan guru-guru muda menjadi cabaran buat mereka. Cabaran tinggal berjauhan disebabkan faktor kerjaya menjadi satu dugaan yang sangat kuat kepada pasangan ibu muda yang menempuh perkahwinan jarak jauh terutama Guru-Guru muda yang baru melangkah ke alam kerjaya.

Mengikut data yang dikeluarkan pada 1 Oktober 2015 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seramai 12,593 permohonan yang dibuat dan hanya 1,361 sahaja yang diluluskan. Selain daripada itu banyak kes-kes sosial yang berlaku antara lain meningkatnya kes penceraian, kemurungan dan ada yang sanggup sehingga membunuh diri disebabkan tekanan yang melampau.

Puteri sedar menjadi cabaran kepada mereka agar terus kuat semangat dan berdikari untuk menguruskan dirinya ketika berjauhan dengan keluarga, apatah lagi ketika dirinya ditimpa musibah atau masalah yang memerlukan keluarga sebagai tempat untuk mengadu.

Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan kerana keperihatinan beliau yang memandang serius duka-lara dan rintihan golongan pendidik muda.

Sememangnya isu ini telah lama menjadi perhatian yang serius. Seharusnya guru-guru muda ini tidak dibelenggu permasalahan yang menggugat profesion mereka sebagai seorang pendidik. Di awal perkahwinan permasalahan seperti ini sepatutnya dielakkan, ini kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain dalam apa jua keadaan sekali pun demi keharmonian rumah tangga dan kesempurnaan mengalas tanggungjawab sebagai seorang pendidik.

Masalah Ini bukan hanya dialami oleh guru-guru muda malah berlaku kepada doktor, golongan profesional muda dan golongan bukan profesional yang melibatkan generasi muda masa kini.

Pergerakan Puteri Umno berharap tindakan yang dibuat oleh kementerian pendidikan menjadi contoh kepada kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan.

PERTINGKATKAN KESELAMATAN DALAM DAN LUAR NEGARA

Sidang Perwakilan dan pemerhati yang saya kasihi sekalian,

Saban hari ada saja berita yang melibatkan keganasan terhadap wanita. Malah Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kejadian yang amat memilukan apabila seorang kerani wanita berusia 29 tahun yang telah dirogol dan dibunuh.

Saya pasti ramai antara kita mahupun keluarga terdekat kita pernah menjadi mangsa jenayah. Lebih memilukan lagi kejadian ini dialami sendiri oleh naib Ketua puteri saya sehingga beliau trauma untuk bersendirian apabila keluar dari rumah.

Jenayah keganasan terhadap wanita semakin membimbangkan. Berdasarkan statistik PDRM sehingga September 2015 sebanyak 2,528 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan. Bagi kes rogol pula, rekod menunjukan sebanyak 1,625 kes. Manakalah sebanyak 230 kes gangguan seksual telah dilaporkan.

Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memandang berat perkara ini dan berharap pihak yang berwajib memandang serius perkara ini agar keselamatan wanita muda diberi pehatian yang sewajarnya agar dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya wanita dalam dalam usaha untuk memberi pendedahan betapa pentingnya seseorang wanita mempunyai pengetahuan mengenai pencegahan, perlindungan dan pemulihan serta berharap penglibatan kaum lelaki dalam usaha mencegah jenayah keganasan wanita.

Sidang Sahabat sekalian,

Demi memastikan keamanan dan kedaulatan berterusan bumi Malaysia serta Sabah khususnya, kami berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, serta YB Menteri Pertahanan atas segala keprihatinan serta komitmen dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air.

Saya juga amat berterima kasih kepada YB Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kerana memberi kepercayaan kepada saya bersama-sama beliau dalam lawatan kerja ke Filipina pada Mac yang lalu. Saya dapat lihat sendiri bagaimana kita memulakan perbincangan dengan Setiausaha Gazmin (Setiausaha Pertahanan Filipina) mengenai rancangan kerjasama untuk menyusun peronda laut di Lautan Sulu demi keselamatan perairan negara khususnya di Sabah.

Kerjasama tersebut sebagai titik permulaan terhadap Kesedaran Domain Maritim (Maritime Domain Awareness) bagi menghalang ancaman bukan tradisional serta isu-isu lain yang berkaitan dengan keselamatan maritim. Dan ini hanyalah salah satu daripada pelbagai lagi siri dan pelan pengukuhan pertahanan negara khususnya di sempadan laut.

Apa yang lebih penting, melalui lawatan tersebut, saya dapat melihat sendiri perbincangan yang memerlukan strategi, memerlukan sensitiviti dan memerlukan kerjasama dari dalam mahupun luar Negara.

Sebenarnya isu pertahanan dan keselamatan adalah isu yang amat rumit dan besar. Ia bukan sahaja berkisar peluru dan senapang, malah berkaitan bom dan jet pejuang. Ia jauh lebih kompleks dari apa yang kita sangkakan dan tidak semudah itu yang kita dengar seperti yang dimomokkan oleh pihak pembangkang.

Pada mereka, ia hanyalah satu lagi episod drama Kerajaan. Kononnya nyawa anggota keselamatan kita ini adalah taruhan dan buah catur yang kita boleh gerak-gerakkan demi kepentingan politik dan akhirnya temberang mereka sendiri yang pecah. Belang mereka semakin terserlah.

Siapa yang hari ini menjadi musuh dalam selimut? Dan siapa pula yang kemudian berpura-pura menangis bila kerajaan ingin mengambil tindakan tegas kerana kebiadapan mereka berpeluk mesra sambil menikmati santapan enak dengan anak musuh negara? Merekalah pelakon sandiwara sebenar. Jangan dilupa bagaimana mereka mencaci dan menghina anggota keselamatan yang berhempas pulas menjaga keselamatan Negara dari diceroboh dan dipermainkan oleh pihak luar.

Saya harap yang kesemua ini boleh menjadi gambaran yang menunjukkan keprihatinan dan sikap kepimpinan kita yang sentiasa meletakkan kepentingan negara melebihi dari perkara yang lain dan yang lebih penting, janganlah kita termakan hasutan serta menjadi agen penyebaran maklumat palsu tanpa kita sedar ianya hanyalah diperdaya oleh permainan licik mereka.

Dewasa ini perkembangan teknologi komunikasi tanpa sempadan memberi cabaran baru didalam isu keselamatan negara. Peperangan alaf baru menentang keganasan dan extremism (counter-violence and extremism (CVE)) bukanlah sekadar dari bentuk fizilkal tetapi juga ideologi.

Tindakan menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak berkuasa adalah kesalahan yang harus kita elakkan. Semua rakyat Malaysia terutama ibu bapa harus memastikan keadaan yang harmoni dan penuh kasih sayang wujud dalam keluarga bagi menangkis sebarang ruang dari idea keganasan yang ekstrim dari menyusup masuk ke dalam minda ahli keluarga kita.

Kumpulan Militan Negara Islam - IS - adalah antara contoh yang paling tragis. Mereka telah berjaya merekrut penganut Islam termasuk rakyat Malaysia dalam perjuangan songsang mereka. Mereka telah secara efektif memanfaatkan sepenuhnya media sosial dalam penyebaran fahaman bersifat songsang. Hasilnya ada rakan-rakan kita yang telah terpengaruh dan bersama mengangkat senjata. Lebih menyedihkan apabila terdapat wanita yang terpengaruh dan akhirnya menjadi mangsa perjuangan songsang, Jihad Cinta.

Justeru itu, saya amat bersetuju saranan YAB Menteri KDN untuk menghentikan penggunaan terma Islamic State ini dan digantikan kepada Daesh adalah satu permulaan yang baik untuk menentang habis-habisan demi menjaga maruah dan kesucian agama Islam.

DAULATKAN ISLAM AGAMA NEGARA

Ahli-ahli perwakilan yang saya kasihi

Dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam telah pun dinyatakan sebagai Agama bagi Persekutuan. Namun begitu, agama-agama lain boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni. Hal itu disebut dalam Perkara 3 Fasal 1, Perlembagaan Persekutuan.

Menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan mesti dianggap sebagai satu kejayaan yang besar. Sesetengah negara, seperti Turki, sehingga ke hari ini masih bertungkus-lumus untuk menjadikan Islam sebagai sebahagian daripada perlembagaan mereka. Oleh sebab itu, kita harus mengakui usaha tersebut sebagai satu tindakan bijak yang pernuh berhikmah oleh Raja-Raja Melayu dan pemimpin kita terdahulu.

Sejarah telah membuktikan bahawa hanya Islam berjaya melaksanakan keadilan dan menjadi rahmat kepada semua bangsa dan komuniti. Sebagai contoh, ketika Islam memerintah Andalusia, yang dikenali sebagai Sepanyol sekarang ini, umat Islam berjaya hidup aman dan harmoni dengan agama Kristian dan Yahudi. Malah, untuk pertama kali dalam sejarah, orang Yahudi diberikan peluang dan ruang untuk membangunkan bangsa mereka.

Jadi, apabila Islam disebutkan sebagai agama Persekutuan, semua pihak harus bersyukur dan tidak berasa jengkel. Hal ini secara tidak langsung membayangkan keazaman para pendahulu kita untuk mengulangi pencapaian Islam yang pernah dicapai dalam sejarah itu.

Dari sudut yang lain pula, dua Perkara dalam Perlembagaan tadi ialah mekanisme ampuh untuk menjaga kedaulatan Agama Islam. Peruntukan Islam dalam Perlembagaan menjadi 'Hifzudden', yakni pembela agama, yang menjadi tugas utama kepimpinan. Sudah jelas, dengan pelbagai kekangan yang ada, barisan kepimpinan telah sedaya upaya cuba melaksanakan tugas membela agama itu. Kerajaan sendiri telah menzahirkan tugas tersebut dengan membuat pelbagai usaha yang konkrit. Antaranya dengan mewujudkan pelbagai Institusi Islam.

Jadi, tindakan mempersoal kewujudan Institusi yang berkaitan dengan Islam sangat tidak wajar. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis-majlis Agama Negeri, dan Jabatan-jabatan Agama Negeri mempunyai kedudukan yang sah dan sangat penting dalam kelangsungan Islam sebagai agama Persekutuan. Tindakan mempersoalkan kewujudan institusi sebegitu sangat bertentangan dengan Perlembagaan.

Sudah tentu, kita tidak menafikan bahawa ada beberapa kelemahan. Namun, kelemahan itu boleh diperbaiki demi kemaslahatan umum. Malah, semua pihak harus berkerjasama untuk membantu, sama ada menyalurkan idea, kepakaran dan sumbangan kewangan untuk mengukuhkan lagi Institusi berkaitan.

Dalam hal ini amat penting untuk kita bersikap positif. Kita haruslah memiliki mata lebah yang sentiasa mencari madu. Jangan sesekali melihat institusi Islam yang ada dari mata lalat. Ingatlah, di alam yang luas ini, lalat tidak pernah nampak bunga-bunga. Yang dilihat oleh lalat akhirnya najis dan sampah-sarap.

Sebenarnya, tindakan agresif sesetengah pihak dalam mempersoalkan institusi berkaitan memperlihatkan sikap mereka yang kurang berhati-hati. Maksud saya, mereka sengaja mengangkat kelemahan-kelemahan kecil sebagai satu hal yang utama. Pada hal ada banyak bukti bahawa institusi keislaman kita telah berjaya berfungsi dengan baik dan mendapat pengiktirafan dunia.

Sebagai contoh, kita menjadi rujukan peri hal kewangan Islam. Pengurusan haji oleh Tabung Haji kita adalah yang terbaik di dunia. Kita juga telah menjadi hub halal antarabangsa. Negara kita juga telah menjadi destinasi pelancongan Islam yang berjaya. Malah pusat-pusat pengajian tinggi Islam kini menjadi tumpuan pelajar seluruh dunia. Bukankah itu bukti jelas lagi nyata?

Para pewakilan dan sahabat sekalian,

Fakta di atas sengaja dinyatakan di sini sebagai bukti bahawa Malaysia wajar disebut sebagai negara Islam. Maka bukanlah sesuatu yang pelik untuk kita meletakkan Puteri UMNO Malaysia dalam kelompok besar golongan yang mahu Islam terus diperkasakan dalam negara ini.

Menyedari hal ini, Pergerakan Puteri UMNO secara peribadi terpanggil untuk bersama-sama mengukuhkan imej Islam di negara ini. Oleh itu, kita telah melakukan beberapa program yang difikirkan sesuai. Antaranya adalah dengan melancarkan satu unit khas bagi memperkasa agenda Daulatkan Islam Agama Negara, atau DIAN. Pelancaran Puteri DIAN itu telah pun disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO.

Dalam merealisasikan DIAN, kita telah mendapat kerjasama yang amat baik daripada Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, IKSIM. Dengan sinergi ini, visi DIAN untuk menjadi obor pencerahan Islam akan lebih berkesan. Kami yakin, penubuhan DIAN akan dapat membantu menjelaskan secara terperinci kedudukan Islam, khususnya dalam Perlembagaan Negara. Selain itu, saya yakin DIAN akan mampu mengukuh nilai keislaman sebagai teras jati diri wanita muda, seterusnya menjadi aspirasi "Daulatkan Islam Agama Negara" sebagai suatu kenyataan.

Para sahabat pimpinan yang dikasihi

Selain DIAN, Pergerakan Puteri UMNO turut melancarkan TRAPI, iaitu Program Tansformasi Pemikiran Islam. TRAPI ini telah berjaya membina kesedaran kepada lebih 1400 ahli Pergerakan Puteri UMNO Malaysia tentang Islam yang menjadi tonggak utama Malaysia. Malah, program alam TRAPI juga bersifat dua. Hal ini kerana TRAPI turut mendedahkan pelbagai ancaman terhadap Perlembagaan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Kami yakin, dengan menjelaskan kedudukan sebenar Islam dalam perlembagaan, serta mendedahkan ancaman dan kecaman terhadap perlembagaan, Puteri UMNO Malaysia akan sedar fungsi mereka dalam melestarikan Islam dan mendaulatkan Perlembagaan. Perlembagaan Negara adalah benteng terakhir dalam kita mempertahankan Islam daripada terus diperlekeh dan diseleweng oleh golongan yang loba kuasa. Kegagalan kita memahami kedudukan Islam dalam perlembagaan dan bentuk ancaman dan penyelewangan, akan memudahkan golongan itu menidakkan hak-hak yang telah tertera.

Kita berhasrat untuk meneruskan lagi program TRAPI ini, dan menjadikan ia sebagai pemangkin motivasi rakyat agar turut sama sedar tentang kedudukan sebenar agama kita dalam Perlembagaan dan tidak boleh menafikan hakikat itu sama sekali.

Namun begitu, saya juga sedar, DIAN dan TRAPI tidak akan berkesan jika tidak mendapat sokongan yang padu. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa agresif mendaulatkan Islam melalui platform Pergerakan Puteri dengan program-program yang berterusan. Dalam masa yang sama, Puteri sedar, usaha mendaulatkan Islam akan lebih berkesan jika mendapat kerjasama ramai pihak. Untuk itu, kami sentiasa membuka ruang kepada semua pihak yang berkepentingan, sama ada ilmuwan atau NGO bagi menjalin usaha bersama demi kebaikan yang lebih menyeluruh.

POLITIK PERPECAHAN & KEBENCIAN

Ketika mengambilalih tampuk pemerintahan negara, YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak telah menetapkan pentadbirannya berpaksi atas moto perjuangan - 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Langkah ini diambil untuk memastikan sebuah pentadbiran yang inklusif, agar setiap rakyat Malaysia tidak tertinggal di dalam arus pemodenan negara.

YAB PM telah memperkenalkan 2 landasan utama untuk memacu perubahan dan memangkin penambahbaikan negara. Dengan melancarkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Keduanya adalah usaha menyeluruh yang akan merubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Ahli-ahli UMNO mesti mendukung usaha transformasi negara dan inilah bukti bahawa parti ini amat bertanggungjawab ke atas pembangunan negara. Justeru, saya mengharapkan setiap rakyat tampil memberikan pandangan serta maklumbalas yang konstruktif terhadap pelaksanaan pelan transformasi ini. Sekiranya terdapat kekurangan, teguran bersama cadangan-cadangan yang membina, amat digalakkan.

Sebagai sebuah negara demokrasi yang bertamadun dan matang, perbincangan intelektual perlu mengambil tempat dalam membincangkan keberkesanan dan pencapaian segala polisi serta program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan. Disinilah sepatutnya medan perdebatan nasional berlaku.

Malangnya, suasana politik di Malaysia pada hari ini mempamerkan satu sindrom politik perpecahan dan kebencian yang seolah-olah menjadi asas perjuangan parti politik pembangkang.

Politik perpecahan dan kebencian ini berpaksikan amalan memfitnah, mencaci maki serta mempromosikan pemikiran ekstrem. Politik tidak matang ini sudah pastinya memberi kesan yang cukup mendalam kepada pengikut dan penyokong mereka. Realitinya, memang amat mudah untuk merangsang perpecahan dan kebencian. Hanya dengan berbekalkan kepetahan berkata-kata di tempat awam, kedai kopi dan pentas ceramah, matlamat ini mudah capai.

Namun begitu, bagi tujuan mempromosi politik kemajuan dan kemakmuran, ia memerlukan kombinasi ilmu pengetahuan, daya fikir kreativiti dan inovasi, perlakuan yang berhemah serta kemampuan menghayati perbincangan intelektual adalah bersandarkan kepada kematangan fikiran.

Kemampuan berhujah secara rasional dan 'substantial' atau berfakta yang perlu menjadi pegangan! Kami ingin mengingatkan mereka bahawa tindakan mereka boleh memberi kesan signifikan jika tidak dibendung dan boleh menimbulkan provokasi, kebencian dan kemarahan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Setiap seorang daripada kita perlu memikul tanggungjawab ini. Ingatlah, kita terpaksa melalui jalan yang perit serta masa yang panjang untuk memperbaiki semula segala kemusnahan, membina semula kepercayaan dunia serta menyulam semula kerosakan hubungan sesama rakyat suatu ketika dahulu. Tiada siapa yang menang daripada peristiwa itu.

Sebagai rakyat Malaysia yang mendokong Rukunegara yang kelima, KESOPANAN & KESUSILAAN. Kami amat tersentak dan hampa bila terbaca kata-kata nista yang dilemparkan oleh sesetengah pengguna media sosial. Cara mereka melahirkan kritikan serta penghinaan yang mereka hamburkan amat bercanggah dengan etika dan adab sebagai seorang insan apatah lagi rakyat Malaysia.

Lebih mendukacitakan apabila ada di antara mereka ini bertindak biadap dengan mengkritik dan menghina Institusi Diraja yang memayungi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan Negara. Tindakan ini tidak bolehdimaafkan. Puteri UMNO mendesak pihak yang berkuasa mengambil tindakan yang sekeras-kerasnya terhadap individu-individu yang tidak menghormati institusi beraja ini. Walau apapun yang terjadi, kesucian Institusi Diraja mestilah dijaga kehormatannya. Setiap rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab dan fahami prinsip ini.

Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memohon masyarakat di negara ini supaya tidak terpengaruh dengan sentimen politik perpecahan dan kebencian bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negara. Beradab dalam perbincangan ianya tidak menjadikan kita manusia kaku. Kritik dan berilah pandangan pada sesuatu yang wajar diperbetulkan. Sebagai umat Islam kita diajar untuk memperbetulkan keadaan jika berlaku kepincangan dalam masyarakat. Namun, lakukannya dalam lingkungan adab dan akhlak yang mulia. Ingatlah bahawa fitnah itu lebih kejam dari membunuh.

Perbezaan politik dan pandangan bukanlah alasan untuk kita kehilangan nilai kesopanan. Semua anggota masyarakat harus memerangi polemik kotor ini. Dan para pemimpin dari semua lapisan masyarakat haruslah menunjukkan contoh dan tauladan yang baik. Apalah gunanya bergelar pemimpin jika kita hanya mampu memecah dan gagal menyatukan. Ingatlah, dihujung cerita - kita semua adalah SAUDARA SEWARGANEGARA.

BAHASA JIWA BANGSA

Tingkap Papan Kayu Bersegi,

Sampan Sakat Di Pulau Angsa,

Indah Tampan Kerana Budi,

Tinggi Bangsa Kerana Bahasa

Barisan Srikandi Sekalian,

Berbanding beberapa isu lain, bahasa Melayu adalah isu yang kurang diberikan perhatian dan kurang mendapat pembelaan. Pada hal kedudukan dan fungsi bahasa Melayu di sebut secara jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Pesekutuan. Jika dilihat dari sudut perpaduan kaum pula, hanya bahasa Melayu sahaja yang mampu menjadi alat pemersatu.

Namun begitu, fungsi bahasa Melayu dalam kehidupan seharian semakin terpinggir. Masyarakat di kota-kota besar pula lebih selesa berbual dalam bahasa Inggeris atau bahasa pasar. Namun, yang lebih membimbangkan, bahasa Melayu kurang digunakan sebagai bahasa untuk bertukar-tukar pandangan dan pemikiran. Malah, dalam pelbagai perbincangan yang tinggi, bahasa Inggeris lebih banyak digunakan.

Saya sengaja membangkitkan hal ini kerana peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa untuk menyampaikan perasaan dan fikiran boleh memberikan kesan yang buruk terhadap perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Lebih-lebih lagi apabila kita berbicara tentang hal-hal yang asasi seperti agama, keadilan, kemajuan, kesejahteraan, hak-hak asasi dan sebagainya. Hal-hal sebegitu sangat dipengaruhi oleh bahasa yang digunakan. Hal ini demikan kerana maksud dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu tidak sama kerana menayangkan nilai yang berbeza.

Hal ini pernah dijelaskan oleh Prof. Wan Nor Wan Daud, yakni salah seorang murid kepada Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Untuk pengetahuan, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah dipilih sebagai tokoh UMNO kerana sumbangannya yang besar kepada dunia ilmu. Beliau juga ialah orang yang mencipta bendera dan lambang UMNO.

Prof. Wan Nor Wan Daud menyuarakan kebimbangan beliau terhadap potensi wujudnya persengketaan akibat istilah penting difahami dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, konsep jihad. Orang Islam di Malaysia memahami jihad dalam pengertian yang luas. Sebagai contoh, jika kita mahu memajukan ekonomi dengan ikhlas, perbuatan itu juga termasuk dalam pengertian jihad. Tetapi, dalam bahasa Inggeris, yang sering menjadi rujukan rakan-rakan kita yang tidak fasih berbahasa Melayu, jihad hanya disempitkan sebagai holywar atau perang suci. Begitu juga dengan istilah ketuanan Melayu.

Istilah ketuanan Melayu sering disalah fahami oleh rakan-rakan kita yang bukan Melayu. Malah, mereka memahami Ketuanan Melayu sebagai Malay supremacy/superiority. Akibatnya, sesetengah pihak menggunakan ketidakfahaman itu untuk dipolitikkan bagi kepentingan perjuangan sempit mereka.

Namun, kita memperjuangkan Ketuanan Melayu kerana kita mempunyai maksud yang berbeza. Yang kita maksudkan tentang Ketuanan Melayu itu ialah ownership. Jika hendak dikiaskan, lebih kepada pemilik rumah dengan penyewa rumah. Sejarah mencatatkan, kadang-kadang, penyewa rumah memiliki kekayaan yang lebih besar daripada pemilik rumah. Namun, sebagai pemilik rumah kita mengiktiraf hak tersebut dan turut bergembira dengan kejayaan mereka menjadi kaya.

Kita tidak pernah menganggap mereka sebagai hamba. Namun, mereka hendaklah menghormati kita sebagai pemilik tanah. Malah, kata tuan telah digunakan secara meluas dan membawa maksud yang baik dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, kita boleh temui kata tuan dalam Yang diPertuan Agong.

Oleh sebab itu, saya menyarankan kepada kerajaan agar meniru pendekatan negara-negara maju dalam soal bahasa. Di Amerika Syarikat, isu bahasa tidak lagi dilihat sebagai isu perpaduan, malah sebagai isu keselamatan negara. Begitu juga dengan negara Jepun. Di Jepun, anak-anak Jepun yang tinggal lama di luar negara dianggap oleh mereka boleh membahayakan masyarakat Jepun. Lalu, anak-anak tersebut harus menghadiri sekolah-sekolah khusus bagi menjepunkan mereka setelah berpindah kembali ke negara matahari terbit itu.

Hal ini tentunya lebih genting di Malaysia. Masyarakat kita ialah satu-satunya yang terdiri daripada pelbagai kaum yang mampu hidup aman dan damai. Tidak ada satupun negara di dunia yang memiliki bangsa besaryang berbeza agama dan bangsa dapat hidup harmoni. Ini ialah satu keadaan yang perlu dipelihara dan diperkukuh.

Namun, hari ini apabila bahasa Inggeris terlalu ditekankan, wujud golongan yang memahami sejarah negara kita melalui tulisan Barat. Jadi, mereka memahami sejarah Malaysia melalui ajaran yang salah. Pada hal, sejarah kita yang sebenar banyak tercatat dalam tulisan jawi dan bahasa Melayu. Akibatnya, mereka tidak lagi mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal di negara ini.

Sebagai contoh, berdasarkan tulisan oleh orang Inggeris, kita dilabel sebagai pemalas. Kenapa mereka memanggil kita bangsa pemalas? Hal ini kerana nenek moyang kita suatu ketika dahulu enggan bekerja dengan Inggeris. Namun, setelah diteliti, keengganan nenek moyang kita untuk bekerja dengan penjajah bukannya kerana malas. Sebaliknya, bekerja dengan orang Inggeris dianggap sebagai suatu pengkhianatan. Jadi, bahasa Inggeris terus ditekankan, maka orang Melayu akan terus dianggap pemalas. Pada hal, hakikatnya sangat berbeza.

SOLIDARITI BERSAMA PEMIMPIN

Sidang Perwakilan Merah Jambu Yang saya sayangi

Sejarah ialah guru kehidupan. Justeru, apakah yang telah sejarah ajarkan tentang negara dan politik? Sejarah dunia mengajar kita bahawa pemimpin negara hanya berjaya jika mendapat sokongan padu rakyatnya. Sejarah juga telah membuktikan bahawa mana-mana kepemimpinan negara yang gagal mendapat sokongan rakyat, lambat laun akan kecundang. Malah, lebih menggerunkan, sejarah juga mengajar kita bahawa sebuah tamadun yang hebat boleh hancur musnah oleh masalah dalaman yang serius.

Sebagai contoh, dalam sejarah di rantau ini, Melaka pernah menjadi sebuah empayar yang besar dan kaya. Nama Melaka begitu masyhur sehingga dijuluki oleh Marco Polo sebagai "Venice di Timur". Dalam catatan Alfonso de Albuquequer, sewaktu menyerang Melaka, dianggarkan Melaka mempunyai sekitar 8000 laras meriam. Melaka juga mempunyai angkatan laut yang kuat. Kedudukannya pula sangat strategik. Berdasarkan pelbagai keistimewaan itu, sepatutnya Melaka dengan mudah dapat berhadapan dengan angkatan Portugis yang lebih kecil. Namun begitu, mengapa Melaka kalah?

Jawapannya adalah kerana dua faktor. Faktor yang pertama adalah perpecahan dalaman yang parah antara para pembesar. Perpecahan tersebut meruncing akibat para pembesar yang gilakan kuasa dan pangkat sehingga sanggup melakukan pelbagai perbuatan yang keji.

Faktor yang kedua pula ialah pengkhianatan. Utimutaraja dan Nina Chatu, seorang pedagang telah senyap-senyap bekerjasama membantu dan menyalurkan maklumat kepada Portugis. Kedua-dua mereka telahpun menikmati hasil kemakmuran Melaka. Namun, apabila berada dalam suasana yang genting, mereka bukan sahaja tidak sanggup berkorban, malah, bertindak mengkhianati Melaka.

Biarpun ini sejarah lampau, namun pengajarannya harus diinsafi oleh semua pihak. Apa yang pernah berlaku dahulu, tidak mustahil akan berlaku sekarang. Oleh sebab itulah, kita harus sentiasa merapatkan saf dan bersolidariti bersama kepimpinan yang ada sekarang ini. Kita hendaklah sentiasa awas dengan sesetengah golongan yang hanya ingin bersama sewaktu senang, tetapi meminggirkan kita ketika berhadapan dengan cabaran getir. Orang seperti Utimutaraja dan Nina Chatu, tidak harus diberi ruang dalam suasana hari ini. Watak-watak Utimutaraja dan Nina Chatu haruslah dibersihkan daripada pergerakan UMNO dalam setiap peringkat dan sayap.

Saudara dan saudari, hadirin dan hadirat

Kesetiaan kepada pemimpin adalah satu perkara utama dalam Islam. Malah, pandangan ijmak ahli Sunnah wal jamaah menegaskan kepentingan untuk kita sentiasa setia dengan pemimpin yang ada selagi pemerintah tidak melakukan kefasikan secara terbuka. Hal ini menjadi asas politik Islam kerana tindakan menjatuhkan pemimpin boleh membuka pintu fitnah yang lebih besar.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Timur Tengah pada hari ini. Akibat perkiraan yang salah dan melampau, keadaan di Iraq dan Afghanistan lebih teruk daripada sebelumnya. Pemerintah yang zalim telah berjaya dijatuhkan. Namun, keadaan ekonomi dan politik negara-negara terbabit bertambah mundur dan teruk. Lihat juga kepada apa yang berlaku di Syria. Daripada sebuah negara yang aman dan makmur, akibat mahu menjatuhkan pemimpin mereka, fitnah yang lebih besar berlaku di Syria. Hari ini, Syria menjadi padang jarak dan padang tekukur. Kuasa asing masuk ke Syria dengan alasan untuk mengembalikan keamanan di sana. Namun, mereka mempunyai agenda yang ternyata merugikan rakyat Syria.

Dalam konteks inilah, gesaan majoriti ulama ahli sunnah wal jamaah memperlihatkan hikmahnya. Hanya dengan kesetiaan kepada pemimpin dan sentiasa memikirkan kebaikan yang lebih besar, kewujudan sebuah organisasi seperti UMNO atau kerajaan seperti Malaysia, akan terus berlangsung. Namun, kesetiaan tersebut bukanlah pula bermakna kesetiaan membuta tuli. Sebaliknya, sebagai golongan yang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang besar, kita semua harus bersedia untuk melakukan teguran demi kewujudan sebuah organisasi dan negara yang benar-benar berfungsi dan mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya:

"Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta pemimpin daripada kalangan kamu." (Surah An-Nisaa, 4: 59)

Dengan berpandukan semangat firman di atas, saya menyeru agar para ahli Puteri UMNO sekalian menginsafi inti pati ayat ini. Bersatu padu dan bersolidariti dengan pemimpin lebih utama daripada menjatuhkan sesama sendiri. Jangan hanya dengan kelemahan-kelemahan pemimpin kita yang kecil, kita bertindak keterlaluan untuk menjatuhkan mereka. Ayuh, dengan kesedaran ini, saya menyeru kita semua, barisan Puteri bersolidariti dengan kepimpinan dan sesiapa sahaja yang menyuruh ke arah kebaikan parti.

Ingatlah, solidariti kepada kepimpinan sangat penting. UMNO bolehlah diumpamakan seperti sebuah rakit yang diikat oleh kesetiaan dan semangat solidariti. Jika kita bertelagah, perbuatan tersebut bolehlah disamakan seperti memotong tali yang menghubungkan kayu-kayu itu. Apabila tali diputuskan, apakah akan terjadi kepada rakit? Rakit itu akan berubah menjadi batang-batang kayu yang dihanyutkan oleh arus dan badai.

Begitu juga dengan UMNO dan Sayap Puteri. Tanpa solidariti, UMNO dan Puteri akan goyah. Dalam jangka masa panjang, UMNO akan musnah. Apakah sahabat seperjuangan sekalian mahu melihat rakit umno kita musnah? Tepuk dada, fikirlah dengan mendalam!

PENUTUP

Secara keseluruhannya, sepanjang ucapan ini, saya telah menyentuh beberapa perkara dasar yang mesti menjadi perhatian kita semua. Apa-apa yang telah dilaksanakan dengan jaya, sebenarnya hasil kerjasama dan sokongan barisan srikandi merah jambu saya dengan sokongan padu kepimpinan tertinggi UMNO. Sungguh, saya sangat berterima kasih atas bantuan dan sokongan yang telah diberikan oleh keluarga besar Puteri ini.

PRU14 nanti akan menyaksikan sekitar 45% daripada jumlah pengundi adalah dianggarkan mereka yang berumur bawah daripada 35 tahun. Sekiranya BN ingin menang dan memerintah lagi, seharusnya kita memberi signal yang ketara bahawa kita menyantuni golongan ini.

Menyantuni mereka bererti kita perlukan wakil-wakil yang dapat menyelami kehidupan mereka secara dekat, memahami hasrat mereka secara tuntas dan menjiwai wawasan mereka untuk masa depan.

Dengan ini Puteri UMNO Malaysia ingin menyarankan kepada pembuat polisi dan keputusan dalam parti, agar mengambil kira santunan anak muda sebagai salah satu strategi utama untuk memenangi PRU14.

Maka, tidak keterlaluan jika Puteri UMNO Malaysia memohon restu agar diberi kepercayaan untuk menyantuni golongan pengundi muda ini dengan penambahan bilangan calon-calon yang dipilih daripada kalangan ahli puteri. Sekiranya fikrah ini diterima, Puteri UMNO Malaysia yakin ahli Puteri akan lebih bermotivasi untuk mempergiatkan usaha dalam mendaftarkan pengundi muda.

BANGSAKU........INGATLAH KATA-KATA KERAMAT INI (ucapan terakhir Dato Onn Jaafar sebagai Presiden)

Kita berkehendak supaya tanah ini terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh jika kita bersatu padu.

Marilah kita tunjukkan kepada dunia itu, roh dan semangat datuk nenek kita itu masih ada lagi dengan kita.

Marilah kita tunjukkan iaitu kita masih boleh mengangkat kepala kita

dan menatap dunia bagaimana orang yang benar dan kuat hatinya.

Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benar keturunan datuk nenek kita

yang menghadap merbahaya dengan bersatu hati.

Bersatulah kita, seperti mana kita belum pernah bersatu

Untukmu ku tetap berjuang.

Untukmu semangat ini tidak akan hilang.

Untukmu.

Untukmu UMNO.

Ayuh, hari esok hanya Tuhan yang tahu. Tetapi dari kita Puteri, akan kita lalui dan tempuhinya dengan penuh keberanian, demi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Hidup Puteri. Hidup UMNO. Perkasakan Wanita: Satu suara, satu nada, satu gerakan! Ke arah UMNO dan Puteri yang lebih gemilang!

Maka dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya rasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berita Harian X