Khamis, 10 Disember 2015 | 4:00pm

IPP Malaysia pada oktober 2015 meningkat 4.2 peratus

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 4.2 peratus kepada 126.6 peratus pada Oktober 2015 berbanding bulan yang sama pada tahun lalu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata peningkatan pada Oktober 2015 itu disokong oleh pertumbuhan positif indeks pembuatan (6.2 peratus) dan indeks elektrik (4.3 peratus).

Namun, indeks perlombongan susut 1.4 peratus manakala IPP pada September 2015 kekal pada 5.1 peratus tahun ke tahun, katanya.

"Dalam terma pelarasan bermusim, IPP pada Oktober 2015 menyusut 0.4 peratus bulan ke bulan disebabkan penurunan indeks perlombongan sebanyak 3.0 peratus.

"Indeks pembuatan dan elektrik masing-masing meningkat 0.2 peratus dan 0.4 peratus," katanya.

Jabatan itu berkata keluaran sektor pembuatan meningkat 6.2 peratus pada Oktober 2015 selepas peningkatan 5.6 peratus pada September.

Subsektor utama yang meningkat pada Oktober 2015 terdiri daripada elektrik dan produk elektronik (13.9 peratus); petroleum, kimia, getah dan produk plastik (3.3 peratus) dan produk mineral bukan metalik, logam asas dan produk logam yang direka (5.1 peratus), katanya.

Pelarasan musim berasaskan bulan ke bulan menunjukkan keluaran pembuatan meningkat 0.2 peratus pada Oktober 2015, katanya.

Jabatan itu berkata, keluaran sektor perlombongan susut 1.4 peratus pada Oktober 2015 berbanding bulan yang sama pada 2014.

"Ia sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan dalam indeks gas asli (5.3 peratus), manakala indeks minyak mentah merekodkan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 2.1 peratus," katanya.

Pada Oktober 2015, berdasarkan terma pelarasan bermusim, keluaran sektor perlombongan susut 3.0 peratus bulan ke bulan, katanya.

Mengikut Jabatan Perangkaan, IPP Malaysia bagi tempoh Januari hingga Oktober 2015 mencatat pertumbuhan 5.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan dalam semua tiga indeks: pembuatan (4.9 peratus); perlombongan (5.7 peratus) dan elektrik (2.1 peratus)," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X