Jumaat, 11 Disember 2015 | 5:24pm

Aliff Aziz bertunang esok, tak tolak kahwin cepat


PENYANYI, Aliff Aziz bersama Bella Astilah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

KUALA LUMPUR: Selepas setahun bercinta, penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 24, akan bertunang dengan pilihan hatinya, Bella Astillah, 21, esok malam di sebuah dewan di Bukit Jelutong.

Dihubungi sebentar tadi, penyanyi yang mula meledak dengan Sayang Sayang itu memberitahu dia dan bakal tunangnya, mensasarkan tempoh setahun untuk ke fasa perkahwinan.

Menurut Aliff lagi, dia mengenali Bella sejak tiga tahun lalu. Bagaimanapun selepas putus hubungan seketika, mereka bertemu semula pada Disember tahun lalu di majlis hiburan, Anugerah Industri Muzik.

"Insya-Allah sasarnya setahun lepas bertunang, kami akan berkahwin. Tapi andai ada rezeki awal untuk berkahwin, saya tak menolak. Benda baik, tak elok diperlambatkan. Untuk majlis tunang kami pun, kami berbesar hati ada pihak yang mahu menaja. Insya-Allah majlis pertunangan ini akan berlangsung selepas waktu Isyak," katanya.

Mengenai Bella, Aliff menyifatkan cinta hatinya itu menerima dia seadanya.

"Dia buat saya selesa dengan dirinya. Dia boleh menerima kehidupan dan kisah silam saya," katanya.

Mengenai usia Aliff dan Bella yang dilihat masih muda tetapi sudah bersedia untuk ke gerbang perkahwinan, jejaka tinggi lampai itu tidak melihat faktor usia sebagai satu perkara yang perlu diperbesarkan.

"Usia bukan ukuran dalam soal nak berkahwin. Tak semestinya yang sudah berusia baru dianggap matang untuk berkahwin. Semua itu sangat subjektif," katanya.

Aliff dalam perkembangan lain turut menyanyikan lagu runut bunyi Warna Cinta dengan Kilafairy untuk filem Dilwale yang mengembalikan semula gandingan Shah Rukh Khan dan Kajol di layar perak. Lagu berkenaan dialih bahasa dari bahasa Hindi.

Berita Harian X