Sabtu, 12 Disember 2015 | 10:02am

Hang Tuah wujud, bukti melalui dokumen

HANG Tuah wujud dan kewujudannya dapat dibuktikan melalui dokumen primer selain disokong dokumen sekunder.
HANG Tuah wujud dan kewujudannya dapat dibuktikan melalui dokumen primer selain disokong dokumen sekunder.

KUALA LUMPUR: Hang Tuah wujud dan kewujudannya dapat dibuktikan melalui dokumen primer selain disokong dokumen sekunder sekali gus menolak pendapat yang menyebut Hang Tuah hanyalah watak fiksyen yang diceduk dari Hikayat Hang Tuah dan dimasukkan dalam Sejarah Melayu.

Profesor Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Emeritus Dr Hashim Musa berkata, beliau berpegang kepada data primer yang diterimanya daripada Kerajaan Ryukyu di Jepun (kini Okinawa) iaitu dokumen rasminya Rekidai Hoan yang menyebut tentang surat yang ditulis laksamana bagi pihak Sultan Melaka ketika itu, Sultan Alaudin Riayat Shah selain catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang juga menyebut tentang seseorang yang dirujuk sebagai laksamana.

Semalam Karyawan Tamu Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Prof Emeritus Dr Ahmat Adam dalam satu seminar anjuran jabatan berkenaan menyebut Hang Tuah tidak wujud sebaliknya hanyalah watak fiksyen kesusasteraan Melayu.

"Itu pendapat beliau. Kami tetap berpegang kepada data primer selain data sekunder yang diambil dari teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat al Nafis yang  menyaksikan nama Hang Tuah disebut sekali gus menolak dakwaan Ahmat sebelum ini yang mendakwa nama Hang Tuah hanya disebut pada hujung abad ke-17 dalam Hikayat Acheh.

"Catatan pada tahun 1480 dan 1481 yang menyebut tentang Laksamana berada di Ryukyu bersamaan dengan masa Hang Tuah berkhidmat dengan Sultan Alauddin Riayat Syah yang baru naik takhta semasa masih kanak-kanak  sama seperti yang disebut dalam teks Sejarah Melayu.

"Oleh itu laksamana yang disebut dalam dokumen Ryukyu itu tidak lain daripada Hang Tuah," katanya.

Tambah Hashim, perkataan tuah juga sudah wujud dalam bahasa Melayu sejak 2000 tahun lalu iaitu dalam bahasa Maori, satu daripada rumpun Melayu Polinesia yang mana merekodkan perkataan tua, tuha dan tuah.

Semalam, Ahmat dalam Seminar Sejarah anjuran Jabatan Sejarah UM juga  menyebut kegagalan penyelidik membaca tulisan jawi menyebabkan munculnya perkataan tuah sedangkan huruf jawi ta wau ha yang tertulis dalam kebanyakan manuskrip Melayu lama membawa maksud tuha atau toh.

Mengulas mengenai dakwaan itu Hashim berkata, dalam naskhah Hikayat Hang Tuah oleh Tun Kola yang masih belum dirumikan dan disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)  Hang Tuah dieja dengan huruf Jawi ta wau ha yang oleh dilafazkan tuha atau tuah, sekali gus tidak timbul persoalan kegagalan membaca tulisan jawi dengan betul.

"Pegangan kami laksamana seperti yang tercatat dalam data dari Ryukyu dan juga catatan Alfonso de Alburqueque  merujuk kepada  Laksamana Hang Tuah seperti juga disimpulkan oleh pengkaji Jepun," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyelidik dari UPM Dr Rohaidah Kamaruddin berkata, pandangan Prof Ahmat Adam adalah pandangan yang disorot dari sudut linguistik yang tidak pula bermaksud beliau tidak bersetuju dengan Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu sebaliknya tidak bersetuju dengan kata nama Tuah sahaja.

"Prof Ahmat bukankah menolak Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu tetapi menolak nama Hang Tuah dari sudut linguistiknya sahaja. 

"Sebagai penyelidik beliau berpendapat kami perlu mencari maklumat daripada sumber yang lain pula," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X